Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Tuesday, May 13, 2008

    JAHILIYYAH MODEN DAN PENDEKATAN RASULULLAH SAW.

    Pembangunan modal insan menjadi antara teras pembangunan negara yang diletakkan oleh kerajaan bagi memastikan manusia dan maqam rohaniahnya berkembang seiring dengan pembangunan negara dan pelan ekonomi jangka panjang yang boleh ditelusuri melalui beberapa koridor yang diperkenalkan. Namun semakin banyak progam dan polisi berkenaan membangunkan hayat rohani manusia makin berkembang pula kehidupan jahiliyyah moden yang dibudayakan oleh masyarakat masa kini. Benarlah apa yang diperkatakan oleh Muhammad al-Ghazali bahawa jahiliyyah pada abad atau melinia moden ini lebih buruk dan parah dari jahiliyyah yang pernah berlaku sebelum kebangkitan Rasulullah SAW. Jahiliyyah moden kini datang dan berkembang selepas datangnya Islam, ia meluas secara sistematik, terancang, beramai-ramai, menggunakan pelbagai aplikasi dan teknologi, bersifat opurtunis dan sebagainya. Jahiliyyah pada zaman dahulu adalah sama dengan jahiliyyah kini, namun jahiliyyah moden ini datang dalam bentuk yang baru, sukar dibendung, pelakunya payah dikawal, tersebar secara meluas dan pantas serta sangat mencabar selaras dengan isyarat akhir zaman yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW.

    Oleh itu, penyelesaian paling efektif yang perlu dilaksanakan oleh masyarakat Muslim yang masih berkesedaran dan mengetahui tanggungjawabnya di samping paling penting mempunyai kuasa ialah kembali melihat strategi yang pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dalam membasmi jahiliyyah. Gunakanlah pelbagai penyelesaian pun selagimana Islam tidak dijadikan sebagai penyelesai dan cara hidup selagi itulah kehidupan manusia ini akan terus bergolak dan berkonflik. Oleh sebab itu strategi dan pendekatan altruistik Rasululla SAW perlu kembali deberi perhatian oleh umat Islam dan disesuaikan dengan keadaan masyarakat, masa, teknologi dan suasana masa kini.
    Terdapat beberapa tingkat dan peringkat yang telah dilaksanakan oleh Baginda bagi merealisasikan matlamat tersebut. Antara usaha yang dilaksanakan adalah dengan menggunakan kaedah tinjauan[1]. Rasulullah S.A.W telah melakukan beberapa tinjauan berkenaan keadaan dan persekitaran masyarakat jahiliyyah yang banyak melakukan perbuatan mungkar dan mensyirikkan Allah S.W.T. Pengenalpastian melalui tinjauan ini membolehkan Rasulullah S.A.W mengetahui keadaan dan kondisi sebenar yang berlaku kepada masyarakat pada waktu tersebut. Masyarakat Arab jahiliyyah pada waktu tersebut pernah melalui detik kegemilangan di bawah pemerintahan yang bertamadun dan maju. Gostav Lobon dalam membahaskan perkara ini mengatakan[2]:

    “Walaupun bukti-bukti yang telah kami sebutkan sebelum ini masih kurang, namun yang jelasnya ia merupakan bukti yang telah dikemukakan oleh pengarang-pengarang terdahulu. Melalui bukti ini, kita dapat melihat perkembangan tamadun Arab zaman purba yang dilupakan oleh masyarakat manusia di zaman ini. Tamadun ini menunggu orang yang sanggup membuang penghalang yang diletakkan di hadapannya dan mencegah bangsa Arab dari dianggap sebagai bangsa yang ganas dan tidak bertamadun. Bangsa Arab yang disebutkan sebelum ini telah pun muncul di pentas sejarah sejak beberapa kurun sebelum kemunculan tamadun bangsa Rom dan mereka telah berjaya membina bandar-bandar besar. Hubungan mereka dengan bangsa-bangsa bertamadun yang pernah menetap di bumi ini adalah begitu kuat sekali.”

    Jelas di sini berlaku perubahan ketara dalam kehidupan masyarakat jahiliyyah yang dahulunya pernah hidup makmur dan maju tetapi kemudiannya terjerumus ke lembah jahiliyyah yang berpanjangan. Faktor-faktor ini perlu ditinjau, dikaji dan dianalisis sebelum sesuatu tindakan itu dilaksanakan. Oleh itu, mereka yang ingin melaksana dan membawa perubahan dalam masyarakat perlu mengenalpasti terlebih dahulu latar belakang permasalahan, faktor dan punca sesuatu peristiwa yang berlaku serta aspek-aspek yang mempengaruhi masyarakat tersebut. Langkah-langkah seterusnya akan dapat dirancang dengan bijak seterusnya dilaksanakan secara tersusun berasaskan maklumat yang diperolehi.

    Peringkat kedua yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ialah melalui pendekatan merujuk atau bersyura.[3] Hal ini dilaksanakan oleh Baginda sebaik sahaja turunnya perintah dari Allah S.W.T untuk menyebarkan dakwah. Hasilnya Baginda S.A.W telah mengumpul beberapa orang ahli keluarga dan saudara terdekat bagi mendapatkan sebarang pandangan dan idea berkenaan usaha pembaharuan dan pengislahan yang dilaksanakan. Selain itu konsep syura ini melahirkan pendokong yang benar-benar beriltizam, ikhlas, jujur dan bersemangat kental untuk bersama-sama Rasulullah S.A.W melaksanakan usaha dakwah. Dari konsep yang dilaksanakan oleh Baginda ini, ia memperlihatkan kepentingan sesuatu pandangan itu diambil melalui persetujuan majoriti dan sokongan dari para pendokong.

    Melalui peringkat yang ketiga pula, Rasulullah S.A.W sentiasa peka berkenaan akibat-akibat yang berlaku hasil dari beberapa usaha dakwah yang dilaksanakan.[4] Sewaktu zaman awal Islam pelbagai ujian, ancaman dan hinaan ditujukan kepada umat Islam. Hasilnya Rasulullah S.A.W mendiagnosis situasi masyarakat Mekah dan membandingkannya dengan peluang yang terbentang luas. Oleh itu penyiasatan berkenaan sesuatu perkara perlu dilihat kepada sebab dan akibatnya bagi mendapatkan andaian dan jangkaan yang tepat.

    Rasulullah S.A.W seterusnya merancang beberapa usaha khususnya sewaktu peristiwa Hijrah itu berlangsung. Hijrah yang disusun dengan perancangan yang rapi ini tidak boleh dilihat sebagai usaha untuk mengundur dan melarikan diri tetapi ia dilihat sebagai langkah strategik untuk menyelamatkan perjuangan Islam dan menjunjung perintah Allah S.W.T.[5]

    Perancangan yang tersusun akan hanya bermanfaat apabila ia bertukar menjadi tindakan. Sebaik sahaja Baginda S.A.W sampai di Madinah, masjid telah didirikan sebagai pusat pentadbiran dan dakwah Islam.[6] Baginda S.A.W juga bertindak memperkenalkan perlembagaan Madinah dan mendirikan sebuah model negara Islam yang sempurna.

    Seterusnya Rasulullah S.A.W melaksanakan peringkat penilaian dengan melihat kembali tahap pencapaian yang telah dilaksanakan ini.[7] Penilaian yang dibuat ini bukan sahaja dapat mengenalpasti permasalahan yang berlaku bahkan mampu mendapatkan jalan alternatif bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

    Peringkat terakhir yang dilaksanakan oleh Baginda S.A.W adalah dengan menubuh, membentuk, dan mendirikan masyarakat madani dengan konteks nilainya yang tersendiri.[8] Masyarakat madani yang diperkenalkan oleh Rasulullah S.A.W ialah masyarakat yang mempunyai ciri-ciri kasih sayang, pertanggungjawaban, kesabaran, amalan saling bantu-membantu, mengeratkan silaturrahim tanpa kelas, hormat-menghormati, memampatkan semangat kejiranan dan berjiwa besar, suka memberi atas sifat keihsanan dan berzakat.[9] Masyarakat madani yang dibentuk oleh Rasulullah S.A.W ini menjamin keharmonian, perpaduan dan keteguhan dalam kehidupan manusia di dunia ini.

    No comments: