Imam Najmuddin al-Nasafi dalam Matan al-Nasafiyyah membahagikan sumber ilmu itu kepada tiga. Pancaindera yang baik, perkhabaran yang benar dan akal. Melalui tiga sumber ini manusia memperolehi ilmu. Ia akan sempurna sekiranya ilmu diambil dari ketiga-tiga sumber tanpa menafikan salah satu darinya. Kerangka epistemologi Islam jelas berkenaan hal ini. Pancaindera sebagai salah satu aspek zahir yang dibahagikan kepada lima indera iaitu pendengaran, penglihatan, bau, sentuhan dan rasa bukan sekadar anggota badan semata tetapi boleh dikembangkan. Apa-apa yang didapati oleh lima indera ini akan diproses dan dianalisis oleh akal yang seterusnya mengembangkan lagi ilmu yang dimiliki manusia. Bagaimana ia boleh dikembangkan? Antaranya dengan mendedahkan pancaindera dengan sesuatu yang baru dan belum pernah ditemui sebelum ini. Justeru Allah SWT sendiri dalam banyak firman-Nya menitahkan manusia untuk berjalan melihat tanda-tanda kekuasaan-Nya di muka bumi ini. Melihat ini bukan sekadar lihat dengan mata tetapi dianalisis sehingga memberi manfaat kepada pemiliknya. Melihat ini juga bukan sekadar meneliti penciptaan alam tetapi juga mengkaji aspek sosial dan budaya yang berlingkar di sesuatu tempat.
Perolehan ilmu melalui perkaedahan ini tidak mungkin didapati melalui pembacaan. Kerana ia dirasai sendiri oleh manusia yang mengalaminya. Istilah yang paling tepat dalam konteks ini ialah pengalaman. Buku boleh memberitahu sebagai contoh aspek-aspek social di sesuatu tempat. Namun ia tidak dapat dirasai oleh si pembaca sehingga dia pergi sendiri ke tempat tersebut. Dalam Islam, tasawuf amat mementingkan pengalaman manusiawi. Oleh itu ramai ulama’ membahaskan perbezaan pencapaian dan pemahaman konsep tauhid di kalangan ahli sufi dan mutakallimin. Bagi kalangan sufi, persoalan tauhid adalah suatu daerah pengalaman yang berada jauh di luar upaya akal dan imaginasi manusia untuk memahaminya. Mereka tidak menggunakan akal tetapi qalb dalam perjalanan dalaman mereka. Pendirian ini mungkin berbeza dengan kelompok yang tidak setuju dengan konsep ini. Kenapa saya memetik persoalan ini? Tidak lain sekadar untuk memberitahu kepada yang belum tahu bahawa jalan untuk kita mengambil ilmu adalah banyak. Antaranya melalui pengumpulan pengalaman yang tidak terdapat dalam buku. Jika ada sekalipun itu bukan pengalaman kita sendiri tetapi pengalaman si pengarang yang dibukukan. Dan sudah tentu usaha ini boleh diperoleh melalui pengembaraan. Jadi berjalanlah di muka bumi Allah SWT ini, mengumpul ilmu dan mencerahkan minda. “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang Yang mendustakan (Rasul-rasul) itu." [al-An’am: 11]