Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Wednesday, August 22, 2007

    PMIUMphobia???

    Satu istilah, kalimah dan sebutan yang janggal untuk didengari tetapi menyimpan seribu satu makna yang pelbagai. Kenapa istilah ini dipaparkan dan digunakan? Dan adakah sesuai ia dikaitkan dengan PMIUM? Empat hari lepas ditampal di beberapa kolej dan fakulti poster berwarna pink mengenai PMI. Di dalamnya terkandung beberapa gambar pimpinan dan aktiviti PMI. Digambarkan di situ gaya hidup ala-ala PMI yang dikatakan suka menentang HEP dan beberapa gambar yang menunjukkan wajah buruk PMI. Sebelum itu keluar satu lagi poster berkaitan dengan Minggu Mahasiswa Hadhari anjuran PMIUM vs Perkampungan Hadhari anjuran MPMUM. Poster itu ditampal bagi membolehkan warga kampus menganggap PMI memfitnah HEP dan MPMUM mencuri dan meniru Kertas Kerja Mihar. Beberapa poster dan iklan berkaitan PMI dikoyak di beberapa fakulti manakala poster pimpinan PMIUM yang telah pun lulus di peringkat HEP hilang dari papan-papan kenyataan. Dan sebelum itu dalam Minggu Haluan Siswa sekali lagi PMI dipalit dengan pelbagai tuduhan negatif. Adik-adik yang baru didaftarkan di UM didoktrin dengan pelbagai ugutan agar tidak mendekati dan terlibat dengan aktiviti PMI. Hal ini jelas terbukti apabila terdapat beberapa mahasiswa tahun pertama terpaksa menyorok dan bersembunyi untuk mendaftar sebagai ahli PMI semasa minggu Promosi Persatuan pada 31 Julai hingga 3 Ogos yang lepas. Mereka terpaksa datang secara senyap-senyap ke khemah PMI, bimbang jika pendaftaran mereka ini diketahui oleh abang atau kakak senior di kolej. Bahkan ramai juga di kalangan mahasiswa yang bertanyakan adakah PMI sebuah badan persatuan yang sah berdaftar dan mereka hairan bagaimana PMI boleh mendapatkan tempat pendaftaran semasa minggu PROMO tersebut, walhal tanpa mereka ketahui PMI adalah antara persatuan terawal didaftarkan di kampus.
    Peristiwa-peristiwa di atas hanyalah sekelumit kecil contoh tentang cabaran, tentangan dan halangan yang terpaksa diterima dan ditempuhi oleh PMIUM sepanjang bernafas selama 51 tahun di kampus UM. Pelbagai fitnah, tentangan, sabotaj dan pandangan serong dilemparkan kepada PMIUM lebih-lebih lagi apabila masuk ke musim Pilihanraya Kampus. Setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh PMIUM dilihat dan diawasi secara dekat oleh beberapa pihak. Tambahan pula PMIUM sejak sesi kepimpinan yang lepas agak mudah untuk menjalankan kegiatan dalam kampus. Saya agak teruja dengan apa yang berlaku dalam sesi pertemuan terakhir kami dengan bekas TNC HEP Dato’ Razali Agus sebelum beliau meninggalkan kampus UM dan menjadi NC di UNISEL. Kami agak terkejut apabila ketibaan rombongan kepimpinan kami untuk berjumpa Dato’ dijaga dan dikawal dengan begitu ramai dan rapi oleh pengawal keselamatan di setiap aras, bermula dari pintu masuk di hadapan bangunan Kompleks Perdana Siswa sehinggalah ke tingkat empat yang meletakkan pejabat TNC HEP. Walhal pertemuan kami ini adalah untuk bertemu dengan Dato’ buat kali terakhir dan menyampaikan cenderamata peringatan kepada beliau. Ia agak jauh berbeza dengan pertemuan kami dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir minggu lepas di Putrajaya. Pertemuan dengan Tun agak mudah, mesra dan disambut dengan senyuman oleh pegawai-pegawai keselamatan di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana.

    Apa yang boleh saya simpulkan ialah terdapat beberapa pihak yang secara senyap merancang dengan begitu rapi untuk memburukkan nama PMIUM di mata warga kampus dan masyarakat luar. Bahkan saya tidak pelik apabila terdapat beberapa gambar yang hanya disimpan oleh kami boleh jatuh ke tangan pihak sana dan dieksploitasi dengan memburukkan nama PMIUM. Walau apapun yang berlaku PMIUM selaku gerakan mahasiswa yang sudah mencapai usia emas akan menghadapi segala halangan dan tembok yang dibina dengan matang dan bijaksana. Sikap cepat melatah dan menuding jari kepada pihak lain bukan cara dan kaedah yang kita gunakan. Perkara seperti ini bukan hanya berlaku kini, bahkan ia sudah berlaku puluhan tahun yang lampau. Jun 1971 menandakan detik penting tradisi mencabar PMIUM apabila diadakan beberapa sudut pidato dan demonstrasi terhadap penindasan kerajaan Thai kepada masyarakat Muslim di Selatan Thai. Sebelum itu, PMIUM turut terlibat sama dalam penyelesaian isu rampasan kuasa pentadbiran universiti oleh mahasiswa pada bulan September 1971. Terdapat banyak lagi gerakan massa yang digerakkan oleh PMIUM bagi memperjuangkan Islam, umat Islam dan isu-isu nasional serta antarabangsa. Dan setiap dari penentangan tersebut pasti akan disusuli pula dengan halangan dan cabaran yang menekan sebagai satu cara melemahkan PMIUM. Penentangan dan halangan ini dilakukan secara lebih konsisten kini serta diatur secara rapi dan dilaksanakan dengan segala medium dan ruang yang ada bagi memandulkan sama sekali kebangkitan mahasiswa Islam. Mereka amat bimbang dan sangat takut seandainya PMIUM akan dapat kembali menguasai kampus melalui pilihanraya kampus yang bakal menjelang. Satu persoalan yang ingin dipaparkan ialah adakah mereka benar-benar fobia kepada PMIUM? Atau ada tangan-tangan ghaib yang campur tangan dan terlibat sama secara aktif bagi membendung kebangkitan gerakan mahasiswa Islam di seluruh kampus.

    Oleh sebab itulah jika dilihat strategi dan kaedah yang digunakan khususnya di era milenium ini berbeza dengan cara yang dilaksanakan pada tahun-tahun 70-90 an. Mungkin ramai di kalangan pemerhati di luar yang mempertikaikan strategi yang dilaksanakan oleh PMIUM. Mereka mempertikaikan isu stupid debate yang berlaku di KK12, juga beberapa isu yang lain. Namun perlu difahami bahawa setiap aspek yang dilaksanakan akan dicermati secara teliti lagi halus. PMIUM kini terpaksa berhadapan dengan golongan sasar yang pelbagai, suasana yang sering berubah, keadaan politik UM yang berbeza dan tekanan serta rantaian yang kuat. Walau apapun halangan dan cabaran yang diterima, PMIUM akan terus memperjuangkan agenda Islam di kampus. Segala halangan, tohmahan dan cemuhan yang diterima adalah satu adat, samalah seperti yang pernah dilalui oleh Nabi SAW dan para sahabat. Halangan yang diterima jika boleh diandaikan hanyalah sebesar kuman jika dibandingkan dengan apa yang terpaksa diterima oleh Rasulullah, para sahabat dan pejuang Islam terdahulu. Terdapat banyak lagi kupasan berkaitan dengan perkara ini yang akan saya jelaskan kelak.

    No comments: