Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Monday, August 27, 2007

    RETORIK SAMBUTAN KEMERDEKAAN


    Menjelang detik 31 Ogos ini genaplah 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Ia merupakan satu detik yang amat bersejarah dalam diari kehidupan masyarakat Malaysia . 50 tahun yang lampau, para pemimpin dan pejuang tanah air bersama- sama seluruh masyarakat telah mengisytiharkan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia adalah sebuah Negara yang merdeka.

    Sebagai Negara yang berdaulat, maka Malaysia berhak menentukan nasib dan hala tujunya sendiri serta bebas daripada penjajahan kuasa asing. Perlu difahami bahawa nilai kemerdekaan yang diperoleh ini sebenarnya adalah hasil sebuah perjuangan yang sangat panjang hingga terpaksa mengorbankan jiwa dan raga serta terpaksa bergelumang dengan titisan darah dan air mata. Justeru nilai kemerdekaan pada dasarnya amat mahal harganya bagi setiap individu dan bangsa yang bermaruah.

    Perkataan Merdeka bergema buat sekian kalinya bagi mengimbas kembali bagaimana bebasnya negara ini daripada cengkaman penjajah yang silih berganti bermula dengan kemasukan Portugis menawan Melaka pada tahun 1511 sehinggalah terhalaunya pihak Inggeris dari Tanah Melayu. Sebenarnya masyarakat kita terlalu leka dan tidak serius dalam pergerakan untuk meluaskan minda dan mengisi kemerdekaan itu. Akhirnya mereka menjadi masyarakat yang hidup seperti lalang dan mengikut arus dan angin perubahan dunia. Perkataan Merdeka mudah disebut dan dilaungkan tetapi agak sukar untuk menghayati hakikat kemerdekaan yang sebenarnya.

    Hakikatnya Islam mengiktiraf dan menghormati nilai kemerdekaan setiap individu dan setiap bangsa yang menghuni alam ini. Islam menegaskan bahawa manusia diciptakan dalam keadaan fitrah dan merdeka. Kemerdekaan itu sebenarnya bukanlah semata-mata membebaskan diri daripada belenggu penjajahan asing semata- mata tetapi lebih daripada itu. Kemerdekaan yang hakiki ialah kebebasan manusia untuk dapat mengisi kehidupan sesuai dengan fitrahnya Manusia yang merdeka ialah manusia yang dapat hidup dalam fitrahnya yang asal, hidup dalam ketentuan dan panduan pencipta Nya. Dalam konteks ini, manusia yang merdeka mampu membebaskan diri daripada pelbagai bentuk perhambaan kepada Allah. Di samping masing-masing menyedari tanggungjawab dalam mengisi makna kemerdekaan bersesuaian dengan kehendak Islam iaitu membimbing setiap lapisan masyarakat ke arah kesejahteraan hidup dan keredhaan illahi. Hanya ketaqwaan kepada Allah SWT merupakan fomula terbaik untuk menjulang umat Islam ke arah kemerdekaan yang sejati, kemuliaan dan kebahagiaan abadi di dunia dan akhirat.

    Sambutan hari kemerdekaan ini mestilah disambut dengan penuh rasa insaf dan sedar tentang tanggungjawab kita yang masih belum selesai iaitu untuk memerdekakan Malaysia daripada kongkongan sekularisme yang sesat dan semangat kebangsaan yang ketinggalan zaman sehingga Islam mampu dilaksanakan di dalam semua bidang kehidupan bukannya setakat ditikar sembahyang sahaja.

    Inilah makna kemerdekaan yang sebenar iaitu kemerdekaan yang memerdekakan umat Islam dari Jahiliah kepada Islam. Kemerdekaan yang membebaskan manusia daripada ketakutan kaum yang zalim, selamat dari huru hara kehidupan yang penuh kelalaian dan kemaksiatan. Hanya dengan al-Quran dan as-Sunnah sahajalah penghayatan Islam akan berlangsung dengan baik, sains dan teknologi akan mendatangkan kemakmuran, ekonomi akan dipenuhi keberkatan, dan dengan itu keamanan dan kesejahteraan hidup akan terjamin. Laungkanlah kemerdekaan dengan kemerdekaan Islam, merdekakanlah diri dari perhambaan sesama manusia dan penyembahan hawa nafsu kepada ibadah yang tulus hanya kepada Allah. Nescaya dengan cara itu, kemerdekaan yang dirayakan akan lebih bermakna bagi kita, dan di sisi Allah SWT.

    No comments: