Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Thursday, September 20, 2007


    Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyokong penuh hasrat Perdana Menteri Turki, Tayyip Erdogan bagi menarik balik pengharaman pemakaian tudung di universiti. Cadangan ini wajar dipuji dan disokong kerana ia membuka satu lagi lembaran baru dalam pentadbiran kerajaan yang dikuasai sepenuhnya oleh fahaman sekularisme sejak lapan puluh tiga tahun yang lalu. Pengharaman ini walaupun bermula pada 1980-an tetapi ia dilihat mempunyai perkaitan dengan era bekas pemimpin Mustafa Kamal Ataturk yang memansuhkan pemakaian beragama dan menggunakan peraturan perundangan ala-Switzerland pada 1926. Tanggal 29 Oktober 2007 merupakan satu detik tragis kepada kehidupan rakyat Turki dan umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Tarikh itu menandakan berakhirnya pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah dengan terisytiharnya Turki sebagai sebuah republik. Detik penting 3 Mac 1924 pula memaparkan peristiwa terlupusnya jawatan khalifah yang telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Mustafa Kamal Ataturk. Peristiwa ini menandakan bermulanya satu era baru dalam kehidupan umat Islam Turki secara khususnya dan masyarakat Islam seluruh dunia amnya. Sejak dari detik tersebut juga pelbagai usaha pembaharuan dibuat oleh Mustafa ke arah menjadikan republik tersebut sebuah negara sekular sepenuhnya. Daripada penutupan sekolah-sekolah agama, pengurusan harta wakaf dikawal selia oleh instititusi sekular, penutupan mahkamah syariah, kebebasan wanita sehinggalah kepada kempen-kempen ketenteraan bagi merealisasikan wawasannya. Usaha beliau diteruskan pula oleh presiden-presiden selepas itu seperti Ismet Inonu, Celal Bayar, Cemal Gursel, Cevdet Sunay sehinggalah ke Ahmet Necdet Sezer yang baru sahaja melepaskan jawatan beliau.


    Menyekat mereka yang bertudung dari memasuki universiti merupakan satu pencabulan hak asasi kepada seseorang individu. Oleh sebab itu usaha Perdana Menteri Turki untuk merombak perlembagaan ini adalah satu tindakan yang wajar dan rasional. Barat sendiri yang mengamalkan sekularisme dan melahirkan pelopor-pelopor kepada isme ini tidak mengamalkan konsep sekular yang sangat melampau ini. Setiap individu sama ada dia Islam mahupun tidak bebas untuk mengamalkan agama masing-masing, bebas untuk berpakaian dan bebas untuk mempraktikkan amalan ibadat mereka. Bahkan jika berlaku sekatan dari sekolah atau universiti yang mengharamkan pemakaian tudung sudah tentu institusi pengajian tersebut akan disaman dan dicemuh oleh masyarakat atas perlanggaran hak asasi tersebut. Ini berlaku sebaliknya di Turki. Isteri Erdogan, Emine pernah diharamkan daripada menghadiri majlis presiden kerana beliau memakai tudung kepala. Emine sebelum ini menggesa supaya pengharaman itu ditamatkan dan atas alasan tersebut juga beliau dikecam hebat. Atas alasan tudung jugalah pihak pembangkang dan tentera melihat ancaman yang boleh diberikan oleh Abdullah Gul kerana isterinya bertudung. Akan tetapi rakyat Turki semakin bijak, mereka tidak lagi melihat isu ini dari sudut yang sempit sehinggalah mereka sekali lagi memilih parti AKP untuk memerintah Turki.


    Oleh sebab itu penarikan balik pengharaman tudung ini wajar dikendalikan secara bijaksana oleh kerajaan kerana ia dilihat oleh pihak tentera sebagai boleh mengancam sekularisme di Turki. Alasan pihak tentera dilihat sangat sempit apabila mengatakan pembatalan pengharaman ini boleh memberikan tekanan sosial terhadap wanita yang tidak menutup aurat untuk mula memakai tudung di Turki. Mereka tidak melihat soal ini dari skop yang luas bahkan jika undang-undang ini ditentang oleh pihak tentera maka boleh dikatakan bahawa tentera Turki ialah tentera yang paling tidak bijak di dunia. Mereka cuba mencampuri urusan politik negara, melakukan rampasan kuasa dan menyekat kebebebasan kehidupan rakyat Turki. PMIUM sekali lagi menyokong cadangan yang dibawa oleh Perdana Menteri ini dan mudah-mudahan ia berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang.

    No comments: