Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Thursday, January 31, 2008

    BERITA KAMPUS

    Aktivis Mahasiswa Disiasat

    Beberapa orang aktivis mahasiswa UM kini sedang dalam penyiasatan dan akan diprosiding oleh mahkamah universiti pada pertengahan Februari ini. Sisatan sudah dijalankan dan mereka telah dipanggil oleh pihak HEP bagi melancarkan penyiasatan. Tuduhan yang dikenakan ialah berhubung kes-kes yang berlaku sepanjang Pilihanraya Kampus yang lepas dan isu Parti Mahasiswa Negara yang kini hangat diperkatakan. Kesemua mereka merupakan pimpinan PMIUM dan mantan exco Majlis Perwakilan Pro-Mahasiswa. Persoalan yang ingin dibawa ialah bagaimana dengan kes-kes yang dilakukan oleh pihak aspirasi? Isu pengundi hantu di Kolej Kedua Belas, dua kes langgar motor, isu buli di kolej kediaman dan sebagainya. Kenapa isu ini baru sahaja dibangkitkan kembali selepas hampir 4 bulan pihak HEP membisu? Adakah ada tekanan dari pihak atasan atau pihak HEP terlupa dengan kes-kes yang lain? Bagaimana pula dengan kes-kes penzinaan dan seks bebas yang dilakukan oleh mahasiswa/wi beragama Islam? Pihak tatatertib universiti juga telah menjatuhkan hukuman kepada mereka berhubung isu PMN. Antaranya sama ada diberikan amaran, denda, digantung atau dibuang universiti. Bagaimana pertuduhan sudah dikenakan sedangkan mereka belum lagi dibawa ke muka pengadilan tatatertib? Dan apa yang penting adakah mereka betul-betul bersalah ataupun ia hanya bagi memenuhi kehendak pihak atasan yang mahu menyekat mahasiswa dari terus bergerak? Mahasiswa seharusnya member sokongan moral kepada mereka ini.

    Isu di Kolej Kediaman Ke-2

    Kampus UM gempar seketika apabila Balai Islam KK2 disembur dengan cat dan Yaasin serta Maathurat diselerakkan. Motif sebenar berkaitan kes gempar ini masih di dalam penyiasatan pihak polis. Saya menerima beberapa panggilan telefon dan sms dari para sahabat meminta supaya PMIUM bertindak berhubung isu ini. Bahkan ada yang memberi amaran untuk bertindak keras dan drastik jika PMIUM tidak berbuat apa-apa. Saya nasihatkan kepada semua supaya bersabar dan biarkan pihak universiti, keselamatan dan pihak polis menjalankan tanggungjawab mereka. Saya dimaklumkan oleh pihak keselamatan bahawa individu yang bertanggungjawab telah dikenalpasti. Yang penting kita jangan cepat melatah dengan segala yang berlaku. Apa yang dibuat walaupun dilihat sangat melampau tetapi di sebaliknya mungkin mempunyai motif-motif yang tertentu. Jangan sampai kita terjerat dengan perangkap yang dipasang, gunakan akal minda yang waras bagi mentafsirkan apa yang berlaku. Fahami keadaan setempat khususnya di KK2 yang didiami oleh mahasiswa pelbagai kaum dan persekitaran semasa khususnya menjelang PRU ini. Pihak PMIUM telah mengadakan solat hajat perdana bagi menjamin keharmonian terus berkekalan khususnya di kampus UM. Deligasi juga telah dihantar bagi bertemu dengan pihak pengetua, Master Rajendren bagi mendapatkan maklum balas terkini tetapi beliau kini bercuti di luar negara. Kami tidak mahu mencetuskan sebarang spekulasi tetapi kami mengutuk keras kejadian yang berlaku. Ia dilihat mencemar agama Islam dan seharusnya setiap mahasiswa sama ada yang beragama Islam ataupun tidak harus turut sama melahirkan kekecewaan dengan apa yang berlaku. Jika ini juga berlaku di rumah ibadat yang lain kami juga akan turut mengecamnya. Ia satu bentuk ancaman yang cuba menjejaskan keharmonian masyarakat kampus UM yang populasinya hampir menyamai nisbah masyarakat Malaysia di luar. Diharap motif sebenar berhubung kejadian ini dan mereka yang terlibat dapat dikenalpasti. PMIUM tidak akan hanya berdiam diri selagi mana ia tidak diselesaikan. Isu ini merupakan isu bersama dan mahasiswa juga berhak mengetahui setiap perkembangan yang berlaku.

    1 comment:

    the hazim said...

    suatu blog yang bagus