Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Tuesday, February 19, 2008

    50 TAHUN MEMIMPIN: Pencapaian Dan Kedudukan Ekonomi Malaysia


    Berikut ialah kupasan berkenaan konsep dan kedudukan ekonomi Malaysia yang dilaksanakan oleh BN selama 51 tahun memerintah Malaysia. Pembaca boleh mempertimbangkan dan membandingkannya dengan tawaran yang dibawa oleh PAS untuk PRU-12 dengan konsep negara berkebajikan.


    Pendahuluan

    Malaysia merupakan antara negara membangun termaju hari ini. Banyak projek pembangunan telah dilaksanakan di negara ini dan ia telah mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak.

    Kepesatan pembangunan yang berlaku di negara ini sebenarnya adalah ekoran perancangan menyeluruh yang telah diambil oleh pihak kerajaan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) terutamanya dalam bidang ekonomi.

    Secara langsung, langkah kerajaan ini telah banyak menyumbang kepada kemajuan negara. Kestabilan ekonomi dan politik yang dikecapi, Malaysia kini telah menarik ramai pelabur asing untuk melabur di negara ini.

    Ekonomi Malaysia Sebelum Merdeka

    Jika dilihat daripada perspektif sejarah Malaysia, penjajah British telah menggalakkan perkembangan masyarakat secara plural melalui dasar Pecah dan Perintah. Pihak British telah menggalakkan kedatangan tenaga buruh dari negara China dan India untuk kepentingan ekonomi penjajah dalam sektor perlombongan, perladangan dan perdagangan.

    Penambahan penduduk dan peningkatan kegiatan ekonomi telah menyebabkan pertumbuhan bandar, jalan-jalan, landasan keretapi dan pembahagian kelompok kaum mengikut sektor ekonomi. Keadaan ini telah menyebabkan wujudnya jurang antara kaum.

    Ekonomi Malaysia Selepas Merdeka

    Kepincangan yang wujud hasil pelaksanaan dasar Pecah dan Perintah adalah punca berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Ekoran peristiwa rusuhan kaum ini telah memaksa kerajaan merangka satu dasar yang bersepadu.

    Oleh itu, dasar yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dilaksanakan yang bertujuan membetulkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi antara kaum di negara ini.

    Bagaimanapun, dasar ini tidak berjaya mencapai keseluruhan matlamatnya. Justeru, kerajaan terpaksa melaksanakan langkah lain yang sewajarnya bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dan pada masa sama cuba mewujudkan keseimbangan antara kaum.

    Transformasi Ekonomi Malaysia

    Pertumbuhan ekonomi yang pesat terutamanya pada akhir tahun 1980-an dan awal tahun 1990-an yang dimangkinkan dengan pertumbuhan sektor pembuatan telah menukar parameter makro ekonomi negara.

    Pertumbuhan yang pesat ini menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia telah mengalami transformasi struktur iaitu daripada bentuk ekonomi yang berasaskan pertanian kepada satu bentuk ekonomi yang pantas menuju ke taraf negara perindustrian.

    Dalam pada itu, sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menguncup daripada 23 peratus pada tahun 1980 kepada 8.7 peratus pada tahun 2001, dan dijangka akan terus menurun pada kadar 7.5 peratus pada tahun 2005.

    Bagaimanapun, dari segi nilai sebenar (pada harga 1978), pengeluaran sektor pertanian telah meningkat daripada RM10.2 bilion pada tahun 1980 kepada RM17.9 bilion pada tahun 2001.

    Hal ini bermakna sumbangan sektor pertanian dalam penjanaan ekonomi negara masih lagi penting, tetapi kepelbagaian sektor yang menyumbang kepada KDNK negara telah mengurangkan kebergantungan tinggi kepada pertanian.

    Perubahan struktur ekonomi negara serta liberalisasi dan globalisasi perdagangan dunia dengan terbentuknya Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) telah mewujudkan beberapa isu dan cabaran baru serta matriks persekitaran perdagangan yang berlainan bagi sektor pertanian.

    Di peringkat antarabangsa, sektor pertanian negara terpaksa menghadapi pelbagai isu, antaranya ialah perdagangan yang lebih terbuka, keperluan pengguna yang mengutamakan kualiti, kemajuan bioteknologi yang mempengaruhi pengeluaran dan perubahan dalam paradigma perniagaan dengan kemunculan ICT.

    Selain itu, kerajaan juga terpaksa menghadapi pelbagai cabaran di dalam negara seperti persaingan ke atas sumber pengeluaran, cita rasa pengguna yang berubah, penerapan teknologi yang masih perlahan, persaingan bahan import yang lebih murah, isu persekitaran dan kelestarian sumber.

    Penyusunan Semula Masyarakat

    Kemiskinan adalah salah satu masalah sosial yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan. Kadar kemiskinan ini sangat ketara terutamanya di kalangan kaum Bumiputera yang beragama Islam. Justeru, kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang perlu dalam menangani masalah ini misalnya dengan penyusunan semula masyarakat.

    Dalam proses penyusunan semula masyarakat, kerajaan telah menjalankan langkah-langkah berikut:

    a. Menambahkan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan dan perindustrian.

    b. Menambahkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat. Contohnya melalui Tabung Haji, PNB dan lain-lain.

    c. Membangunkan kawasan luar bandar supaya pembangunannya seiring dengan kawasan bandar.

    Hasil daripada tindakan kerajaan ini telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 48 peratus pada tahun 1960-an kepada kira-kira 5 peratus sekarang.

    Pertumbuhan Ekonomi

    Jika dibandingkan situasi sebelum merdeka dengan apa yang berlaku sekarang, telah banyak perubahan dalam bidang ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan. Antaranya ialah;

    a. Kerajaan tidak lagi menumpukan kepada pengeksportan barang utama dan pengimportan barang

    b. Kerajaan telah beralih daripada sektor pertanian kepada sektor perindustrian, pendidikan, teknologi petroleum dan lain-lain.

    Langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan ini telah membolehkan ekonomi negara mengalami pertumbuhan yang cukup pesat. Antara kebaikan langkah kerajaan tersebut ialah;

    a. Kadar pertumbuhan amat pesat selama satu dekad berturut-turut sehinggalah datangnya kegawatan 1997-1998.

    b. KDNK telah bertambah daripada RM80 bilion pada 1990 kepada kira-kira RM210 bilion pada 2000.

    c. Pendapatan purata per kapita meningkat daripada RM6,099 pada 1990 kepada RM14,788 pada 2000.

    Peningkatan Daya Saing

    Kestabilan ekonomi yang berlaku di negara ini telah menghasilkan peningkatan daya saing dalam negara. Antara kelebihan peningkatan daya saing tersebut ialah:

    a. Melahirkan tenaga kerja mahir.

    b. Mewujudkan sistem kewangan yang kukuh.

    c. Mewujudkan kemudahan infrastuktur yang lebih baik.

    d. Menghasilkan dasar dan peraturan yang menyokong.

    e. Memperkuat rangkaian pasaran ekonomi dunia.

    Pembangunan Sumber Manusia

    Dalam proses memajukan negara, kerajaan menyedari bahawa pembangunan sumber manusia adalah penting. Justeru, kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang perlu dalam pembangunan sumber manusia. Antaranya ialah:

    a. Menambahkan institusi pendidikan di semua peringkat.

    b. Menggalakkan penubuhan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

    c. Mewujudkan lebih banyak program serta latihan berbentuk kemahiran.

    d. Memperkenalkan corak pendidikan bestari.

    Peningkatan Kualiti Hidup

    Kepesatan pembangunan ekonomi negara turut menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat.

    Sememangnya terbukti bahawa Malaysia telah mengalami peningkatan taraf dari segi kesihatan, pendidikan, perumahan dan infrastruktur.

    Pembangunan Teknologi

    Sememangnya kemajuan bagi sesebuah negara adalah dinilai daripada kemajuan sains dan teknologinya. Dalam hal ini. Malaysia tidak terlepas daripada memajukan perkembangan sains dan teknologi.

    Kerajaan menganggap bahawa sains dan teknologi adalah asas kepada pembangunan negara.

    Justeru, kerajaan telah memberi dorongan yang sewajarnya kepada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang tersebut antaranya ialah dengan memberi insentif fiskal (cukai).

    Dalam bidang ICT misalnya kerajaan telah membangunkan prasarana-prasarana berikut:

    a. Mewujudkan Koridor Raya Multi Media (MSC).

    b. Menyediakan latihan berbentuk Teknologi Maklumat (IT).

    c. Menggalakkan program berbentuk celik IT.

    d. Mewujudkan Sekolah Bestari.

    Perindustrian Masa Depan

    Meningkatkan industri barang utama.

    Meningkatkan industri pembuatan ringan (tekstil, elektronik).

    Meningkatkan industri berat.

    Meningkatkan industri perkhidmatan terutama ICT.

    Pentadbiran dan Pembangunan Mapan

    Mewujudkan kerajaan elektronik di Malaysia.

    Memajukan konsep Pensyarikatan Malaysia.

    Meletakkan asas yang sihat bagi mencapai pembangunan yang saksama.

    Menentukan kesejahteraan generasi akan datang tidak tergugat.

    Memberi penekanan kepada pembangunan persekitaran.

    Langkah Kerajaan Mengekalkan Kestabilan Ekonomi Makro

    Kerajaan telah mengambil beberapa langkah dalam memastikan kestabilan ekonomi makro iaitu;

    a. Memastikan kadar pertumbuhan yang tinggi dicapai.

    b. Mewujudkan suasana kewangan yang menyokong perkembangan ekonomi di samping mengelakkan inflasi yang tinggi.

    c. Menggalakkan tabungan untuk menampung pelaburan.

    � Kestabilan ekonomi makro secara langsung telah membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi negara. Berikut adalah kelebihan yang diperolehi hasil daripada langkah kerajaan ini. Antaranya ialah;

    a. Kerajaan mampu mengangani krisis kegawatan ekonomi yang melanda negara pada 1997 tanpa bantuan asing.

    b. Kerajaan menetapkan kadar pertukaran US1.00 kepada RM3.80

    c. Kerajaan menubuhkan Danamodal (untuk menyuntik modal ke dalam bank-bank) dan Danaharta (untuk memberi hutang-hutang lapuk daripada bank).

    Kesimpulan

    � Semenjak merdeka kerajaan telah berusaha dengan pelbagai dasar, langkah dan program bagi menjamin kestabilan ekonomi Malaysia termasuklah melaksanakan DEB, Rancangan Pembangunan Lima Tahun dan Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP).

    � Sememangnya langkah ini menunjukkan kerajaan BN sangat komited dan bersungguh-sungguh dalam membangunkan sektor ekonomi di negara ini iaitu bagi menjamin kemajuan yang berterusan untuk faedah rakyat.


    2 comments:

    zamanKini said...

    zamanKini
    pencetus idea generasi muda

    layari...

    http://erazamankini.blogspot.com/

    Unknown said...

    POHON SHARE...