Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Wednesday, March 18, 2009

    CyberSelf Technique



    Selepas konsisten menulis selama 6 bulan dengan 3-4 jam sehari saya dapat rasakan apa itu kuasa penulisan. Istilah ‘word power’ ini bukan sekadar berkenaan ilmu yang disampaikan tetapi manfaat yang diperolehi. Penulisan bahkan lebih baik dari pembacaan. Membaca iaitu satu proses pemahaman minda kepada perkataan yang ditulis akan tersimpan dalam memori ingatan untuk beberapa waktu dan ia akan terus hilang (jika tidak dibacanya berulang kali atau dihafal). Penulisan membantu untuk memperkuatkan bukan sahaja kefahaman tetapi juga ingatan. Bagi sesiapa yang cermat dengan penulisannya dan meletakkan ilmu sebagai nilai sudah pasti akan memastikan hasil penulisannya itu tepat dan benar. Dan di sini pembacaan berperanan penting bagi penulis. Penulisan juga membuatkan kita berfikir, merangsang untuk membaca dan mencanai minda untuk menganalisis.

    Jadi, penulisan merupakan cermin kepada identiti seseorang. Era gelombang ketiga (third wave) meminjam istilah Alvin Toffler menyaksikan jutaan blog dibina setiap hari. Penulisan dan reka letak blog ini sebenarnya mencerminkan perwatakan, perilaku, kefahaman, pendidikan dan sikap seseorang walaupun tidak dapat dihakimi secara menyeluruh. Paling kurang ia mampu memberi sedikit pengetahuan berkenaan latar belakang seseorang. Jika sebelum ini teknik untuk mengenali perwatakan dan peribadi seseorang adalah melalui bentuk badan. Dr Fadhilah Kamsah terkenal dengan teori mengenal diri melalui tarikh lahir. Terdapat juga teknik mengenali seseorang melalui gaya penulisan. Besar, kecil, bersambung, huruf ‘y’ ke atas atau ke bawah dan sebagainya. Dan kini sesuai dengan dunia tanpa sempadan yang dihuni berbilion penduduknya diperkenalkan CyberSelf Technique untuk masyarakat siber. Disebut masyarakat mengambil istilah Ismail al-Faruqi kerana ia ialah satu kumpulan manusia yang secara sukarela dibentuk. Ini kerana blog umpama ‘open diary’ yang dikongsi dan ditatap oleh semua.

    Beberapa kaedah boleh dikenalpasti melalui CyberSelf Technique iaitu:

    Dari sudut pemikirannya: apakah tema penulisan blog yang disampaikan dan kecenderungannya.

    Sudut pendidikan: tahap pendidikan yang diterima oleh seseorang dapat diketahui melalui pembelajaran yang diterima secara formal atau tidak formal. Jenis dan laras bahasa yang digunakan serta tajuk-tajuk yang dipaparkan.

    Kecenderungan: apakah penulis seorang yang meminati bidang politik, hiburan, sukan, sosial, kemasyarakatan, kewangan, perusahaan dan sebagainya.

    Semua ini dapat dinilai dan dianalisis bukan sekadar bergantung kepada ‘profile’ yang tersedia tetapi juga bentuk penulisan yang dihidangkan. Bahkan sikap sekalipun boleh dianalisis melalui kuasa tulisan ini. Tulisan seperti yang saya jelaskan tadi mencerminkan keperibadian dan pegangan seseorang. Seorang yang meng’copy paste’kan penulisan dengan seorang yang mampu mengeluarkan idea-idea baru dapat dibezakan melalui penulisan. Seorang yang menulis berkenaan aspek fiqh dan hukum hakam semasa dapat jauh dibezakan dengan seorang penulis lucah, gossip atau fitnah. Mungkin golongan berketurunan ‘sofist’ atau pengkagum postmodernisme tidak bersetuju dengan pandangan sebegini. Bagi mereka perkataan yang ditulis hanya difahami oleh yang menulis, manakala pembaca mempunyai kefahaman yang berbeza berkenaan kandungan yang ditulis. Tinggalkan teori itu kerana ia boleh sahaja membawa kita pada perbincangan kuasa autoriti, kuasa pemutus mutlak dan  nihilisme. Ini kerana penulisan bukan berlaku automatik dengan tangan menaip manakala minda melakukan kerja lain. Ia berlaku serentak, ibarat sebuah kereta yang didalamnya berjalan proses di dalam enjin, silinder, karborater sehingga menggerakkan tayar untuk meluncur laju.

    Jadi, teruslah menulis dan analisis tulisan anda, juga tulisan rakan-rakan atau kenalan yang lain. Ia menggambarkan pelbagai ragam dan rahsia berkenaan diri anda, komuniti di dalam lingkungan anda dan manusia yang berada di luar ruang sosial anda.

     

    No comments: