Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Thursday, April 23, 2009

    MALAYSIA YANG LIBERAL


    Pernah menonton filem Slumdog Milionaire? Filem berbajet rendah tetapi memenangi 8 anugerah Oscar ini memaparkan kehidupan sebenar masyarakat miskin India di sebalik gaya hidup kosmopolitan golongan elit dan pertengahan Mumbai. Hakikat kemiskinan dan gaya hidup tersebut diakui oleh masyarakat India, kebanyakan yang mengkritik bukan mempertikaikan kondisi dan latar filem tersebut tetapi lebih kepada soal nama dan istilah ‘Slumdog’. (Di India, dua pertiga daripada lebih 1 bilion penduduknya adalah miskin.) Dan kisah ini belum habis. Ia bersambung ke alam realiti apabila kisah pelakon-pelakon cilik yang diambil berlakon oleh Danny Boyle ini mendapat liputan luas media antarabangsa. Bermula isu pelakon cilik yang tidak selesa kembali ke pangkuan keluarga selepas dihampar permaidani merah di Hollywood sehingga yang terkini isu pelakon kanak-kanak perempuan Rubina Ali yang ingin dijual oleh ayahnya.  Kisah realiti sebegini sukar dipertontonkan di Malaysia. Drama dan filem Malaysia bersifat hipokrit. Lihat sahaja Spa Q, Sembilu, Matahari, Lestary dan banyak lagi. Kebanyakannya memaparkan gaya hidup golongan elit atau kelas atas pertengahan yang hanya menjadi angan-angan majoriti besar warga Melayu Islam. Ia dipertontonkan saban hari ke telinga, mata dan minda masyarakat sehingga akhirnya membentuk pola pemikiran mereka. Bagi mereka Melayu sudah kaya, hidup mewah, ada syarikat sendiri dan bebas bersosial. Indikatornya melalui tayangan-tayangan maya tersebut. Benar teori yang dibawa oleh ahli psikologi, salah satu sifat minda ialah jika ia terdengar sesuatu idea sebanyak tiga kali atau lebih maka hal itu akan dianggap lebih benar dari apa yang didengar sekali sahaja. Maka ramai di kalangan warga kita cepat rasa selesa dengan apa yang ada dan hanya fikirkan kepentingan diri dari kepentingan generasi.

    Apabila Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan membuka pasaran 27 sektor kecil perkhidmatan tanpa sebarang syarat pegangan ekuiti tempatan berkuat kuasa serta-merta maka ramai yang tidak mempedulikannya. Tetapi ramai perlu menyedari (berdasarkan pandangan cetek saya tentang ekonomi) dasar ini memberi definisi yang betul kepada sistem kapitalis. Sistem kapitalis ialah sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu/syarikat tanpa gangguan kerajaan dan berasaskan keuntungan. Sebelum ini, kerajaan seboleh mungkin mengawal dan campur tangan dalam sistem ini di sebalik dasar penswastaan besar-besaran yang diamalkan dahulu. Ia digelar sistem campuran bukannya sistem kapitalis tulen. Tetapi kini kerajaan cuba melepaskan segala-galanya dan memberikan segala-galanya kepada pelabur asing termasuklah sektor-sektor kecil yang selama ini diceburi sebahagian usahawan tempatan. Dasar pro-pelabur asing ini sebenarnya merugikan rakyat. Apatahlagi sektor strategik seperti kesihatan yang merupakan kepentingan awam bakal diserah untuk diperdagangkan oleh pemodal asing. Alasan menjana pekerjaan bertaraf tinggi hanya menjadikan warga Malaysia pekerja di bumi sendiri dan dalam masa yang sama usahawan tempatan yang seharusnya diperkasakan terpaksa bersaing dengan pemodal-pemodal yang sangat kaya ini. Ia mungkin memberi kesan positif jangka pendek kepada pasaran ekonomi Malaysia tetapi mampu memberi kesan negatif jangka panjang kepada masa depan dan sosialisasi masyarakat.

    Ketika era penjajahan dahulu penjajah Inggeris dengan modal berjumlah $1680 juta di sekitar 1920-an menguasai hampir kesemua komoditi dan hasil mahsul negara. Ladang-ladang berkeluasan 2000 hingga 5000 ekar ditanam dengan pokok-pokok getah manakala keuntungan perlombongan bijih timah diserap ke Eropah. Akhirnya selepas berlakunya ‘down raid’ (serangan fajar) iaitu pengambil alihan Guthrie dari British barulah penjajah sedar kedudukannya yang hampir terjejas. Lalu selepas berakhirnya era kolonial cara baru penjajahan diperkenalkan iaitu dengan memperkenalkan idea dan konsep pembangunan dan kemiskinan yang baru. Ia secara rasmi diisytiharkan oleh Presiden Truman pada 20 Januari 1949 melalui ucapan penerimaan jawatan presidennya yang menekankan idea pembangunan: “The old imperialism exploiting for foreign profit has no place in our plans. What we envisage is a program of development based on the concept of democratic fair-dealing. Democracy alone can supply the vitalising force to stir the people of the world into triumph action not a mere against human oppressors but also against their ancient enemeis: hunger, misery and despair.”

    Lalu atas usaha menyelamatkan ekonomi negara maka pemodal-pemodal asing dibawa masuk secara besar-besaran. Kaum pemodal yang menguasai sistem dan teknologi terus mengaut keuntungan manakala rakyat bawahan semakin menderita. Inilah yang berlaku di seluruh pelusuk dunia. Ketika mana Bilionair besi Lakshmi Mittal menghirup coppucino di kediamannya berharga $19.3 billion di London, setiap tiga setengah saat seorang miskin meninggal dunia kelaparan. Ketika mana Carlos Slim Helu seorang Bilionair Mexico dan ketiga terkaya di dunia dengan nilai aset $35 bilion menghabiskan masa meninjau syarikat telekomunikasinya sepanjang tahun, dalam sepanjang tahun tersebut juga 25 000 orang mati kelaparan. Malaysia berbangga apabila 19 firma dengan jumlah aset digabungkan AS$380.08 bilion (RM1.37 trilion) disenaraikan dalam Forbes Global 2000, yang menyenaraikan 2,000 syarikat terbesar dunia bagi tahun ini tetapi masihkah kita menyedari 1.2 juta rakyat Malaysia masih hidup di bawah garis kemiskinan seperti yang dibentangkan oleh Penyelaras Tetap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Dr Richard Leete. Jurang kaya miskin semakin melebar. Nazir Razak, Ketua Eksekutif Bumiputera-Commerce Holdings Bhd yang juga adik kepada PM 1Malaysia dibayar RM9.350 juta pada tahun 2007, menjadikannya individu yang memperolehi pendapatan tertinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan. (GLC: government-linked company). (Rujuk Malaysia Bussiness). Jumlah tersebut sangat jauh mengatasi pendapatan pemandu teksi dan pekerja binaan di Pantai Dalam yang memperolehi RM1000.00 sebulan. Bank Dunia meletakkan nilai pendapatan bawah $1.45 sehari sebagai miskin dan jika diteliti majoriti besar penduduk dunia bergelar miskin. Berkenaan jurang kaya-miskin ini, adakah kemiskinan di Malaysia hanya 5.7% bukannya 30% seperti yang didedahkan bekas presiden Yayasan Strategik Sosial, Dr Denison Jayasooria? Kerajaan mengira PGK (pendapatan garis kemiskinan) sekarang hanya melibatkan keperluan asas seperti yang dilakukan oleh negara-negara miskin, tanpa mengambil kira taraf hidup isi rumah. Apatahlagi kaedah yang digunakan di Malaysia sekarang tidak lagi bersesuaian dengan kedudukan negara ini yang semakin membangun. Cara pengiraan yang diamalkan oleh negara-negara maju adalah purata pendapatan isi rumah dibahagi dua, bagi menentukan garis kemiskinan. Misalnya, kini purata pendapatan bulanan isi rumah rakyat Malaysia ialah sebanyak RM3,686. Menurut Dr Denison, ini bermakna garis kemiskinan ialah separuh daripadanya, iaitu RM1,843. Bagaimanapun, berdasarkan pengiraan 2005, garis kemiskinan untuk seluruh negara adalah RM691 bagi pendapatan bulanan, manakala bagi Semenanjung pula jumlahnya RM661, Sabah (RM888) dan Sarawak (RM765).

     

    Justeru kerajaan seharusnya mengkaji dengan penuh teliti dasar liberalisasi yang diperkenalkan. Konsep pembangunan neo-liberal Barat diakui berunsurkan material sepenuhnya. Negara-negara membangun termasuk Malaysia cuba meniru konsep yang sama agar mereka seiring dengan arus globalisasi yang mementingkan daya saing ekonomi di peringkat global. Oleh itu kerajaan-kerajaan negara membangun mengurangkan peranan mereka dan membenarkan kuasa pasaran memainkan peranan yang lebih luas dengan melaksanakan langkah liberalisasi, deregulasi dan penswastaan. Negara dianjurkan untuk menumpukan kepada usaha meningkatkan daya saing ekonomi dalam pasaran global serta mengurangkan program melindungi dan membantu golongan bawahan dalam masyarakat. Natijahnya kemiskinan semakin meningkat, jurang perbezaan pendapatan semakin ketara dan jenayah semakin berleluasa. Akhirnya Rothschild-Rothschild dari Barat ini berkeliaran di Malaysia dan merampas satu-persatu sumber ekonomi rakyat. Di kala itu juga warga belia disibukkan dengan budaya hedonisme yang dibawa masuk bersekali oleh para Rothschild tadi. Dan kita akan terus leka menunggu tiupan Israfil.

    3 comments:

    MOHD JAMIL said...

    salam ustaz..
    saya ada 2 soalan..

    Di kolej saya ada satu badan dakwah yg dipelori oleh pelajar-pelajar kolej sendiri.Tetapi ada sebilangan ahli badan ini sekitar 10 orang membuat usrah campur lelaki dan perempuan,ustaz di kolej sya pernah menegur mereka, tetapi mereka x trima teguran dan sekrang mereka tidak lagi bersama dengan badan dakwah ini dan masih meneruskan usrah campur mereka(menggunakan dalil Nabi Muhammad menyampaikan dakwah dengan berjumpa secara sulit di rumah Arqam bin Abi Arqam)..selain itu mereka juga mengatakan jemaah mereka itu dibawah kepimpinan pas..1) soalan sya disini bolehkah dibuat usrah campur? ,dimana hampir setiap minggu usrah ini dijalankan..
    2) mereka mengatakan jemaah2 lain seperti JIM,ISMA,HALUAN,ABIM dan lain2 adalah tidak betul dan yg betul hanya PAS kerana alasannya jemaah-jemaah ini tidak memperjuangkan islam secara syumul (menyeluruh)..sya tidak berpihak pada mana jemaah x mengatakan PAS itu salah @ atau betul tetapi mereka ini seperti terlalu taksub dengan jemaah..Ustaz tolong saya.



    ustaz, kalau ustaz x keberatan sya harap ustaz dapat sertakan bersama rujukan @ bahan, hujah , dalil mengenai soalan sya ini dalam bentuk soft copy..ia adalah supaya sya dapat memahami hal ini dgan lebih arif dan dapat berhadapan /berhujah dgan orng yg saya maksudkan dlam soalan sya itu.. terima kasih.

    Mohd Khairul Naim B Che Nordin said...

    Terima kasih pada yg bertanya..
    Fahamkan dulu makna usrah dan tujuannya baru blh jwb soalan blhkah diadakan usrah campur. Usrah perlu dibezakan dengan kuliah. Usrah menuntut interaksi dua hala tetapi kuliah adalah proses penyampaian dalam bentuk 1 hala. Rukun taaruf seperti yang diketahui bukan sekadar tafahum (saling memberi kefahaman) tetapi juga taaruf (mengeratkan ukhuwwah, menyemai kasih sayang antara anggota) takaful (bantu-membantu antara anggota). Usrah juga bukan tertutup di dalam kelas, masjid atau surau tetapi melebar ke padang, pasar, bilik anggota usrah, puncak gunung dan banyak lagi tempat-tempat yang lain. Sikap menskopkan usrah dan tak kreatif sebabkan ramai orang tak berminat menyertainya. Sedangkan antara komponen penting usrah juga bukan sekadar berteori semata-mata tapi membabitkan praktikal. Jadi bila mana usrah diadakan campur antara lelaki dan perempuan timbul pertanyaan sejauh mana usrah tu diadakan. Jika sekadar berceramah maka itu belum mencapai matlamat usrah yang dihajati. Berkenaan dalil Nabi ini boleh rujuk fiqh sirah karangan Sheikh Muhd Said Ramadhan al-Buti, ulama Syria yang masih mengadakan kuliah menggunakan kitab ni dalam kuliah mingguannya di masjid Syria. Dalam kitab tersebut dijelaskan: Ketika pemeluk agama Islam meningkat 30 orang lelaki dan perempuan maka RasuluLlah pun telah memilih satu tempat yang agak terpencil sedikit iaitu di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam dan di rumah itulah Rasulullah menyampaikan segala tunjuk ajar dan nasihat. Seruan ini telah berjaya memberi hasil yang memuaskan di mana hampir empat puluh orang telah menyahut seruan Islam. Kebanyakan mereka ini adalah terdiri dan golongan fakir miskin dan hamba sahaya yang tidak ada tempat dalam masyarakat Quraisy. RasuluLlah telah menjalankan tugas da’wahnya secara sulit lebih kurang tiga tahun sehingga turunnya ayat Qur’an yang ber bunyi: “Maka sampaikanlah olehmu secara terang—terangan segala apa yang diperintahkan(kepadamu) dan berpalinglah dan orang-orang yang musyrik.” (Surah Al-Hijr 15:94)

    Jadi perlu difahami pertemuan tu dibuat ketika Islam dalam era pembinaan, ada ancaman dari musyrikin, jumlah penganut pula kecil sehinggalah datang dalil di atas memerintahkan dakwah dibuat terang-terangan. para jumhur fuqaha’ dengan ijma’ memutuskan; bahawa apabila muslimin berada dalam keadaan lemah kerana bilangan anggotanya masih sedikit, dan berkeyakinan bahawa mereka akan dibunuh tanpa dapat bertindak balas sesuatu terhadap musuh, maka dalam keadaan begitu hendaklah diutamakan muslihah menjaga kepentingan agama, sama ada yang diijtihad itu tepat atau tidak tepat.

    Berdasarkan definisi usrah tadi dan berdasarkan tujuan Nabi di awal dakwah Islam tadi timbul persoalan atas persoalan apa diadakan campur. Adakah sebab sikit @ apa.. Jika sebab sedikit maka takde masalah buat antara lelaki-lelaki dan pompuan-pompuan sebab lebih efektif dan berkesan. Hanya naqib tu mampu jawab. Sheikh Abd. Karim Zaidan dalam kitabnya al-Mufassal Fi al-Ahkam al-Mar'ah yang masyhur sebut percampuran lelaki perempuan ni dibolehkan dalam beberapa tempat iaitu: Harus kerana terpaksa (dharurah), Harus kerana keperluan (hajat), Ikhtilat kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarak, Ikhtilat kerana melakukan kerja kehakiman, Ikhtilat kerana menjadi saksi, Ikhtilat kerana amar makruf nahi mungkar, Ikhtilat kerana melayan tetamu, Ikhtilat kerana memuliakan tetamu dan jika perlu makan bersamanya, Ikhtilat dalam kenderaan awam, Ikhtilat dalam kerja-kerja jihad, Ikhtilat untuk tujuan belajar atau mendengar nasihat, Ikhtilat dalam suasana yang telah menjadi adat kebiasaan.

    Kuliah atau apa2 yang berbentuk program boleh diklasifikasikan dalam ‘ikhtilat kerana amar ma’ruf’ dan ‘ikhtilat untuk tujuan belajar ‘ tapi jika yang berbentuk usrah yang perlukan perjumpaan berkala, kenali ahli dengan lebih dekat (bukan sekadar kwn biasa), ia perlukan pergaulan yang lebih dari itu. Ikhtilat ni berperanan mencegah sebelum sesuatu yg buruk tu berlaku. Apa yang diperselisihkan hanya pada sudut pendekatan, jika usrah yang diadakan hanya berceramah maka go on tapi ia tak tepatilah matlamat yang sebenar, ia jugak tak manis bagi mereka yang dikatakan anggota gerakan mahasiswa Islam ni. Manusia ni berfitrah, lelaki tetap lelaki dan pompuan tetap pompuan (saling tertarik).. Gaya berfikir jgk berbeza, cara hidup juga berbeza maka perbincangan juga perlu dibezakan. Sebab tu keadilan dalam Islam tak pentingkan sama rata tapi utamakan meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya. Nak bawa Islam diri perlu dijaga dulu. Kita orang yang Allah bagi kefahaman Islam yang lebih sebab didedahkan dengan tarbiyyah, jadi perlakuan dan tindakan kita perlu lebih terjaga berbanding org awam di luar. Itu yg perlu dicapai. Sekadar pandangan, ia mungkin boleh diperhalusi bergantung jawapan dari si naqib usrah tu.

    Tentang soalan ke-2 saya tak mahu ulas panjang, cukup untuk fahami bahawa masalah taaddud jemaah tidak akan selesai jika ahli gerakan masih blm faham fiqh ikhtilaf (rujuk buku Adab Ikhtilaf: Syeikh Tahir Jabir al-Alwani dan Yusof al-Qaradawi: Kebangkitan Islam antara perselisihan yg dibenarkan dan perpecahan yang dicela.) Tatkala Israel menghala muncung nuklear ke negara umat Islam kita masih berbalah sama sendiri, tatkala Islam dipermain di Malaysia kita masih bergaduh. “Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian).” al-Baqarah: 217. Ia habiskan masa kita yang patut tumpukan ke arah selesaikan isu yang lebih besar. Macam yg Yusuf Qardawi sebut “Perhatian kita sentiasa tertuju kepada tempat-tempat perselisihan, bukan kepada titik-titik persatuan.” Perbezaan pendapat dalam soal furu’ tak membahayakan kecuali ia berkenaan perkara usul. Justeru saya sebut dalam ‘zon’ ini diulangi dalam ‘zon’ ini agar kita bersikap berlapang dada antara satu sama lain, jangan cetuskan perselisihan yang merugikan kita sendiri.
    “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Tahrim: 8)

    Anak Muda Reform said...

    amboi..dah pandai bebicara mengenai ekonomi la pulak..bagusla..memang lapangan hang bidang akademik ni...

    betul2 murobbi, bagi panduan kepada anak usroh yang kekeliruan...