Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Friday, April 17, 2009

    Pentadbiran, Politik & Internet



    Dunia maju di era globalisasi kini memihak kepada ‘siapa yang cekap’, ‘siapa yang cepat’ dan ‘siapa yang menarik’. Nilai ini subjektif sifatnya. Oleh itu ‘siapa yang lembap, konvensional dan kuno’ akan ketinggalan di belakang dan akhirnya sedikit demi sedikit semakin ‘menua’ dan ditinggalkan.  Yang lembap, konvensional dan kuno ini kerana terlalu lama wujud, merasa dirinya gah, berkuasa dan tidak tertanding dan apabila dicabar maka status quonya dirasai tergoyah. Bagi memastikan status quo itu kekal berdiri utuh maka pelbagai kaedah digunakan juga dengan cara lama dan kuno yang bersifat keras dan bercirikan ugutan. Bilamana si pemegang status quo ini melihat medium internet mencabar jati dirinya maka ugutan diberikan. Ugutan kepada sesiapa yang mengeruhkan keharmonian masyarakat di Malaysia masih boleh dipertimbangkan tetapi jika ugutan itu hanya bersifat satu pihak dan pihak yang satu lagi dengan media arus perdananya terus memutar belit fakta dan bersifat pilih kasih maka ini menonjolkan cara kuno dan lapuk yang sememangnya akan diketepikan oleh golongan muda. Tindakan berbentuk hukuman kepada sesiapa yang mengeksploitasi fakta seharusnya diperbetulkan tetapi bukan dengan cara pilih kasih. Secara langsung keputusan yang dibuat oleh pemegang ‘status quo’ ini dilihat secara sisi negatifnya hanyalah untuk menjaga survival dan kerelevanannya. Pentadbiran dan keperluan masyarakat di letakkan di tempat kedua manakala politik di angkat ke tempat yang pertama.

    Bagi mengelak berlakunya percampuran kepentingan politik kepartian dengan keperluan memenuhi kehendak masyarakat maka Woodrow Wilson (1886) pernah memperkenalkan pendekatan dikotomi dalam pentadbiran melalui artikelnya The Study of Administration. Pendekatan ini juga dipelopori oleh Frank J. Goodnow yang dikatakan sebagai pengasas doktrin dikotomi politik-pentadbiran. Bagaimana idea ini boleh timbul? Ia timbul sebagai reaksi menentang sistem yang menjadikan politik sebagai naungan, sistem yang berkuasa melantik sesiapa sahaja berdasarkan kepentingan politik dan segala dasar yang dbuat bertunjangkan kepentingan politik yang keterlaluan. Namun masalahnya ialah bagaimana ingin ditentukan garis atau titik antara politik dan pentadbiran dalam pemerintahan. Oleh itu dikotomi politik-pentadbiran ini akhirnya ditukar kepada sistem yang tidak berpihak kepada mana-mana pihak dalam membuat keputusan. (bagi memastikan penjawat awam bertanggungjawab melaksanakan program pembangunan maka mereka tidak dibenarkan bergiat dalam kegiatan politik kepartian) Walaubagaimanapun lingkungan masyarakat Malaysia yang demokratik ini masih dicemari idea-idea yang meletakkan politik sebagai nilai asas penentuan dasar menyebabkan berlakunya kecelaruan dalam pembentukan polisi dan sistem pentadbiran. Ia bukan disalah guna oleh penjawat awam yang bertindak sebagai pelaksana tetapi oleh badan eksekutif yang menentukan sesuatu dasar.

    Gaya sebegini adalah gaya lama dan kuno, tidak dinamik dan berciri kaku. Pengawalan kepada internet bukan perlu difokuskan kepada bagaimana ingin menyekat media yang mengancam status quo tetapi perlu diutamakan kepada bagaimana ingin menjaga kepentingan masyarakat. Kadar penembusan jalur lebar ke setiap isi rumah kini telah mencapai tahap 21 peratus dan sasaran utama di bawah Pelan Pembangunan Jalur Lebar Kebangsaan ialah untuk mencapai 50 peratus pada akhir tahun 2010. Namun adakah sebarang medium digariskan bagi membendung kemasukan maklumat-maklumat tidak sihat khususnya yang berunsur lucah ke setiap rumah. Atau si pemegang status quo disibukkan dengan perancangan mengawal medium yang menjejaskan statusnya? Pengguna di Malaysia melayari internet sekurang-kurangnya dua jam sehari dengan kira-kira 53.8 peratus melayarinya di rumah, manakala 24.4 peratus lagi di rumah menggunakan komputer mahupun telefon bimbit. Daripada 25 laman web paling popular, hanya dua saja yang terikat pada undang-undang. Jika sekarang penagih-penagih dadah memenuhkan pusat-pusat serenti dan penjara tetapi kini apa yang dibimbangi lahirnya penagih-penagih seks yang lahir dari bilik kediaman mereka sendiri (online dishibition effect).  Ia isu moral dan boleh memberi kesan besar kepada kehidupan masyarakat. (untuk maklumat lanjut boleh baca artikel Halina Mohd Noor, Ancaman Seks Siber, B. Harian, 17/04/2009).

    Satu kajian yang dibuat oleh Arun Karpinski seorang penyelidik pendidikan dari Universiti Ohio mendapati Facebook boleh memberikan kesan negatif kepada pembelajaran pelajar yang menggunakannya. Dari ‘survey’ yang dibuat di sebuah kolej, pengguna Facebook mendapat GPA antara 3.0 hingga 3.5 manakala yang tidak menggunakannya mendapat GPA 3.5 hingga 4.0. Pengguna Facebook menghabiskan masa belajar antara 1 hingga lima jam seminggu manakala yang tidak menggunakan Facebook memperuntukkan masa belajar selama 11 hingga 15 jam untuk belajar(LiveScince.com). Kajian yang dibentangkan di Mesyuarat Tahunan American Education Research Association membuktikan kesan internet bukan sekadar boleh mempengaruhi emosi seseorang bahkan mampu menjejaskan akademik seterusnya masa depan seseorang. Jadi ibu bapa dan pelajar perlu berhati-hati menggunakan internet. Ia boleh dimanfaatkan dan boleh juga membinasakan.

    Oleh sebab itu sebagai mengambil satu contoh sahaja iaitu internet, yang memegang ‘status quo’ ini harus benar-benar merealisasikan keperluan rakyat bukannya kepentingan parti. Dasar awam di Malaysia dibentuk berdasarkan isu (rujuk buku Dasar Awam di Malaysia: Sabitha Marican). Jika timbul sesuatu masalah, kes dan isu barulah sesuatu dasar tersebut akan dibentuk. Ini memperlihatkan kelemahan perancangan masa depan pentadbiran. Dasar berkonsepkan ‘sudah jatuh baru terngadah’ ini perlu ditukar dengan perancangan rapi, tersusun dan menyeluruh. Jika tidak pemegang ‘status quo’ ini akan terus lena, ditimpa penyakit dan akhirnya.....

    1 comment:

    Anak Muda Reform said...

    macam tajuk buku hishamuddin rais je..hebatnye..