Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Monday, November 16, 2009

    ORANG LAMA

    Kenapa ikatan ukhuwwah (persaudaraan) dalam gerakan Islam kini dilihat taboo oleh ahli-ahlinya. Itu antara aspek asas perbincangan usrah saya bersama beberapa sahabat yang lain. Anak usrah atau lebih sesuai pakcik-pakcik seusrah saya ini berusia lebih tua atau sama umurnya dengan usia ayah saya. Bahkan ada yang usianya sama dengan umur datuk di Terengganu. Mereka mula terlibat dengan gerakan Islam ketika saya masih menyusu. Ketika saya belum kenal bagaimana bentuknya sebuah kereta dan apa beza lelaki dan perempuan. Mereka menetap di Kuala Lumpur ketika kosmopolitan itu masih dipenuhi hutan, yang mana warganya berkongsi hidup dengan haiwan yang lain. Jauh sebelum tertegaknya Menara TM, Midvalley, bar-bar di Jalan Maarof, Kl Sentral, lot-lot kedai di Kerinchi dan ketika Universiti Malaya masih berbau catnya. Pekerjaan mereka pelbagai; posmen, peniaga, operator, pemandu lori, pemandu teksi, pesara dan kerja-kerja yang golongan kini klasifikasikan sebagai kelas tiga. Namun puluhan tahun dengan gaji ciput itu jugalah mereka kekal konsisten dengan gerakan Islam. Mereka tidak berjawatan tinggi apatahlagi gaji yang tinggi namun punyai semangat yang tinggi. Walaupun pada awalnya apabila ditanya tentang rukun-rukun usrah mereka mengatakan ‘zero’ tapi apabila dibincangkan dari sudut pengamalannya mereka jauh memahami. Mungkin mereka tidak memahami konsepnya secara teoritikal tetapi mereka hadaminya melalui pengamalan.

    Mereka golongan yang tidak punya apa-apa kepentingan dan cita-cita tinggi. Usia pun sudah di tahap subsidi. Melihat keadaan ini saya teringat bagaimana dakwah Nabi SAW pada awalnya hanya diterima oleh golongan yang tidak punya kepentingan duniawi. Orang miskin dan hamba abdi adalah majoriti 40 orang yang memenuhkan perjumpaan secara rahsia dengan baginda di rumah al-Arqam Bin Abi al-Arqam di Mekah. Yang menjadi penentang utama ialah para pemimpin, golongan saudagar dan kabilah yang berpengaruh. Waktu itu Islam dalam keadaan begitu asing (dagang) dan keasingannya disambut oleh kelompok yang dipandang hina oleh yang berkepentingan. Kini Islam kembali dilihat asing dan yang komited dengan gerakan Islam juga adalah yang tidak banyak kepentingannya. Ketika orang lain sibuk berbincang persoalan kuasa mereka bimbang memikirkan permasalahan tarbiyyah. Golongan ini berada di mana-mana tetapi jumlahnya semakin sedikit. Mereka adalah akar yang menjadi tunjang, mengukuh mendapatkan protein demi menghasilkan buah yang enak rasanya. Ia membantu pokok untuk terus kekal berdiri teguh. Lantas ketika saya membaca tafsir surah al-Qalam saya tersedar benarlah janji Allah SWT. Orang yang banyak mencela, menyebarkan fitnah, menghalangi perbuatan baik, melampaui batas, banyak dosa, jahat kejam dan terkenal kejahatannya salah satu faktornya adalah kerana memiliki harta dan anak yang banyak. Ayat 10-16 dari surah ini meletakkan mereka yang punyai ramai anak dan harta akan lebih mudah mendapat pengikut namun jika dia mempunyai sifat-sifat di atas maka dia langsung tidak boleh diikuti. Adalah baik untuk tidak mempunyai harta dan kedudukan asalkan kehidupan kita diredhai Allah, namun adalah lebih baik lagi sekiranya kita mempunyai harta dan kedudukan dan ia untuk digunakan untuk segenap jalan dan ruang yang mampu memberi sumbangan untuk Islam.

    No comments: