Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Tuesday, November 3, 2009

    Dengan sedikit sentuhan


    Kadang-kala apa yang kita lakukan bukan di atas kehendak sebenar kita. Biasanya apabila kita ke kompleks beli-belah, kita sudah menetapkan barang-barang apa yang ingin dibeli beserta belanjawan yang telah dikeluarkan. Namun kadang-kala juga apa yang kita beli bukan berdasarkan perancangan yang telah ditulis, atau mungkin sahaja ditambah dengan pembelian yang tidak sepatutnya. Biasanya apabila saya ke OneUtama, Damansara apa yang dicari ialah buku-buku di MPH, tetapi boleh sahaja apa yang dibawa balik ialah sehelai kemeja atau sepasang kasut. Adakah ini menunjukkan terdapat kuasa luar yang menekan kita dalam melakukan sesuatu keputusan? Kajian menunjukkan kita sentiasa cuba dipengaruhi secara sedar atau tidak. Bukti paling dekat dan sangat halus ialah televisyen. Satu kajian oleh psikologis diketuai Brian Mullen dari Syracuse University pada tahun 1984 telah membuktikannya. Mereka telah merakam tiga program berita malam yang dikendalikan Peter Jeninngs dari ABC, Tom Brolaw dari NBC dan Dan Rather dari CBS. Ia dirakam lapan hari sebelum pemilihan presiden Amerika antara Ronald Reagan (Republikan) dan Walter Mondale (Demokrat). Mullen memetik laporan-laporan yang disampaikan pemberita berkenaan dua calon presiden tersebut, Keseluruhannya 37 segmen yang berbeza dengan setiap segmen selama dua setengah saat. Segmen ini dipertontonkan kepada beberapa responden terpilih dengan ditutup bunyinya (dan mereka langsung tidak mengetahui untuk apa kajian ini). Responden hanya perlu meletakkan markah kepada pemberita berdasarkan ekspresi emosi dan muka yang ditunjukkan oleh tiga pemberita tersebut semasa melaporkan perihal dua calon presiden. Skalanya ialah 21 dengan yang paling rendah ‘extremely negative’ dan paling tinggi ‘extremely positive’. Hasilnya Dan Rather (CBS) mendapat 10.46 apabila melaporkan berkenaan Mondale dan 10.37 apabila memperihalkan tentang Reagen. Ini menunjukkan ekspresi yang ditunjukkan ialah neutral. Begitu juga dengan Brokaw (NBC) yang mendapat 11.21 untuk Mondale dan 11.50 untuk Reagan. Namun ia berbeza dengan Jennings (ABC) yang mendapat 13.38 untuk Mondale. Apabila melaporkan tentang Reagan, skalanya ialah 17.44 . Menunjukkan wajahnya berubah dan ekspresi yang ditunjukkan lebih positif berbanding Mondale.

    Kajian ini diteruskan dengan menemubual beberapa pengundi yang secara kebiasaannya menonton siaran berita malam. Hasilnya mengejutkan. Dalam setiap kes, mereka yang menonton ABC akan mengundi Reagan berbanding mereka yang biasa menonton CBS dan NBS. Di Cleveland sebagai contoh, 75% penonton ABC mengundi Republikan. Wajah bias yang diekspresikan oleh Jennings (ABC) ketika melaporkan tentang Reagan telah memberi pengaruh besar kepada pengundi. Kajian seumpama ini boleh dilakukan di Malaysia. Dari pemerhatian rambang saya ketika menonton berita malam (Awani, Edisi 7, Buletin Utama, Perdana 1 RTM) para pemberita sememangnya menunjukkan ekspresi yang berbeza-beza ketika melaporkan isu-isu tertentu. Apabila melaporkan berkenaan dasar baru yang diperkenal kerajaan, laporan bajet 2010, perhimpunan agung UMNO dan ulasan pemimpin kerajaan maka wajah pemberita lebih positif, tersenyum dan menunjukkan keselesaan. Namun apabila memperihalkan berkenaan pemimpin pembangkang, demonstrasi, liputan PRK untuk pembangkang dan lain-lain, wajah mereka ditunjukkan berkerut, membimbangkan dan seolah tidak berpuas hati. Ekspresi ini lebih banyak ditonjolkan oleh pemberita TV3 dan RTM berbanding Awani, NTV7 dan TV9 yang dilihat riak wajahnya lebih neutral. Riak wajah ini juga dilihat lebih ketara di waktu perdana (8.00-10.00 malam). Ini observasi rambang yang saya buat dan jika dibandingkan dengan kajian di atas, ia dapat membuktikan maklumat yang didoktrinkan kepada pendengar (lebih tepat pengundi) bukan sekadar melalui isi-isi berita yang disampaikan dan didengar telinga tetapi juga melalui riak muka yang dilihat mata. Terdapat beberapa kajian lagi yang menunjukkan kuasa ekspresi dan gerak badan kepada penonton. Sebagai contoh iklan yang lebih banyak pelakonnya mengangguk atau yang menggerakkan objek dari atas ke bawah (seperti bouncing ball) secara automatik mempengaruhi penonton untuk mengangguk kepalanya tanpa sedar dan berminat membeli produk yang diiklankan.

    Ini menunjukkan gerakan badan walaupun hanya sekilas senyuman mampu mempengaruhi seseorang. Zikir-zikir dalam tarikat juga mempunyai gerakan yang tersendiri. Qadiriyyah sebagai contoh dengan zikir perlahan ‘Allahu Allahu’, menganggukkan kepala ke sebelah kiri yang ditujukan pada hati, supaya kalimah Allah terpasak kukuh dalam hati penzikir. Begitu juga dengan tarikat lain yang mempunyai gerakan tersendiri. Ia mengukuhkan keyakinan, kerana jasad juga sebahagian dari diri manusia walaupun manusia tidak dikenali sebagai manusia dengan hanya melihat tanga, kaki atau anggota badan yang lain. Manusia dikenali sebagai manusia dengan jiwanya. Namun anggota badanlah yang menjadi wasilah kepada jiwa itu.

    Kajian yang dibuat di Amerika di atas ditujukan kepada media yang tidak terlalu bias dan ini sebaliknya di Malaysia. Rakyat yang hanya menonton TV sebagai sumber maklumat, hanya mendengar tanpa pembacaan serta tanpa analisis dua-tiga lapis kepada apa yang disampaikan sudah tentu akan tetap dengan status-quonya, diperbodohkan dan menjadi rakyat yang tegar dari perubahan. Mereka yang tetap kekal dengan status-quo tanpa ingin berubah kepada yang lebih baik ini adalah golongan lama bermentaliti tua walaupun dia muda sekalipun. Tapi mereka yang ingin berubah, dinamik dan bijak layak digelar pemuda walaupun usianya mungkin mencecah 80 tahun. Jasadnya mungkin uzur tapi akalnya aktif seaktif orang muda. Bagi saya inilah definisi muda yang sebenarnya.

    2 comments:

    Mohamad Hilman bin Nordin said...

    dengan itu, antara cara yang berkesan untuk mempengaruhi masyarakat penonton TV ialah dengan mempengaruhi si pembaca berita.

    kalau si pembaca berita memberikan khabar berat sebelah, sedangkan ia tidak senang dengannya, maka dengan itu terpancar di mukanya raut kebncian (walaupun membaca dengan tersenyum)

    dan kita sebagai penonton, dalam satu tarian bereaksi dengan si pembaca berita, akan turut tidak bersetuju dengan mesej yang disampaikan.

    nah, siapa nak jadi pembaca berita?

    p/s: bagus abg naim, wat extract sikit2 macam nih =)

    Mohd Khairul Naim B Che Nordin said...

    kalau pemberita tu kita pengaruhi tanpa dia mengikut permintaan majikan alamatnya periuk nasi mereka lingkup. apa yang boleh dibuat ialah dgn didik masyarakat untuk berfikir secara kritis, holistik dan kreatif. Dgn itu kita takkan tergerak untuk 'menari' dgn lagak wajah yg diekspresikan. Boikot bukan penyelesai segala2nya selagi TV3 & RTM adalah media perdana yg percuma. APa yg boleh dibuat jatuhkan kerelevanannya.. Strategi ni kita boleh bincang dalam SPM, bawah tajuk strategi penguasaan massa.. hehe.