Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Thursday, February 18, 2010

    Penagih dan pengobses


    Sudah banyak penulisan tentang Facebook. Selagi ia masih menjadi tarikan paling utama di internet selagi itu ia akan diulas-hurai, dan selagi itu perkembangannya akan turut sama mempengaruhi segenap kehidupan umat manusia. Pengguna Facebook kini mencecah 400 juta di seluruh dunia dengan penggunanya menghabiskan 10 bilion minit setiap hari dengan: mencari dan berinteraksi dengan kawan, menulis sesuatu di ‘wall’, mengklik gambar-gambar dan merendamkan sebahagian masa dalam dunia sosial mereka. Puratanya 55 minit dihabiskan oleh seorang pengguna setiap hari, 30 juta meng'update' statusnya setiap hari, 3 bilion foto di'upload', 5 bilion 'post' dikongsi dan 5.3 bilion 'fan' dicipta.

    Ia menjadi medium penjalin hubungan dan pembentuk budaya sosial baru, namun ia juga melahirkan penagih-penagih bentuk baru. Kebanyakannya di kalangan belia dan pelajar. Banyak kajian mendedahkan ia mengganggu kerja dan pelajaran pekerja dan pelajar.

    Facebook bukan sahaja mengalih perhatian, memfana’kan diri dalam laman sosial sendiri tetapi juga mampu mengelirukan identiti diri sendiri. Ia memandu reaksi spontan, menentukan pengawalan diri pengguna untuk terus meng’klik’ laman sosial tersebut sebaik sahaja ‘online’ dan terus lena dalam dunia tersebut sehingga berjam-jam. Dan sekiranya ia diabaikan maka si pengguna akan gelisah, tidak senang duduk dan jika di luar liputan dia akan asyik memikirkan apa yang perlu dilakukan sebaik membuka akaun masing-masing nanti.

    Dan pembangunnya tidak akan membiarkan para pengguna cuba meninggalkan atau melupakan terus Facebook. ‘Newsfeed’, aplikasi dan pelbagai ‘game’ yang sentiasa dikemas kini memastikan penggunanya kekal terikat terus setia. Pengguna benar-benar mengawasi segenap lanskap sosial di skrin masing-masing dan jika kita obses dengan kedudukan kita dalam lanskap tersebut maka usaha melupakan Facebook merupakan langkah yang sangat sulit.

    Apa penawarnya? Ia ibarat tabiat makan luar kawalan. Kita tidak boleh menghentikan pemakanan tetapi mampu mencari alternatifnya. Dan ini juga menyebabkan pakar-pakar psikologi di Barat memikirkan pelbagai kaedah merawat ketagihan melampau ini. New York Times melaporkan seorang pelajar sekolah tinggi Neeka Salmasi mendapat markah yang lebih tinggi selepas kakaknya menukar ‘password’ Facebook pada malam Ahad dan kemudian mendedahkan kembali pada malam Jumaat, memberikannya kesempatan menumpukan perhatian kepada pelajaran dan mengabaikan seketika obsesnya pada laman sosial terbabit. Kemudian dia sendiri meminta usaha ini dilakukan setiap minggu bagi merawat ketagihan.

    Nampaknya kaunselor dan pakar psikologi merupakan kerjaya terbaik masa kini dan masa depan. Lihat sahaja budaya dan pengaruh yang lahir dari internet dan anda akan tahu kenapa.

    2 comments:

    Bisa Biasa-Biasa said...

    tapi percayalah facebook akan menjadi sesuatu yang bosan seperti friendster satu hari nanti..

    討厭 said...

    令人心動的好文章~~.........................