Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Saturday, May 17, 2008

    Dialog Antara Agama: Penghubung Persefahaman Masyarakat Dunia

    Adalah baik dan instruktif sekiranya konsep dialog antara agama ini difahami secara harfiahnya terlebih dahulu. Dialog atau dalam bahasa Inggeris “Dialogue” kebiasaannya dikatakan lawan kepada monolog atau “monologue”.[1] “Logos” merupakan perkataan yang diambil dari bahawa Greek yang bermaksud perkataan atau “word” tetapi mempunyai makna yang pelbagai. Antara makna tersebut ialah pandangan alam atau “worldview” dan prinsip yang munasabah tentang bagaimanakah sesuatu itu (worldview or coherent principle of how things are).[2] “Di” yang diambil dari perkataan “Dialogue” menunjukkan makna dua manakala satu pula ialah ‘mono’.[3] ‘Dia’ pula merupakan sendi nama yang membawa maksud ‘through’ iaitu melalui. Oleh itu ‘di-logue’ bermaksud perbincangan antara dua orang berkenaan pandangan alam di mana perbincangan tersebut berkemungkinan berjalan secara harmoni atau sebaliknya, dan mungkin juga dapat dicapai dengan keputusan ataupun tidak.[4] Tetapi ‘dia-logue’ pula boleh membawa maksud perdebatan yang membabitkan satu atau lebih peserta berkenaan pandangan alam atau ‘worldview’ melalui kesimpulan yang bermakna dan berpotensi untuk diubah bentuk atau ditransformasikan. Ia membabitkan lebih banyak pertemuan yang membawa hasil. Ia juga memperdebat dan membincangkan hal-hal penting untuk mendapatkan kesimpulan dan rumusan.[5]

    Era globalisasi yang berkembang secara pantas kini menyaksikan tercetusnya pelbagai konflik yang bersifat global dan sejagat. Corak kehidupan manusia di era ini lebih pluralistik di mana setiap negara di dunia didiami oleh masyarakat berbilang bangsa dan keturunan. Selain itu, slogan-slogan dan laungan kepada hak asasi dan kebebasan beragama semakin kuat bergema khususnya di negara-negara maju dan membangun. Ia kemudiannya dikembangkan ke pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan ditandatangani oleh pelbagai negara di dunia.

    Globalisasi yang berlaku juga berjaya mendekatkan kehidupan manusia yang rencam ini kepada satu kampung yang didiami oleh mereka yang pelbagai latar budaya dan agama. Ruang yang kecil ini pula membawa kepada interaksi dan perhubungan yang lebih rapat dan jelas. Selain itu, pelbagai masalah yang timbul khususnya berkaitan wujudnya musuh bersama (common enemies) yang menjadi ancaman kepada setiap agama menguatkan lagi keperluan kepada dialog tersebut. Setiap agama dilihat perlu berganding bahu bagi menangani ancaman sekular dan pemfokusan kepada kehidupan material yang kini menjadi satu sistem hidup kebanyakan masyarakat dunia.

    Dialog juga timbul kerana munculnya masalah-masalah yang berkaitan dengan sesuatu agama seperti ekstrimisme dan fanatisme yang kadang-kala memberi kesan buruk kepada penganut agama yang lain. Oleh itu dialog antara agama dilihat paling sesuai dan berkesan bagi menangani dan menghadapi ancaman serta masalah yang berlaku pada hari ini. Dialog antara agama ini dapat membentuk persefahaman, persetujuan dan penyelesaian antara setiap agama yang berbeza. Manusia tidak mampu mewujudkan nilai persamaan dan pengiktirafan sama rata antara dua atau lebih pihak yang berlainan fahaman kepercayaan. Apa yang mampu dilaksanakan adalah dengan mewujudkan persefahaman dan rasa hormat antara satu agama dengan agama yang lain.
    Pemahaman yang jitu dan jelas bukan sekadar dapat dibaca melalui buku-buku atau kitab agama tetapi yang lebih penting ialah pemahaman menerusi dialog dan interaksi perbincangan antara penganut pelbagai agama dan budaya. Selain itu apa yang perlu diberi perhatian ialah melihat kepada semangat toleransi yang mampu membawa kepada kedamaian dan keharmonian.[6] Oleh itu dialog antara agama merupakan mekanisme persefahaman bagi manusia yang terdiri dari latarbelakang kepercayaan yang berbeza.

    Dialog bukan sekadar memberikan peluang untuk mereka memaklumkan sesuatu dan berharap ia akan diterima begitu sahaja tetapi mereka perlu sedar bahawa perbincangan dengan pihak lain ini menyediakan ruang untuk masing-masing saling mengemukakan hujah dan pandangan mereka yang tersendiri. sesuai dengan kehadiran mereka sebagai peserta dialog.[7] Dari definisi yang diberikan di atas dialog adalah satu usaha yang baik kerana ia adalah pendekatan yang berguna bagi mencari penyelesaian dan mewujudkan persefahaman antara satu sama lain. Namun perlu dimaklumi bahawa usaha bagi mencari penyelesaian pertembungan antara agama dan kewujudan persefahaman ini bukan semudah penyelesaian tentang hal-hal politik, ekonomi,sosial dan pendidikan. Ia akan menjadi sukar apabila topik dialog yang dibawa berkisar berkenaan dengan agama yang menjadi pegangan, kepercayaan dan keyakinan yang bersifat mutlak. Agama seperti yang dimaklumi adalah perintah dari Tuhan yang mesti dipatuhi dan ditaati. Ia bersifat suci, mutlak, berbentuk panduan dan pedoman hidup serta rintang dari perubahan. Oleh itu dialog agama memerlukan mekanisme yang berkesan serta pendekatan yang tersusun rapi bagi memastikan matlamat yang dihajati tercapai.

    KONSEP AKHLAK DALAM ISLAM: PEMBENTUK MODEL UMAT TERBAIK

    Melihat kepada situasi dunia yang kian bergolak, masyarakat dunia pada masa kini memerlukan perubahan dan anjakan secara langsung dengan menerima dan mengiktiraf Islam sebagai landasan kehidupan. Tiada apa jua pun di dunia ini yang mempunyai sifat kekal dan tetap. Perubahan pasti akan berlaku setiap masa, ketika dan suasana. Perubahan-perubahan ini kadang kala membawa unsur negatif dan dalam masa yang lain pula membawa perubahan positif. Mengurus perubahan adalah antara model yang telah diperkenalkan oleh Rasulullah S.A.W dalam melahirkan masyarakat madani yang beriman, bertakwa dan berakhlak mulia. Pengurusan perubahan yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W ini memerlukan kaedah yang cekap dan berhikmah. Perubahan yang dilaksanakan dengan asas ketauhidan melalui kaedah yang bijaksana ini telah menukar corak penghidupan masyarakat jahiliyyah kepada masyarakat madani.[1]

    Konsep akhlak dalam Islam merupakan sebuah konsep yang asli, murni dan terbaik dalam menyelesaikan konflik manusia yang berpanjangan. Ini kerana pencarian erti kemanusiaan yang dibawa oleh Islam (iaitu konsep asas sebelum pembentukan akhlak terbentuk) itu berbalik kepada Pencipta yang menciptakan manusia itu sendiri bukannya melihat hanya kepada aspek manusiawi dan persekitarannya.

    Menurut al-Attas hanya terdapat dua aliran pemikiran dalam tradisi intelektual Islam yang membahaskan berkenaan dengan hakikat kewujudan ini iaitu golongan Esensialis yang terdiri dari semua ahli falsafah serta sebahagian teolog Muslim, dan golongan Eksistentialis yang diwakili oleh para sufi cendiakawan.[2] Oleh itu manusia menurut Islam dilihat kepada kewujudan jatidirinya yang terangkum daripada dua elemen yang saling berkaitan iaitu jasad dan roh. Kedua-dua aspek ini mempunyai peranan dan fungsi masing-masing dengan dilengkapi oleh fakulti yang memiliki sebutan yang berlainan dalam keadaan yang berbeza iaitu roh (ruh), jiwa (nafs), hati (qalb) dan akal (‘aql).[3] Menurut al-Attas, fakulti ini memiliki dua makna iaitu yang merujuk kepada aspek jasad atau kebinatangan dan aspek kerohanian.[4] Ia dinamakan akal ketika bergelut dengan sesuatu yang berkaitan dengan intelektual dan pemahaman, disebut jiwa ketika mengatur tubuh, disebut hati ketika sedang mengalami pencerahan intuisi dan disebut roh ketika kembali ke dunianya yang abstrak. Kedudukan manusia di akhirat kelak bergantung kepada keutamaan yang diberikan dalam aspek-aspek tersebut.[5]

    Oleh itu dimensi kebahagiaan yang diidamkan oleh setiap manusia menurut Islam terletak kepada tujuan agama iaitu mengembalikan manusia ke kedudukan asalnya iaitu melihat diri dan kehidupan sebagai milik Allah S.W.T seperti yang difirmankan oleh Allah S.W.T dalam surah al-A’raf ayat 172.[6] Kebahagiaan menurut Islam bukan sekadar melihat kepada aspek fizikal dan material semata-mata tetapi ia harus mencapai kebahagiaan spiritual yang lebih kekal. Aspek fizikal atau jasadi ini tidak ditolak mentah-mentah tetapi menjadi sumber penting ke arah mencapai kebahagiaan abadi tersebut.[7]

    Melalui jasad dan fizikal inilah nilai-nilai kerohanian dapat diperolehi khususnya berkenaan dengan dunia dan pengalaman inderawi. Kebahagiaan yang menjadi matlamat kepada nilai akhlak tertinggi ini tidak terletak kepada usaha untuk meraih persamaan tetapi dilihat kepada usaha untuk mencapai keadilan dengan meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya.[8] Keadilan dan ketidakadilan ini bukan setakat membabitkan perhubungan antara dua orang atau lebih tetapi lebih mendasar kepada diri sendiri yang menjadi pemula dan pengakhir. Seorang manusia bukan sekadar boleh berlaku adil atau tidak adil kepada orang lain, malahan boleh juga bersikap atau berkelakuan begitu kepada dirinya sendiri.[9]

    Akhlak Islam merupakan akhlak yang bersifat universal dan sejagat. Aspek kesejagatan yang berlandaskan ketauhidan kepada Allah S.W.T ini dilihat mampu menjadi penyelesai paling baik dan berkesan dalam merawat masyarakat dunia yang berbilang bangsa, keturunan, warna kulit dan jantina ini. Tetapi adakah konsep akhlak dan pandangan alam Islam ini mampu dan dapat diterima secara syumulnya oleh umat manusia yang pelbagai. Sememangnya adalah satu kewajipan bagi semua umat manusia menjadikan Islam sebagai panduan dan pedoman cara hidup, tetapi adakah mereka yang tidak mempunyai kefahaman langsung berkenaan dengan Islam, atau jika mempunyai pengetahuan sekalipun ianya diseleweng oleh hasutan dan fitnah musuh atau mereka yang meletakkan rasional akal dan hawa nafsu sebagai kuasa pemutus boleh menerima Islam dengan mudah. Rasulullah S.A.W sendiri memerlukan tempoh masa yang panjang dan perlu melalui beberapa tingkat dan strategi sebelum berjaya menukar masyarakat jahiliyyah kepada masyarakat yang tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T. Satu persoalan di sini. Bagaimanakah umat Islam perlu berperanan apabila berhadapan dengan situasi yang telah sekian lama wujud ini?

    BARAT DAN KEHAMPAAN LUNAS PANDUAN

    Setiap individu yang merdeka dan menyedari nilai dirinya sendiri akan mengiktiraf setiap individu lain atas sifat yang sama.[1] Menurut Hegel manusia di era moden ini berjuang untuk mendapatkan pengiktirafan dan memuaskan keinginannya. Bagi Nietzsche pula seseorang yang ingin cemerlang, agung dan mulia perlu mempunyai keinginan untuk diiktiraf sebagai lebih baik dari orang lain.[2] Oleh itu manusia yang dilahirkan sama tidak akan berhenti membesar dan ‘membangun’ dengan sekadar menjadi serupa dengan orang lain tetapi ingin diiktiraf sebagai lebih unggul dari manusia yang lain itu.[3] Oleh sebab itu juga matlamat terakhir segala kegiatan dan perbuatan manusia adalah kebahagiaan.[4] Makna kebahagiaan itu didefinisi, difahami dan dipersepsikan mengikut pemahaman dan pandangan yang pelbagai. Malahan ramai manusia mengejar sebuah bentuk kebahagiaan yang tidak diketahuinya. Mereka bukan setakat tersekat dan lemas dalam pemahaman berkenaan pengertian kebahagiaan itu sendiri namun dalam masa yang sama bergelumang dengan syak wasangka, kebimbangan, keraguan dan kekeliruan yang merunsingkan. Manusia sedikit demi sedikit cuba memadamkan nama Tuhan dalam kehidupan mereka, membuang makna ghaib dan metafizik dalam pertuturan dan berputus asa terhadap kewujudan Tuhan dan perkara-perkara ghaib tersebut.

    Manusia masa kini juga semakin sangsi dengan keaslian dan ketulenan mutlak sebahagian besar tekstual agama mereka sendiri. Richard Simon, pengarang buku Histoire Critique du Vieux Testament atau Sejarah Kritikan tentang Perjanjian Lama mengakui kesulitan-kesulitan kronologi (urutan sejarah), ulangan-ulangan, tulisan-tulisan yang tidak teratur tentang riwayat-riwayat serta perbezaan tatabahasa dalam kitab tersebut.[5] Robert et Feuiller dalam bukunya Introduction a la Bible menyatakan bahawa terdapat lebih kurang 200,000 perbezaan dalam sejumlah besar manuskrip Yunani bagi Perjanjian Baru (New Testament).[6] Dr. Radhakrishnan pula menyatakan bahawa konsep umum Veda dalam agama Hindu tidak tetap dan terperinci. Ketidaksempurnaan ini membolehkan ia dibentuk mengikut pemikiran-pemikiran tertentu. Dr. Edward Conze pula menjelaskan melalui bukunya Buddhism: Its Essence and Development bahawa manuskrip asal agama Buddha dikenal pasti dengan menggunakan pendekatan yang tidak kukuh. Atas asas itu juga doktrin agama Buddha yang asal adalah berbeza daripada apa yang difahami oleh pengikut-pengikut Buddha pada hari ini.[7]

    Semua itu menggambarkan kehampaan manusia kepada ajaran yang berperanan memandu kehidupan mereka. Hasilnya mereka melakukan beberapa usaha dan percubaan bagi mencari penyelesaian tersebut. Namun usaha dan percubaan itu merupakan suatu usaha kosong dan sia-sia kerana kaedah penyelesaian yang digunakan adalah kaedah sama yang membawa mereka ke jalan buntu seperti sebelumnya. Akhirnya mereka berlingkar dalam lingkaran kejahilan tanpa mampu keluar dari persekitaran, cara hidup dan pemahaman tersebut.

    Sejarah telah menunjukkan bahawa pencarian manusia untuk memahami hakikat kewujudan telah dilakukan oleh sejumlah individu sejak zaman dahulu lagi.[8] Pencarian yang berterusan ini berlaku sepanjang zaman sehingga menimbulkan pelbagai pemahaman, perdebatan dan konflik yang berpanjangan sehingga ke hari ini. Pencarian yang dibuat ini bukannya memberi kemanfaatan dan kedamaian sebaliknya memunculkan permasalahan dan konflik yang lebih parah.

    Oleh sebab itu pencarian seperti yang dilakukan oleh Barat ini mempunyai perbezaan yang ketara dengan konsep yang dibawa oleh Islam. Mereka lebih banyak menghabiskan masa, wang dan tenaga dengan menumpukan kajian dan penyelesaian yang didasarkan kepada konsep dunia fizikal masa sekarang untuk mengetahui asal-usul dan makna kewujudan manusia. Mereka meletakkan kajian tentang fenomena alam, manusia itu sendiri dan jagat raya sebagai matlamat akhir. Hasilnya mereka meletakkan tendensi manusia itu sendiri sebagai tempat bergantungnya keseluruhan kehidupan bermoral dalam mencapai kebahagiaan dan kebaikan yang tertinggi iaitu Tuhan.[9] Terdapat juga yang meletakkan prinsip dan matlamat terakhir perlakuan manusia itu adalah kelazatan seperti yang dipegang oleh aliran Hedonisme, kegunaan sebagaimana konsep yang dibawa oleh Bentham dan John Stuart Mill, perikemanusiaan seperti yang dibawa oleh Auguste Comte, kemajuan seperti yang dipelopori oleh Herbert Spencer dan untuk melahirkan “superman” seperti yang dilperkenalkan oleh Nietzsche.[10] Mereka meletakkan pengalaman manusia (human experience), kebolehan mengetahui sesuatu tanpa berfikir dan mengkaji (intuation) dan akal (reason) sebagai kriteria bagi menilai sesuatu perkara itu baik atau buruk.[11]

    Melihat kepada apa yang berlaku sekarang, Barat kini dilihat sudah kembali ke arah kebuntuan dan kekacauan moral. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat di Eropah, Amerika Utara dan Atlantik Utara termasuk Russia bakal terjerumus ke dalam situasi dan keadaan yang lebih buruk dan membimbangkan dari apa yang pernah dilalui semasa zaman Medieval sebelum tercetusnya era Renaissance.[12]

    Tuesday, May 13, 2008

    JAHILIYYAH MODEN DAN PENDEKATAN RASULULLAH SAW.

    Pembangunan modal insan menjadi antara teras pembangunan negara yang diletakkan oleh kerajaan bagi memastikan manusia dan maqam rohaniahnya berkembang seiring dengan pembangunan negara dan pelan ekonomi jangka panjang yang boleh ditelusuri melalui beberapa koridor yang diperkenalkan. Namun semakin banyak progam dan polisi berkenaan membangunkan hayat rohani manusia makin berkembang pula kehidupan jahiliyyah moden yang dibudayakan oleh masyarakat masa kini. Benarlah apa yang diperkatakan oleh Muhammad al-Ghazali bahawa jahiliyyah pada abad atau melinia moden ini lebih buruk dan parah dari jahiliyyah yang pernah berlaku sebelum kebangkitan Rasulullah SAW. Jahiliyyah moden kini datang dan berkembang selepas datangnya Islam, ia meluas secara sistematik, terancang, beramai-ramai, menggunakan pelbagai aplikasi dan teknologi, bersifat opurtunis dan sebagainya. Jahiliyyah pada zaman dahulu adalah sama dengan jahiliyyah kini, namun jahiliyyah moden ini datang dalam bentuk yang baru, sukar dibendung, pelakunya payah dikawal, tersebar secara meluas dan pantas serta sangat mencabar selaras dengan isyarat akhir zaman yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW.

    Oleh itu, penyelesaian paling efektif yang perlu dilaksanakan oleh masyarakat Muslim yang masih berkesedaran dan mengetahui tanggungjawabnya di samping paling penting mempunyai kuasa ialah kembali melihat strategi yang pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dalam membasmi jahiliyyah. Gunakanlah pelbagai penyelesaian pun selagimana Islam tidak dijadikan sebagai penyelesai dan cara hidup selagi itulah kehidupan manusia ini akan terus bergolak dan berkonflik. Oleh sebab itu strategi dan pendekatan altruistik Rasululla SAW perlu kembali deberi perhatian oleh umat Islam dan disesuaikan dengan keadaan masyarakat, masa, teknologi dan suasana masa kini.
    Terdapat beberapa tingkat dan peringkat yang telah dilaksanakan oleh Baginda bagi merealisasikan matlamat tersebut. Antara usaha yang dilaksanakan adalah dengan menggunakan kaedah tinjauan[1]. Rasulullah S.A.W telah melakukan beberapa tinjauan berkenaan keadaan dan persekitaran masyarakat jahiliyyah yang banyak melakukan perbuatan mungkar dan mensyirikkan Allah S.W.T. Pengenalpastian melalui tinjauan ini membolehkan Rasulullah S.A.W mengetahui keadaan dan kondisi sebenar yang berlaku kepada masyarakat pada waktu tersebut. Masyarakat Arab jahiliyyah pada waktu tersebut pernah melalui detik kegemilangan di bawah pemerintahan yang bertamadun dan maju. Gostav Lobon dalam membahaskan perkara ini mengatakan[2]:

    “Walaupun bukti-bukti yang telah kami sebutkan sebelum ini masih kurang, namun yang jelasnya ia merupakan bukti yang telah dikemukakan oleh pengarang-pengarang terdahulu. Melalui bukti ini, kita dapat melihat perkembangan tamadun Arab zaman purba yang dilupakan oleh masyarakat manusia di zaman ini. Tamadun ini menunggu orang yang sanggup membuang penghalang yang diletakkan di hadapannya dan mencegah bangsa Arab dari dianggap sebagai bangsa yang ganas dan tidak bertamadun. Bangsa Arab yang disebutkan sebelum ini telah pun muncul di pentas sejarah sejak beberapa kurun sebelum kemunculan tamadun bangsa Rom dan mereka telah berjaya membina bandar-bandar besar. Hubungan mereka dengan bangsa-bangsa bertamadun yang pernah menetap di bumi ini adalah begitu kuat sekali.”

    Jelas di sini berlaku perubahan ketara dalam kehidupan masyarakat jahiliyyah yang dahulunya pernah hidup makmur dan maju tetapi kemudiannya terjerumus ke lembah jahiliyyah yang berpanjangan. Faktor-faktor ini perlu ditinjau, dikaji dan dianalisis sebelum sesuatu tindakan itu dilaksanakan. Oleh itu, mereka yang ingin melaksana dan membawa perubahan dalam masyarakat perlu mengenalpasti terlebih dahulu latar belakang permasalahan, faktor dan punca sesuatu peristiwa yang berlaku serta aspek-aspek yang mempengaruhi masyarakat tersebut. Langkah-langkah seterusnya akan dapat dirancang dengan bijak seterusnya dilaksanakan secara tersusun berasaskan maklumat yang diperolehi.

    Peringkat kedua yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ialah melalui pendekatan merujuk atau bersyura.[3] Hal ini dilaksanakan oleh Baginda sebaik sahaja turunnya perintah dari Allah S.W.T untuk menyebarkan dakwah. Hasilnya Baginda S.A.W telah mengumpul beberapa orang ahli keluarga dan saudara terdekat bagi mendapatkan sebarang pandangan dan idea berkenaan usaha pembaharuan dan pengislahan yang dilaksanakan. Selain itu konsep syura ini melahirkan pendokong yang benar-benar beriltizam, ikhlas, jujur dan bersemangat kental untuk bersama-sama Rasulullah S.A.W melaksanakan usaha dakwah. Dari konsep yang dilaksanakan oleh Baginda ini, ia memperlihatkan kepentingan sesuatu pandangan itu diambil melalui persetujuan majoriti dan sokongan dari para pendokong.

    Melalui peringkat yang ketiga pula, Rasulullah S.A.W sentiasa peka berkenaan akibat-akibat yang berlaku hasil dari beberapa usaha dakwah yang dilaksanakan.[4] Sewaktu zaman awal Islam pelbagai ujian, ancaman dan hinaan ditujukan kepada umat Islam. Hasilnya Rasulullah S.A.W mendiagnosis situasi masyarakat Mekah dan membandingkannya dengan peluang yang terbentang luas. Oleh itu penyiasatan berkenaan sesuatu perkara perlu dilihat kepada sebab dan akibatnya bagi mendapatkan andaian dan jangkaan yang tepat.

    Rasulullah S.A.W seterusnya merancang beberapa usaha khususnya sewaktu peristiwa Hijrah itu berlangsung. Hijrah yang disusun dengan perancangan yang rapi ini tidak boleh dilihat sebagai usaha untuk mengundur dan melarikan diri tetapi ia dilihat sebagai langkah strategik untuk menyelamatkan perjuangan Islam dan menjunjung perintah Allah S.W.T.[5]

    Perancangan yang tersusun akan hanya bermanfaat apabila ia bertukar menjadi tindakan. Sebaik sahaja Baginda S.A.W sampai di Madinah, masjid telah didirikan sebagai pusat pentadbiran dan dakwah Islam.[6] Baginda S.A.W juga bertindak memperkenalkan perlembagaan Madinah dan mendirikan sebuah model negara Islam yang sempurna.

    Seterusnya Rasulullah S.A.W melaksanakan peringkat penilaian dengan melihat kembali tahap pencapaian yang telah dilaksanakan ini.[7] Penilaian yang dibuat ini bukan sahaja dapat mengenalpasti permasalahan yang berlaku bahkan mampu mendapatkan jalan alternatif bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

    Peringkat terakhir yang dilaksanakan oleh Baginda S.A.W adalah dengan menubuh, membentuk, dan mendirikan masyarakat madani dengan konteks nilainya yang tersendiri.[8] Masyarakat madani yang diperkenalkan oleh Rasulullah S.A.W ialah masyarakat yang mempunyai ciri-ciri kasih sayang, pertanggungjawaban, kesabaran, amalan saling bantu-membantu, mengeratkan silaturrahim tanpa kelas, hormat-menghormati, memampatkan semangat kejiranan dan berjiwa besar, suka memberi atas sifat keihsanan dan berzakat.[9] Masyarakat madani yang dibentuk oleh Rasulullah S.A.W ini menjamin keharmonian, perpaduan dan keteguhan dalam kehidupan manusia di dunia ini.

    ISLAMOFOBIA DAN TANGGUNGJAWAB MUSLIM


    Saban detik, Islam dimomokkan dengan pelbagai kecaman, hinaan kejian dan sebagainya. Hal ini dilihat menjadi satu kebiasaan khususnya di Barat. Masjid diconteng, perkuburan umat Islam dirosakkan termasuk kepala babi digantung di batu-batu nesan, serangan fizikal dan mental dilontarkan kepada umat Islam, media massa dijadikan alat menghina Islam dan Rasulullah, mereka yang berserban atau berkopiah akan ditahan sebelum dapat memasuki negara Barat dan sebagainya. Bahkan jika kita ke imigresen sekalipun untuk membuat pasport adalah dinasihatkan supaya tidak membawa gambar dalam keadaan kita berkopiah. Hal ini bagi mengelakkan kita berdepan kesukaran apabila berhadapan dengan pihak keselamatan Amerika Syarikat atau negara Barat yang lain sebaik sahaja kita memasuki pintu masuk negara mereka. Yang terbaru kini sampah umat Islam di Britain yang dibuang pun akan diperiksa bagi memastikan tiada barang-barang yang mencurigakan!!

    Apakah sebenarnya yang berlaku di dunia sekarang ini?? Masyarakat bukan Islam sangat takut, fobia dan benci kepada Islam dan penganutnya. Kebencian dan ketakutan ini diluahkan melalui pelbagai tindakan luar jangka yang melebarkan lagi jurang interaksi dan toleransi antara umat Islam dengan penganut yang lain.

    Berdasarkan dokumen yang telah digariskan berkenaan Islamofobia dalam laporan bertajuk 'Islamofobia: A Challenge For Us All' yang dikeluarkan pada tahun 1997, terdapat lapan komponen yang boleh didefinisikan sebagai Islamofobia. Komponen-komponen ini diterima secara umum termasuk oleh European Monitoring Centre on Racism and Xenophobia.

    1. Islam dilihat sebagai agama yang statik dan tidak responsif kepada perubahan.
    2. Islam dilihat berpisah-pisah dan berlainan. Ia tidak mempunyai nilai umum yang boleh dikongsi dengan kebudayaan yang lain, tidak boleh menerima dan tidak boleh dipengaruhi oleh kesan kebudayaan tersebut.
    3. Islam dilihat kurang baik di Barat. Ia dianggap sebagai agama yang biadab (barbaric), tidak rasional, primitif dan mengutamakan seks.
    4. Islam dilihat sebagai ajaran yang ganas, agresif, mengancam, menyokong pengganas dan terlibat secara langsung dengan apa yang dipanggil sebagai pertembungan ketamadunan.
    5. Islam dilihat sebagai sebuah ideologi politik dan digunakan untuk kemudahan politik dan ketenteraan.
    6. Kritikan yang dibuat oleh Islam kepada Barat adalah tertolak dan tidak sah.
    7. Kebencian dan permusuhan yang dilakukan kepada Islam adalah sebagai membenarkan diskriminasi yang telah dilaksanakan terlebih dahulu oleh umat Islam.
    8. Semangat anti-Muslim merupakan suatu yang normal dan biasa.

    Lapan komponen ini menunjukkan berlakunya silap faham dan salah faham yang sangat ketara berkenaan dengan Islam di kalangan masyarakat Barat. Dakwaan dan andaian ini ditanam dan dipasakkan dalam minda mereka seterusnya diterjemahkan melalui tindakan zahir baik melalui kekerasan fizikal mahupun perbualan seharian. Hal ini menunjukkan satu bebanan tanggungjawab yang sangat besar perlu dipikul oleh umat Islam yang berkesedaran bagi memberikan kefahaman yang sebenar kepada masyarakat bukan Islam khususnya di Barat. Beberapa persoalan di sini yang perlu dijawab oleh Muslim yang berkesedaran, kenapakah ini terjadi, kenapa hanya Islam ditempelkan kepada fobia. Mana perginya kristianifobia, buddhafobia dan sebagainya? Siapakah yang sudi menjadi Muslim yang berkesedaran ini? Bagaimanakah maklumat mengenai Islam yang sebenar ini dapat disampaikan dalam kondisi penguasaan media secara global oleh mereka? Apakah strategi paling berkesan yang dapat digunakan bagi memberi faham Islam yang sebenar kepada mereka? Persoalan-persoalan ini perlu dijawab melalui tindakan-tindakan yang segera dan efektif. Ia perlu dijawab dan diusahakan oleh semua umat Islam, bukan sesetengah kelompok sahaja. Dengan kata lain, semua umat Islam perlu berperanan membasmi terminalogi Islamofobia ini.

    Oleh itu, aspek paling asas untuk umat Islam selesaikan adalah diri mereka sendiri. Sejauh mana jatidiri mereka menjadi contoh kepada bukan Islam seterusnya mengelakkan mereka dari terus memandang rendah agama Islam itu sendiri. Justeru menjadi tanggungjawab umat Islam kembali kepada Islam dengan akidah yang sahih, akhlak yang terpuji dan syariat yang benar seperti yang telah dipraktikkan oleh Rasulullah SAW. Baginda pernah berhadapan dengan kejian dan cacian yang lebih melampau dari musyrikin Mekah berbanding di era ini, namun dengan tiga pendekatan iaitu penekanan kepada akidah, akhlak dan syariat ini maka persepsi kaum musyrikin berubah bahkan mereka pula berbondong-bondong memeluk agama Islam. Ketiga-tiga pendekatan ini walaupun nampak berasingan tetapi terhimpun di atas dasar yang satu iaitu Islam yang syumul. Oleh sebab itulah, umat Islam tidak perlu mencipta polisi, dasar atau kod yang lain sebagai penyelesaian kerana penyelesaian ini sudah tersedia sejak dahulu lagi. Yang penting ialah kemampuan umat Islam untuk menyesuaikan era pascamodenisme ini dengan kesyumulan Islam.

    Monday, March 31, 2008

    BOIKOT BARANGAN BELANDA!!


    Umat Islam sekali lagi dicabar, dihina dan dipijak. Terbaru Islam dimomokkan dengan sebuah dokumentari 15 minit berkaitan penghinaan terhadap al-Quran, Nabi Muhammad dan umat Islam sendiri. Setakat ini tiada tindakan tegas diambil oleh negara-negara Islam khususnya OIC. Hanya bantahan di PBB yang berakhir pada perbincangan umum semata-mata. Jika inilah yang sekadar dilakukan oleh pemimpin Islam maka Islam akan terus dihina oleh mereka yang takutkan cara hidup yang syumul ini. Filem ini sudah lama diwar-warkan namun baru menjadi topik hangat apabila Wilders secara berani meng'upload'kannya ke internet.

    Siapakah yang menghasilkan dokumentari pendek ini?

    Geert Wilders ialah pemimpin Dutch Freedom Party. Partinya memenangi 9 kerusi dari 150 kerusi yang dipertandingkan dalam 'Dutch Parliament'. Berdasarkan kajian terbaru menunjukkan partinya kini meraih populariti yang semakin meningkat. Beliau juga merupakan orang yang berperanan menyebarkan Islamophobia di Belanda apabila secara jahat mengatakan al-Quran ialah kitab fasis. Beliau mengatakan al-Quran perlu dikeluarkan dari bumi Belanda dan sepatutnya tidak mendapat tempat dalam undang-undang negara yang berdaulat kerana isinya yang menyebar fitnah serta seruan untuk membunuh. Berdasarkan temubual dengan Agensi berita Dutch GDP beliau memberi judul filem tersebut sebagai 'FITNA' kerana iamenjelaskan tentang ujian keimanan dan sinonim dengan kejahatan. "I use the term in an inverse sense because for me Islam ... is fitna". Bagi beliau kitab suci al-Quran yang ditayangkan pada awal dokumentari tersebut bukan sekadar teks simbolik tetapi bermaksud "Islam akan mengambil segala kebebasan kita, jika kita tidak bertindak menentangnya. "Islam can take away our freedom unless we act against it".

    Kenyataan-kenyataan ini menunjukkan beliau secara jelas menentang al-Quran. Apakah hukuman yang perlu diberikan kepada beliau? Saya percaya bukan Wilders seorang sahaja yang bertanggungjawab menyebarkan unsur fitnah dan kebencian ini bahkan dibelakangnya berdiri dan disokong oleh pertubuhan-pertubuhan, pemimpin negara dan orang perseorangan. Usaha paling awal yang boleh dilakukan oleh umat Islam ialah memboikot segala barangan dari Belanda. Mungkin ada pemimpin di sana yang mengeluarkan kekesalan berhubung isu ini tetapi sejauh mana kekesalan itu dikeluarkan kepada tindakan. Tiada tindakan, sekatan dan halangan yang dibuat di negara yang mengamalkan kebebasan tanpa batas ini. Begitu juga dengan negara Eropah yang lain.

    Di sini disenaraikan beberapa barangan keluaran Belanda yang perlu diboikot oleh umat Islam. Ini merupakan usaha paling kecil yang mampu dilakukan oleh umat Islam yang mempunyai rasa tanggungjawab dan ingin melihat Islam dimuliakan.

    • Barangan keluaran UNILEVER: Axe, Ben and Jerry’s, Bertolli, Best Foods, Brooke Bond, Colman’s, Cif, Dove, Findus, Glidat Strauss, Heartbrand, Hellmann’s, Imperial Margarine, Knorr, Lipton, Pepsodent, PG Tips, Sunsilk, Unox, Vaseline.
    • Restoran WindMill
    • Shell
    • Dutch Lady.
    • Barangan Elektrik Philips
    • sebahagian besar penaja Christian Albers
    • Syarikat yang mempunyai nama “contoh n.v.”

    Wednesday, March 5, 2008

    Komen menarik yang dipetik dari laman blog kadirjasin.blogspot berkaitan hubungan kerajaan dan rakyat yang diibaratkan seperti perjanjian kontrak semasa PRU. Komen itu berbunyi:

    “1. PRU adalah waktu pengundi dan parti-parti politik menandatangani kontrak lima tahun. Pengundi beri undi, parti-parti beri janji;

    2. Parti yang menang tubuh kerajaan. Kerajaan itu terhutang budi (beholden) kepada pengundi/rakyat. Bukan sebaliknya;

    3. Atas (dasar) kontrak itu, rakyat bayar bermacam cukai, hasil, tarif dan tol kepada kerajaan. Rakyat jelata juga menanggung hutang yang diambil oleh kerajaan. Sekali lagi kerajaan terhutang budi dan beholden kepada rakyat. Bukan rakyat terhutang budi atau beholden kepada rakyat (sic) (kerajaan?);

    4. Kerajaan pungut cukai, hasil, tarif dan tol. Kerajaan belanja untuk dirinya -- macam belanja lebih MR16 juta untuk renovate Seri Perdana oleh Pak Lah dan Endon/Jeanne -- bayar gaji menteri dan kakitangan awam. Bayar hutang negara;

    5. Untuk pembangunan kerajaan berhutang dari dalam dan luar negeri. Rakyat yang tanggung hutang itu generasi demi generasi;

    6. Subsidi dan bantuan bukan dari duit kerajaan. Ia dari cukai, hasil, tarif dan tol yang rakyat bayar;

    7. Subsidi/bantuan tanam semula getah dan kepada sawit datang dari cukai cess getah dan minyak kelapa sawit;

    8. Subsidi padi datang dari pengguna yang beli beras. Kerajaan beri francais kepada Bernas. Bernas import beras mutu tinggi yang murah dari luar negeri dan campur dengan beras mutu rendah yang mahal dari dalam negeri.Bernas campur kedua-dua beras ini dan jual pada harga yang lebih tinggi dari harga di pasaran dunia. Bernas ambil sikit untung dan bagi bakinya kepada kerajaan untuk diagihkan kepada penanam padi. Jadi yang bagi subsidi padi bukan kerajaan tapi kita yang makan nasi;

    9. Jadi yang kita mahu adalah kerajaan yang cekap, yang amanah dan telus. Kita yang bayar untuk biayai kerajaan dan pentadbiran negara, bukan kerajaan;

    10. Subsidi petrol itu juga bukan duit kerajaan tapi duit Petronas yang kita semua miliki sebagai rakyat jelata, pengundi dan pembayar cukai.Tiada pengundi, tiada kerajaan.Kerajaan yang wajib berterima kasih kepada kita, bukan kita berterima kasih kepada kerajaan.Selamat memilih orang suruhan kita.Pegawai JUSA Pencen.”

    Nota: Komen “Pegawai Jusa Pencen” disiarkan sepenuhnya. Hanya kesilapan ejaan diperbetulkan. Mengenai kos pengubahsuaian Seri Perdana, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Abdul Aziz, memberitahu Teresa Kok (DAP-Seputeh) di Parlimen pada 21 Nov. 2005 bahawa jumlahnya adalah RM15.81 juta.