Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Tuesday, May 13, 2008

    ISLAMOFOBIA DAN TANGGUNGJAWAB MUSLIM


    Saban detik, Islam dimomokkan dengan pelbagai kecaman, hinaan kejian dan sebagainya. Hal ini dilihat menjadi satu kebiasaan khususnya di Barat. Masjid diconteng, perkuburan umat Islam dirosakkan termasuk kepala babi digantung di batu-batu nesan, serangan fizikal dan mental dilontarkan kepada umat Islam, media massa dijadikan alat menghina Islam dan Rasulullah, mereka yang berserban atau berkopiah akan ditahan sebelum dapat memasuki negara Barat dan sebagainya. Bahkan jika kita ke imigresen sekalipun untuk membuat pasport adalah dinasihatkan supaya tidak membawa gambar dalam keadaan kita berkopiah. Hal ini bagi mengelakkan kita berdepan kesukaran apabila berhadapan dengan pihak keselamatan Amerika Syarikat atau negara Barat yang lain sebaik sahaja kita memasuki pintu masuk negara mereka. Yang terbaru kini sampah umat Islam di Britain yang dibuang pun akan diperiksa bagi memastikan tiada barang-barang yang mencurigakan!!

    Apakah sebenarnya yang berlaku di dunia sekarang ini?? Masyarakat bukan Islam sangat takut, fobia dan benci kepada Islam dan penganutnya. Kebencian dan ketakutan ini diluahkan melalui pelbagai tindakan luar jangka yang melebarkan lagi jurang interaksi dan toleransi antara umat Islam dengan penganut yang lain.

    Berdasarkan dokumen yang telah digariskan berkenaan Islamofobia dalam laporan bertajuk 'Islamofobia: A Challenge For Us All' yang dikeluarkan pada tahun 1997, terdapat lapan komponen yang boleh didefinisikan sebagai Islamofobia. Komponen-komponen ini diterima secara umum termasuk oleh European Monitoring Centre on Racism and Xenophobia.

    1. Islam dilihat sebagai agama yang statik dan tidak responsif kepada perubahan.
    2. Islam dilihat berpisah-pisah dan berlainan. Ia tidak mempunyai nilai umum yang boleh dikongsi dengan kebudayaan yang lain, tidak boleh menerima dan tidak boleh dipengaruhi oleh kesan kebudayaan tersebut.
    3. Islam dilihat kurang baik di Barat. Ia dianggap sebagai agama yang biadab (barbaric), tidak rasional, primitif dan mengutamakan seks.
    4. Islam dilihat sebagai ajaran yang ganas, agresif, mengancam, menyokong pengganas dan terlibat secara langsung dengan apa yang dipanggil sebagai pertembungan ketamadunan.
    5. Islam dilihat sebagai sebuah ideologi politik dan digunakan untuk kemudahan politik dan ketenteraan.
    6. Kritikan yang dibuat oleh Islam kepada Barat adalah tertolak dan tidak sah.
    7. Kebencian dan permusuhan yang dilakukan kepada Islam adalah sebagai membenarkan diskriminasi yang telah dilaksanakan terlebih dahulu oleh umat Islam.
    8. Semangat anti-Muslim merupakan suatu yang normal dan biasa.

    Lapan komponen ini menunjukkan berlakunya silap faham dan salah faham yang sangat ketara berkenaan dengan Islam di kalangan masyarakat Barat. Dakwaan dan andaian ini ditanam dan dipasakkan dalam minda mereka seterusnya diterjemahkan melalui tindakan zahir baik melalui kekerasan fizikal mahupun perbualan seharian. Hal ini menunjukkan satu bebanan tanggungjawab yang sangat besar perlu dipikul oleh umat Islam yang berkesedaran bagi memberikan kefahaman yang sebenar kepada masyarakat bukan Islam khususnya di Barat. Beberapa persoalan di sini yang perlu dijawab oleh Muslim yang berkesedaran, kenapakah ini terjadi, kenapa hanya Islam ditempelkan kepada fobia. Mana perginya kristianifobia, buddhafobia dan sebagainya? Siapakah yang sudi menjadi Muslim yang berkesedaran ini? Bagaimanakah maklumat mengenai Islam yang sebenar ini dapat disampaikan dalam kondisi penguasaan media secara global oleh mereka? Apakah strategi paling berkesan yang dapat digunakan bagi memberi faham Islam yang sebenar kepada mereka? Persoalan-persoalan ini perlu dijawab melalui tindakan-tindakan yang segera dan efektif. Ia perlu dijawab dan diusahakan oleh semua umat Islam, bukan sesetengah kelompok sahaja. Dengan kata lain, semua umat Islam perlu berperanan membasmi terminalogi Islamofobia ini.

    Oleh itu, aspek paling asas untuk umat Islam selesaikan adalah diri mereka sendiri. Sejauh mana jatidiri mereka menjadi contoh kepada bukan Islam seterusnya mengelakkan mereka dari terus memandang rendah agama Islam itu sendiri. Justeru menjadi tanggungjawab umat Islam kembali kepada Islam dengan akidah yang sahih, akhlak yang terpuji dan syariat yang benar seperti yang telah dipraktikkan oleh Rasulullah SAW. Baginda pernah berhadapan dengan kejian dan cacian yang lebih melampau dari musyrikin Mekah berbanding di era ini, namun dengan tiga pendekatan iaitu penekanan kepada akidah, akhlak dan syariat ini maka persepsi kaum musyrikin berubah bahkan mereka pula berbondong-bondong memeluk agama Islam. Ketiga-tiga pendekatan ini walaupun nampak berasingan tetapi terhimpun di atas dasar yang satu iaitu Islam yang syumul. Oleh sebab itulah, umat Islam tidak perlu mencipta polisi, dasar atau kod yang lain sebagai penyelesaian kerana penyelesaian ini sudah tersedia sejak dahulu lagi. Yang penting ialah kemampuan umat Islam untuk menyesuaikan era pascamodenisme ini dengan kesyumulan Islam.

    1 comment:

    Anonymous said...

    Tulisan artikel di blog Anda bagus-bagus. Agar lebih bermanfaat lagi, Anda bisa lebih mempromosikan dan mempopulerkan artikel Anda di infoGue.com ke semua pembaca di seluruh Indonesia. Salam Blogger!
    http://www.infogue.com/
    http://agama.infogue.com/islamofobia_dan_tanggungjawab_muslim