Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Thursday, May 29, 2008

    SINAR DIMASYQ 1: KOTA 1001 SEJARAH


    Rakyat Malaysia memanggilnya Damsyik, bahasa Inggeris menamakannya Damascus manakala dalam lughah bahasa Arabnya ialah Dimasyq. Kota Dimasyq menyimpan 1001 cerita dan sejarah yang tidak mungkin dapat ditulis kesemuanya dalam berjilid-jilid buku sekalipun. Ia merupakan kota lama yang kini dilitupi dengan pembangunan model Negara Arab moden. Ia sudah terkenal sejak pemerintahan Rom lagi. Syam merupakan nama lamanya dan jika penduduk Tanah Arab mengatakan tentang Syam maka ia akan terfokus kepada kota ini. Walaupun Syam dahulu lebih luas meliputi Syria, Jordan, Palestin dan negara di sekitarnya namun pusatnya menurut orang di sini ialah di Dimasyq. Ia juga merupakan kota para Anbiya', Rasulullah pernah datang berniaga di sini dan kesannya boleh dilihat sehingga kini. Ia mula dibuka ketika zaman Umar al-Khattab r.a dan Dinasti Umayyah mengembangkannya menjadi kota Islam yang masyhur. Sejarah mengenai pembukaan kota ini adalah sangat panjang dan boleh didapati dalam banyak buku sejarah.

    Dimasyq dikatakan berasal dari tiga nama. Pertama ia berasal dari bahasa Arab iaitu Dammun Syaqiqun yang bermaksud darah saudara. Di sinilah dikatakan terletaknya lokasi kisah pembunuhan pertama dalam sejarah kemanusiaan iaitu peristiwa berdarah Qabil dan Habil. Lebih tepat lagi ia terletak di Jabal Qasiyun. Bukit ini terletak di belakang perumahan penduduk Dimasyq yang sangat sesak. Di atas bukit itulah terjadinya pembunuhan tersebut. Mengikut cerita orang di situ kononya akibat berlaku pembunuhan pertama tersebut maka batu yang menyaksikannya sangat terkejut sehingga ia terbentuk menjadi seolah-olah mulut yang ternganga. Bentuk mulut ternganga dengan lidah yang terjulur itu boleh dilihat kesannya sehingga kini. Bahkan di situ juga terdapat tapak tangan Jibril a.s yang kononnya menahan bukit dari menghempap Qabil. Di bukit ini jugalah terdapatnya makam 40 wali atau dipanggil makam Arba'in yang istimewa. Sesiapa yang ingin mengunjungi bukit tersebut perlu melalui ribuan anak tangga dan perlu melalui perumahan penduduk yang berbukit, sempit dan sesak. Lebih sukar jika dibandingkan dengan Batu Caves. Namun keletihan akan hilang apabila sampai di kemuncaknya. Seluruh kota Dimasyq yang luas itu boleh dilihat secara langsung dari puncak ini. Namun pengunjung dilarang pergi ke bahagian belakang bukit kerana di situ dikatakan terletaknya kem tentera dan tersimpannya senjata tentera Republik Arab Syria.

    Selain itu ia juga dikatakan berasal dari nama seorang raja iaitu Damasyqa. Saya tidak mempunyai maklumat berkenaan fakta ini namun ia cukup menjelaskan bahawa kota ini sudah lama wujud.

    Selain itu Dimasyq juga bermaksud bandar dalam kota. Kota yang dimaksudkan di sini ialah kota yang dibina oleh panglima ulung Salahuddin al-Ayyubi. Kota ini dibentengi dengan tembok yang besar dan ia terletak di tengah-tengah ibu kota Dimasyq ini. Di dalam kota ini juga terletaknya Jami' Umawi yang terkenal. Sebuah gereja yang ditukarkan kepada masjid ketika pembukaan Islam oleh Saidina Umar. Di sini tertanamnya kepala Saidina Husin r.a, Nabi Yahya a.s, kubur Salahuddin al-Ayyubi dan sahabat Nabi Abu Darda' r.a. Jami' Umawi dengan lapangannya yang sangat luas itu menjadi tempat berkumpulnya tentera Islam sebelum mereka membuka Palestin. Di situ jugalah terletaknya mimbar yang menjadi tempat Salahuddin al-Ayyubi menyampaikan amanat kepada para tenteranya. Di Jami' Umawi ini juga terletakkan menara putih (baidho') yang dikatakan lokasi Nabi Isa a.s akan turun ketika hampirnya kiamat kelak.

    Banyak lagi sejarah yang dapat menggambarkan kota Dimasyq sama ada dari sudut sejarahnya atau budaya masyarakatnya. Perkembangan Islam dan sejarah penyebarannya boleh dilihat melalui kesan peninggalan masyarakat Islam terdahulu. Namun untuk lebih memahami dan mengetahui misteri kota ini, maka adalah lebih baik untuk kita mengunjunginya sendiri.

    2 comments:

    syed Faiz said...

    Salam tok, sihat tak? bila balik? Kami tak rindu pun, tak balik pun takpe, mati syahid bagusgak, tu dah tua tue. Jangan mati buat maksiat gak, syria pun bukan negara Islam. Mati jamin masuk syurga, tak kami tak jamin, coz hutang rumah banyak tak bayar lagi..... Hahaha (Alan, Syed & Warga RV serta penghuni haram Afifi, ganti kau)

    Mohd Khairul Hidayat Berahim said...

    Salam..erm,seronok jadi org syria ker? lame xdengar kabo berita....xnak balik malaysia ker??hu...hu..tentang surat nta2 ana xdapat lagi. Untuk makluman,la ni ana dok kajang keje ngan akak..oklah,kim salam sahabt2 yang ada disana....