Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Friday, January 1, 2010

    Melayu: Menyongsong Abad ke -21?

    Tajuk ‘post’ saya ini seperti judul buku Ismail Husin dan Wan Hashim Wan Teh, terbitan UKM yang khusus menyentuh Tamadun Melayu. Isi huraiannya agak bagus, begitu juga dengan olahan Prof Hashim Musa dalam buku beliau Merekonstraksi Tamadun Melayu Islam. Namun idea-idea yang dibawa oleh para sarjana ini seolah utopia jika dibandingkan dengan realiti kini. Saya ke Singapura beberapa minggu lepas, bukan mencari kepala Singa Putih yang popular di Pulau Sentosa itu, tetapi cuba meninjau-ninjau sosio-budaya masyarakat Melayu Islam di sini kini. Saya dan sahabat bernasib baik dapat menginap di Hotel 81 berdekatan penempatan majoriti masyarakat Melayu di situ. Menyusuri Geylang Road, mengelilingi Arab Street, meninjau Tanjong Katong Complex yang popular di era P. Ramlee dan membaca akhbar melayu Berita Harian Singapura sambil mencicip teh tarik mamak. Pengalaman lapangan ini cuba saya campuri dengan warna pengalaman membaca dan menganalisis kisah kehidupan kotaraya Singapura yang maju ini. Singapura sebuah pulau bekas koloni British merupakan Negara dengan GDP $181.9 bilion, sifar kemiskinan dan ditadbir PAP sejak berpisah dengan Malaysia. Dengan populasi 4.6 juta penduduk, majoriti 76.8% adalah Cina, 13.9% Melayu, 7.9% India dan lain-lain 1.4%.

    Perkapita masyarakat yang menyamai negara-negara di Barat Eropah ini mempunyai lenggok ceritanya yang berbeza. Membaca akhbar Singapura secara langsung memaparkan nasib mereka. Bermasalah dari sudut kemiskinan, gejala sosial yang meruncing, pendidikan yang merudum dan ketidaktekalan kepada budaya yang diamalkan menjadikan mereka seolah terpinggir di celah sudut-sudut bangunan kosmopolitan. Globalisasi sebagai agen mutasi budaya menyerap masuk ke dalam bukan sekadar budaya seharian biasa tetapi berlingkar terus kepada cara berfikir dan pegangan agama. Globalisasi ialah ‘pensejagatan set andaian dan naratif’ (universalisation of a set of assumptions and narratives) yang menggunakan saluran rasmi atau tidak rasmi dalam pendidikan dan komunikasi ke seluruh bahagian dunia. Hegemoni berbentuk neo-kolonialisme ini berlaku sehingga dalam pentafsiran keagamaan masyarakat Melayu Islam di mana ciri atau had-had berkenaan toleransi agama, kesederhanaan, kemajmukan, hak asasi manusia, dan sebagainya, semuanya ditentukan daripada perspektif Barat. Budaya yang menjadi cermin jati diri masyarakat Melayu di sini kian terhakis, dilupakan dan diadaptasi menjadi budaya kosmopolitan baru bercirikan kemodenan dan bersifat universal berpaksikan budaya Las Vegas dan Hollywood. Persoalan kebudayaan antara topik penting yang hangat dibincangkan di era pascakolonial oleh para sarjana seperti Edward Said yang mengarang Culture and Imperialism. Kenapa budaya itu penting. (tanpa menafikan agama, bahkan agama menjadi asas kepada budaya Melayu)

    Kekuatan Melayu dilihat dari sudut kedinamikan budayanya. Sejarah membuktikan budaya Melayu yang selama ribuan tahun terletak di tengah persimpangan timur dan barat sentiasa terbuka, proaktif dan mampu menyerap unsur positif dari luar. Ia diserap bagi pembangunan dan pengukuhannya. Melayu juga kuat dengan Islam sebagai anutannya yang berciri teguh, benar, sempurna dan realistik. Melayu juga tidak dilihat kepada entiti etnik, ras, suku kaum atau keturunan tetapi sebagai satu entiti budaya (a cultural entity) yang merangkumi pelbagai etnik. Asalkan tercerna tiga teras budaya Melayu iaitu bahasa Melayu, Islam dan beradat resam Melayu. Tipologi tamadun Melayu bukan berbentuk materialistik, terlalu bercirikan inteletual dan mistik. Tamadun Melayu Islam berdasarkan beberapa tempat dan waktu adalah berasaskan wahyu yang mempunyai elemen nafsu badaniah, intelek, rasio dan kerohanian. Saya katakan beberapa tempat dan waktu itu dengan melihat kepada kerajaan Islam Melaka di zaman Sultan Muzaffar Shah, Samudera-Pasai, Perlak dan Acheh.

    Pemerkasaan kembali masyarakat Melayu Singapura bahkan di Malaysia adalah dengan pengembalian kembali kepada kecirian budaya yang telah disebut di atas di samping keperluan memenuhi beberapa faktor yang lain seperti pemerkasaan ilmu dan kesedaran diri. Saya meninggalkan kota SInga ini dengan seribu satu andaian. Memasuki ruang udara Indonesia selepas meninggalkan Changi meminta saya untuk membuka seluasnya minda yang bercerucuk. Perluasan untuk bersedia menerima pelbagai lagi persoalan dan andaian dengan budaya dan corak hidup Melayu Islam di lokasi yang lebih luas dan lebih ramai itu.

    No comments: