Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Thursday, June 12, 2008

    SINAR DIMASYQ 3: KEMBARA PENCARI ILMU


    Gedung ilmu Islam. Itu yang dapat saya gambarkan untuk kota raya ini. Bumi Syam ini menjadi tempat persemadian ribuan orang sahabat dan tabii'n. Atas asas itu juga ia mewarisi kegemilangan keilmuan sejak zaman berzaman. Di sinilah terdapatnya ramai ulama' bertaraf dunia. Mereka begitu dihormati dan dimuliakan oleh penduduk-penduduk di sini. Institusi-institusi pendidikan Islam sangat banyak terdapat di sekitar bandar. Itu tidak diceritakan lagi mengenai pendidikan tidak formal yang boleh didapati dengan banyaknya di masjid-masjid. Bahkan suasana keilmuan ini belum tentu terdapat di negara-negara lain. Himpunan ulama'-ulama' dunia yang berkepakaran dalam bidang masing-masing sudah cukup untuk menggambarkan betapa bertuahnya bumi Syam ini. Syeikh Mohd Ramadhan al-Buti, Syeikh Mustafa Bugho, Syeikh Wahbah Zuhaili, Syeikh Kuraim Rajih, Syeikh Naim Araqsusi, Syeikh Nuruddin 'Itir, Syeikh Rejab Dib, Syeikh Waliuddin Far-Fur, Syeikh 'Usamah al-Rifa'ie dan ramai lagi ulama tersohor yang lain. Namun masih terdapat ramai lagi ulama' yang mungkin tidak tersohor dari sudut nama dan penulisannya tetapi sangat hebat dari sudut keilmuannya. Jami'-jami' di setiap malam akan dihiasi dengan kuliah-kuliah ilmu dan biasanya bagi ulama'-ulama' tersohor, ribuan akan hadir. Gambaran seperti kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz pagi Jumaat di Kota Bharu atau kuliah Tuan Guru Hj Abdul Hadi di Rusila. Inilah suasana keilmuan Islam di Dimasyq. Ia masih terpelihara dan mendapat sambutan hangat walaupun dalam masa yang sama Dimasyq semakin dibaham budaya Barat yang mengganas. Tetapi pengaruh Barat belum terlalu merebak di sini seperti di Beirut. Jenayah masih kecil dan gejala sosial masih terpelihara. Seorang ustaz dalam kelas saya amat terkejut dengan gejala sosial di negara asing apabila diceritakan mengenainya. Katanya dia belum melihat seorang pondan pun lagi seumur hidupnya di sini. Ulama' dan ilmu yang tersebar inilah menjadi benteng kepada negara Syria yang mengamalkan sistem republik tetapi dengan kebebasan bersuara yang sangat terbatas.

    Oleh sebab itulah juga Syria menjadi antara destinasi utama pelajar-pelajar Malaysia ke Timur Tengah. Jumlah mereka seramai 500 orang dan bernaung di bawah Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS). Persatuan yang kepimpinannya dipilih melalui pengundian seolah-olah pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa di IPTA. Bahkan ada yang sudah tinggal di sini selama 10 tahun. Ada yang membawa keluarga termasuk anak-anak dan ayah semata-mata ingin mendapatkan ilmu yang tidak akan habis ini. Abang Azmil bekas pelakon yang lebih dikenali dengan Ali Setan itupun menadah kitab di sini dengan tiga orang anaknya. Katanya ingin berhijrah ke Halab (Aleppo) kerana budaya di Dimasyq ini sudah tidak keruan. Saya cukup menghormati mereka yang datang ke sini. Belajar di Syria bukan merupakan suatu perkara mudah. Mereka perlu datang sendiri ke sini. Usaha gigih dan cekal diperlukan untuk menetap dan belajar di sini. Kerajaan Syria tidak berapa mesra dengan kehadiran pelajar asing. Pelbagai syarat dan peraturan perlu dipenuhi. Ada yang dipenjarakan, masuk mahkamah dan ada juga yang dihantar pulang ke Malaysia. Semuanya kerana dikatakan bersalah melanggar beberapa peraturan imegresen. Peraturan di sini boleh sahaja pagi lain dan petang ditukar kepada peraturan lain. Itu belum diceritakan lagi masalah yang perlu ditempuhi ketika memasuki pintu utama lapangan terbang dan menyambung pasport di imegresen (jawazat). Bunyinya agak ngeri tetapi tidaklah sengeri seperti yang dibayangkan. Namun jika kita sudah berjaya masuk, pasport pun kita boleh tinggalkan di rumah. Pihak polis tidak akan mengganggu dan meminta pasport walaupun kita rakyat asing.


    Sistem pendidikan di sini bukanlah sebaik dan semaju sistem di Malaysia. Sebab itu mereka yang ingin datang ke sini menuntut ilmu memerlukan keikhlasan, kecekalan, kegigihan dan kesabaran. Tiada tajaan biasiswa atau pinjaman dari kerajaan. Duit sendiri diperlukan untuk menampung segala perbelanjaan pengajian, makan minum dan penginapan di bandar yang kos hidupnya agak tinggi ini. Dan ramai juga yang datang ke sini melalui derma orang ramai atau bantuan keluarga. Kepada mereka yang mengejar sijil atau ijazah untuk kerjaya dan pangkat harap lupakannya. MQA tidak mengiktiraf sijil yang dikeluarkan di sini. Oleh itu mereka yang datang ini perlu hadirkan hati semata-mata untuk mendapatkan ilmu yang melimpah di sini.

    Biasanya pelajar dari Malaysia akan memasuki beberapa Ma'ahad yang terdapat di sekitar Dimasyq. Yang bernasib baik dapat memasuki Universiti Dimasyq. Bagi yang ingin meningkatkan penguasaan bahasa Arab dahulu mereka akan memasuki daurah yang mempunyai beberapa peringkat bergantung kepada penguasaan kita. Mereka akan menjalani proses pendidikan secara formal. Terdapat juga pendidikan tidak formal yang boleh didapati melalui talaqqi khusus dengan beberapa orang syeikh di sini. Bukan suatu perkara yang sukar untuk bertalaqqi, kadangkala syeikh tersebut pula yang mencari pelajar untuk diajari. Terdapat juga yang bertalaqqi secara umum di beberapa Jami' setiap hari. Kesimpulannya banyak 'option' yang boleh digunakan untuk mendapatkan ilmu di sini. Dan ia amat mudah, hanya memerlukan sedikit usaha dan kegigihan untuk mendapatkannya. Kadang-kala pula belajar di sini tidak memerlukan wang bahkan pelajar pula yang mendapat Lira. Sebagai contoh mereka yang mengikuti pengajian hadith Sahih Bukhari dengan Syeikh Sattar akan diberikan 2000Lira sebulan oleh beliau. Bagi yang berkahwin (mutazawwij) pula akan diberikan 4000Lira sebulan. Mereka yang datang tasmi' al-Quran setiap pagi di Jami' Nablusi pula akan dihidangkan dengan 'shai' atau teh dan biasanya 250Lira boleh diperolehi setiap pagi melalui derma jemaah di situ. Itu belum diceritakan lagi derma dan infaq dari penduduk di sini. Mereka amat pemurah, dermawan dan menghormati penuntut ilmu khususnya dari negara luar. Syeikh di sini biasanya berduit dan mempunyai perusahaan sendiri. Oleh itu, duit bukan merupakan satu masalah yang terlalu besar di sini. Cuma satu masalah besar yang diakui oleh pelajar di sini. Wanita Dimasyq terkenal dengan kecantikannya. Mungkin itu sedikit masalah khususnya di musim panas yang menghangatkan!

    Bagi yang fasih berbahasa 'Ammi (pasar) dan mengetahui selok belok Dimasyq mereka akan menjadi 'travel guide'. Biasanya syarikat travel Malaysia dan mereka yang datang berumrah akan menggunakan perkhidmatan mereka ini. Sekali bayaran sudah cukup bagi menampung perbelanjaan bulanan mereka. Hal ini bukan suatu kesulitan kerana Dimasyq masih mengekalkan sedikit bahasa fusohahnya berbanding di negara Arab yang lain. Masyarakatnya juga akan membantu kita untuk lebih memahami bahasa ini walaupun jika dilihat kadangkala mereka akan berbangga dengan mereka yang boleh berbahasa Inggeris. Sebab itu dikatakan tempat pengajian bahasa Arab yang terbaik adalah di Dimasyq kerana suasananya sendiri yang mengizinkan.

    Hanya mereka yang mampu memanfaatkan peluang sahaja yang beruntung. Bagi yang datang ke sini dan menghabiskan masa dengan kerja sia-sia maka mereka temasuk dalam golongan yang rugi. Tidak ramai yang berpeluang datang dan menuntut ilmu di sini. Cuma sangat diharapkan kembara pencari ilmu ini tidak terhenti di Syria sahaja. Kembara mereka masih jauh sejauh baki usia yang ada. Bekalan yang mereka perolehi di Dimasyq perlu digunakan secara sebaiknya apabila balik ke Malaysia. Merekalah antara golongan baris hadapan yang bertanggungjawab mengislah masyarakat ke arah cara hidup Islam yang murni. Ilmu untuk diamali dan diajari bukan untuk disimpan.

    Friday, June 6, 2008

    KENYATAAN AKHBAR KOMUNITI MAHASISWA KERINCHI (KMK) MENGENAI ISU KENAIKAN HARGA MINYAK
    Tarikh: 05 Jun 2008


    KENAIKAN harga minyak sebanyak 40% yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini mengejutkan semua pihak. Walaupun ura-ura kenaikan itu sudah kedengaran sebelum pilihanraya, namun ia tidak dijangka setinggi itu.

    Oleh itu Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK) menganggap pihak kerajaan sengaja menyimbah petrol ke atas bara kemarahan rakyat yang masih belum padam sejak tsunami 8 Mac lalu.

    Alasan kerajaan menaikkan harga minyak untuk mengurangkan kos subsidi tidak dapat diterima oleh rakyat. Ini kerana KMK merasakan kerajaan lebih gemar membiayai pampasan projek tergendala daripada mengutamakan kebajikan rakyat. Cara hidup dan polisi bermewah-mewah kerajaan dalam keadaan rakyat menanggung inflasi dan dibebankan lagi dengan kenaikan harga minyak ini dilihat sangat tidak wajar dan tidak boleh diterima akal.

    Atas asas itu juga KMK mempersoalkan kewajaran kerajaan menarik subsidi untuk rakyat. Ini kerana Perdana Menteri dan Jemaah Menteri adalah golongan yang paling banyak menerima subsidi daripada duit rakyat. Ketika kerajaan menaikkan harga minyak dalam masa yang sama mereka mengekalkan subsidi rumah, kenderaan, pengangkutan, keraian dan pelbagai lagi yang dinikmati pemimpin kerajaan atas nama elaun yang berjumlah puluhan juta setahun.

    Kenapa peruntukan untuk rakyat dinamakan subsidi, tetapi untuk pemimpin negara dinamakan elaun dan ia terus dikekalkan? Kenapa kerajaan masih berkeras untuk menaikkan harga minyak ketika jurang kaya miskin di negara ini semakin menjarak? KMK menyeru kerajaan agar segera berhenti dari terus membohongi rakyat. Subsidi adalah hak rakyat dan kerajaan bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan mereka.

    Oleh itu KMK menyenaraikan beberapa tuntutan yang mesti dipenuhi oleh kerajaan berhubung isu ini:

    1. Menyeru Pak Lah keluar segera dari kediaman subsidi Sri Perdana dan menetap bersama rakyat di Flat Kampung Kerinchi. Ini bagi memastikan beliau turut serta menikmati hidup tanpa subsidi bersama rakyat. Begitu juga dengan Najib dan menteri kabinet yang lain.

    2. Meminta ditarik juga segala subsidi atas nama elaun yang diterima oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet selama ini. Elaun ini perlu digunakan untuk menampung harga minyak sekarang.
    3. Sekiranya tuntutan ini dipandang remeh dan harga minyak tidak diturunkan, maka KMK menyeru agar Pak Lah bersama jemaah menterinya bersedia untuk dipecat oleh rakyat. Jangan menipu rakyat dengan istilah elaun dan subsidi.



    Mohd Nasaie Ismail
    Jurucakap Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK),
    Kuala Lumpur.

    Tuesday, June 3, 2008

    SINAR DIMASYQ 2: PENJARAH MASYARAKAT


    'Maliziyy jayyid'. Itu pandangan orang Syria apabila memberi pandangan mengenai Malaysia. Mereka biasanya melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju dan harmoni. Republik Arab Syria mempunyai keluasan 185 000km2 dengan populasinya sebanyak 18 juta penduduk. Negara ini mempunyai empat musim iaitu musim panas, sejuk, luruh dan bunga. Bahasa pengantar utama adalah bahasa Arab, kedua Perancis dan ketiga Inggeris. Kota raya Dimasyq merupakan sebuah kota yang sedang membangun tetapi dalam kapasiti yang sedikit perlahan. Ia dibahagikan kepada Dimasyq Jadid dan Dimasyq Qadim. Di Dimasyq Jadid inilah didirikan pusat pentadbiran dan perumahan elit. Ibarat Putrajaya di Malaysia dari sudut model pembangunannya. Dimasyq Qadim pula merupakan kota lama yang menjadi pusat bandar dan dihuni oleh jutaan rakyatnya. Bangunan di sini berkotak-kotak dan hampir kesemuanya berwarna coklat atau kelabu. Tetapi kota ini akan kelihatan sangat indah di waktu malam khususnya di musim panas. Bangunan-bangunan akan dihiasi dengan lampu yang pelbagai warna. Dari pemerhatian yang dibuat setiap pembinaan tidak diperbaharui atau diperelokkan kembali. Oleh sebab itu maka banyaklah kelihatan bangunan atau binaan yang rosak, buruk dan terbengkalai di samping bangunan yang baru dibina. Ia sedikit mencacatkan pemandangan. Di samping perlu diakui bahawa bahagian ini sudah dibangunankan ribuan tahun dahulu lalu menghasilkan pembinaan yang padat. Oleh itu kerajaan mendapatkan lokasi baru bagi pembangunan. Namun pujian perlu diberikan kerana mereka berusaha untuk mengekalkan bangunan-bangunan lama era kegemilangan Islam. Ibarat kita memasuki sebuah bandar yang diadun antara klasik dan modennya.

    Dimasyq boleh diibaratkan Kuala Lumpur 20 tahun yang lepas sama ada dari sudut pembangunan atau perkhidmatannya. Ia masih mengamalkan beberapa dasar tutup pintu khususnya dalam kegiatan ekonomi. Birokrasi di negara Arab sangat parah. Asalkan ada Lira (mata wang Syria) maka semuanya beres. Di Sana'a Yaman, jika kita ingin melepasi bahagian transit sebelum ketibaan pesawat maka tidak boleh ada sebarang bunyi apabila kita melalui pintu scan tersebut. Selagi ada bunyi maka selagi itulah kita perlu mengeluarkannya hatta tali pinggang besi di seluar sekalipun. Melalui imegresen (jawazat) di Dimasyq juga agak sukar dan terpaksa menunggu masa yang agak lama untuk diluluskan. Bayangkan kita perlu naik turun tangga beberapa kali hanya untuk mendapatkan tandatangan dan cop. Itu belum diceritakan kemungkinan dimarahi jika kepala kakitangan di situ berserabut. Kadangkala di pejabat diletakkan katil dan mereka akan tidur sambil menghisap rokok apabila keletihan.

    Seperti yang dijelaskan Syria masih belum membuka ekonominya kepada pasaran bebas. Oleh sebab itu tidak kelihatan banyak pasaraya besar atau pusat beli belah di sini. Kebanyakannya dibina di pinggir bandar atau di kawasan pembangunan yang baru. Mereka masih mempertahankan industri kecil dan sederhana yang menjadi nadi pencarian tradisi sebahagian penduduk di sini. Souq (pasar) sangat popular di sini. Ia menjual hampir pelbagai jenis barangan. Bayangkan berapa banyak barang yang dijual di Souq Hamidi yang memanjang dua kilometer dan antara yang tertua di dunia itu. Pepsi hanya dibenarkan masuk dalam era melinium ini. Oleh itu hampir di setiap kedai pasti ada minuman bergas tersebut. Samalah keadaannya dengan Sana'a yang mana hampir di setiap kedainya pasti ada Coca-Cola. Itulah coca-colanisations namanya. Kereta nasional Malaysia jenama Proton dan Perodua seperti Wira, Waja dan Kelisa pula boleh dilihat di mana-mana. Sekarang ini syarikat dari Malaysia, Muhibbah Holdings diberi tender untuk menaik taraf lapangan terbang antarabangsa di sini. Agak sukar untuk mencari KFC, MC DONALD, PIZZA HUT dan jenama makanan segera dari Barat. Jika ada sekalipun ia tidak begitu dikunjungi. Mungkin kerana dasar anti Barat yang diamalkan oleh kerajaan. Tetapi jika dibuka maka ia akan tersebar dengan begitu cepat dan meluas sekali.

    Taraf hidup di kota raya ini boleh dikatakan agak tinggi. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia lebih tinggi dari Kuala Lumpur. Mereka yang berkeluarga paling kurang memerlukan 20,000 Lira untuk hidup. Oleh itu mereka perlu mempunyai lebih dari satu pekerjaan. Seorang ustaz yang kami lawati mengatakan beliau sendiri mempunyai tiga pekerjaan termasuk sebagai pembantu doktor dan terlibat dengan syarikat pembinaan. Dengan pekerjaan ini barulah mereka dapat hidup lebih selesa walaupun beliau sendiri tinggal di pinggir bandar. Inflasi boleh dikesan sangat tinggi di sini. Ia dikatakan naik secara mendadak dalam awal tahun ini khususnya kesan kenaikan harga minyak dunia. Kenapa saya katakan begini? Kerana kos tinggi yang perlu dibayar tidak setimpal dengan barang yang dibeli. Bayangkan sewa rumah jenis 'Arabi (ruang tamu terbuka tanpa bumbung) sebanyak 18 500 Lira atau bersamaan lebih kurang RM1320. Rumah yang hanya mempunyai satu kipas, pintu tandas tanpa penyelak, terletak di antara lorong dan rumah yang sempit serta saling bercantum dan pelbagai lagi kekurangan. Di Malaysia harga sewa rumah sebegitu diletakkan di kawasan Petaling Jaya dan Hill Park dengan ruang yang lebih luas dan selesa. Apatahlagi apartmen atau kondominium yang lebih besar. Mereka yang benar-benar berduit sahaja dapat mendiami kawasan yang benar-benar selesa dari sudut ruang atau lokasinya. Namun kebiasaannya walaupun rumah mereka dilihat usang di luar tetapi di dalamnya ibarat kondominium. Itu adat di Syria dan melihat dari reaksi kehidupan, mereka selesa dengan cara hidup sebegini. Setiap rumah mempunyai parabola yang memungkinkan mereka melihat 3000 siaran dari pelusuk dunia. Oleh sebab itulah orang Arab Badwi yang tinggal dalam khemah kain di tengah padang gersang itupun turut memasang parabola di khemah mereka! Kadang-kala mereka memasang khemah yang dijahit itu dibawah binaan batu yang terbengkalai. Kita boleh melihat bagaimana mudahnya Barat menjajahi minda pemikiran mereka. Pakaian jenama standard dan antarabangsa pula lebih mahal dari di Malaysia. Walaupun ia adalah jenama Nike made in Vietnam atau kasut Diaodora made in Indonesia yang dijual di pusat beli belah elit di Sham Centre. Laptop dan handphone juga lebih tinggi kosnya berbanding di negara kita. Begitu juga dengan barangan keperluan yang lain.

    Air pula perlu dicatu. Ia hanya keluar antara pukul 6 pagi hingga 2 tengah hari. Pengangkutan di sini menggunakan bas (baru beroperasi), service (van yang dijadikan seperti bas), coaster (van besar yang memuatkan lebih dari 20 orang) dan teksi. Uniknya tambang bagi mereka yang menaiki bas dan service adalah sama walaupun pergi ke mana-mana sekalipun, service sebanyak 10 lira dan bas 5 lira. Tetapi teksi menggunakan meter atau mengikut kemahuan pemandu tersebut.
    .
    Secara kesimpulannya kota raya ini masih sedikit ketinggalan dari sudut ekonomi dan pembangunannya. Kos sara hidup yang tinggi kadangkala dilihat agak menekan kehidupan mereka. Walaupun mungkin ramai mengatakan ekonomi bukan sesuatu yang penting namun perlu diakui dalam konteks sebuah negara Islam, umat Islam di sini perlu digerakkan dengan lebih kehadapan dan menukar mentalitinya kepada mentaliti kelas dunia pertama yang sesuai dengan ajaran Islam. Selagi mereka masih berada di takuk ini dari sudut ekonomi dan perkhidmatannya maka selagi itulah dakwah bi al-hal agak sukar dilaksanakan.

    Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan, saya sekarang berada di kota Dimasyq ibu negara Rebublik Arab Syria selama dua bulan sehingga Julai ini. Mengikuti beberapa kelas Bahasa Arab dan talaqqi umum setiap malam di beberapa masjid di samping melihat dan mencari pengalaman di beberapa negara Arab yang dikunjungi. Kesempatan menulis blog saya gunakan sewaktu habis daurah formal di Mujamma' Abu Nour sebagai perkongsian kepada mereka di Malaysia. Penulisan ini adalah hasil observasi dan pemerhatian selama saya di sini. Tinggalkan dahulu penulisan berkenaan pemikiran Islam yang agak membebankan. Saya di sini pun tidak mempunyai kesempatan untuk mengkaji dan mengulas berhubung tajuk-tajuk tersebut di sini. Mereka yang datang ke Timur Tengah perlu mengunjungi negara ini. Kenapa? Jawapan sebenar hanya dapat dijawab oleh mereka yang pernah menziarahinya.

    Thursday, May 29, 2008

    SINAR DIMASYQ 1: KOTA 1001 SEJARAH


    Rakyat Malaysia memanggilnya Damsyik, bahasa Inggeris menamakannya Damascus manakala dalam lughah bahasa Arabnya ialah Dimasyq. Kota Dimasyq menyimpan 1001 cerita dan sejarah yang tidak mungkin dapat ditulis kesemuanya dalam berjilid-jilid buku sekalipun. Ia merupakan kota lama yang kini dilitupi dengan pembangunan model Negara Arab moden. Ia sudah terkenal sejak pemerintahan Rom lagi. Syam merupakan nama lamanya dan jika penduduk Tanah Arab mengatakan tentang Syam maka ia akan terfokus kepada kota ini. Walaupun Syam dahulu lebih luas meliputi Syria, Jordan, Palestin dan negara di sekitarnya namun pusatnya menurut orang di sini ialah di Dimasyq. Ia juga merupakan kota para Anbiya', Rasulullah pernah datang berniaga di sini dan kesannya boleh dilihat sehingga kini. Ia mula dibuka ketika zaman Umar al-Khattab r.a dan Dinasti Umayyah mengembangkannya menjadi kota Islam yang masyhur. Sejarah mengenai pembukaan kota ini adalah sangat panjang dan boleh didapati dalam banyak buku sejarah.

    Dimasyq dikatakan berasal dari tiga nama. Pertama ia berasal dari bahasa Arab iaitu Dammun Syaqiqun yang bermaksud darah saudara. Di sinilah dikatakan terletaknya lokasi kisah pembunuhan pertama dalam sejarah kemanusiaan iaitu peristiwa berdarah Qabil dan Habil. Lebih tepat lagi ia terletak di Jabal Qasiyun. Bukit ini terletak di belakang perumahan penduduk Dimasyq yang sangat sesak. Di atas bukit itulah terjadinya pembunuhan tersebut. Mengikut cerita orang di situ kononya akibat berlaku pembunuhan pertama tersebut maka batu yang menyaksikannya sangat terkejut sehingga ia terbentuk menjadi seolah-olah mulut yang ternganga. Bentuk mulut ternganga dengan lidah yang terjulur itu boleh dilihat kesannya sehingga kini. Bahkan di situ juga terdapat tapak tangan Jibril a.s yang kononnya menahan bukit dari menghempap Qabil. Di bukit ini jugalah terdapatnya makam 40 wali atau dipanggil makam Arba'in yang istimewa. Sesiapa yang ingin mengunjungi bukit tersebut perlu melalui ribuan anak tangga dan perlu melalui perumahan penduduk yang berbukit, sempit dan sesak. Lebih sukar jika dibandingkan dengan Batu Caves. Namun keletihan akan hilang apabila sampai di kemuncaknya. Seluruh kota Dimasyq yang luas itu boleh dilihat secara langsung dari puncak ini. Namun pengunjung dilarang pergi ke bahagian belakang bukit kerana di situ dikatakan terletaknya kem tentera dan tersimpannya senjata tentera Republik Arab Syria.

    Selain itu ia juga dikatakan berasal dari nama seorang raja iaitu Damasyqa. Saya tidak mempunyai maklumat berkenaan fakta ini namun ia cukup menjelaskan bahawa kota ini sudah lama wujud.

    Selain itu Dimasyq juga bermaksud bandar dalam kota. Kota yang dimaksudkan di sini ialah kota yang dibina oleh panglima ulung Salahuddin al-Ayyubi. Kota ini dibentengi dengan tembok yang besar dan ia terletak di tengah-tengah ibu kota Dimasyq ini. Di dalam kota ini juga terletaknya Jami' Umawi yang terkenal. Sebuah gereja yang ditukarkan kepada masjid ketika pembukaan Islam oleh Saidina Umar. Di sini tertanamnya kepala Saidina Husin r.a, Nabi Yahya a.s, kubur Salahuddin al-Ayyubi dan sahabat Nabi Abu Darda' r.a. Jami' Umawi dengan lapangannya yang sangat luas itu menjadi tempat berkumpulnya tentera Islam sebelum mereka membuka Palestin. Di situ jugalah terletaknya mimbar yang menjadi tempat Salahuddin al-Ayyubi menyampaikan amanat kepada para tenteranya. Di Jami' Umawi ini juga terletakkan menara putih (baidho') yang dikatakan lokasi Nabi Isa a.s akan turun ketika hampirnya kiamat kelak.

    Banyak lagi sejarah yang dapat menggambarkan kota Dimasyq sama ada dari sudut sejarahnya atau budaya masyarakatnya. Perkembangan Islam dan sejarah penyebarannya boleh dilihat melalui kesan peninggalan masyarakat Islam terdahulu. Namun untuk lebih memahami dan mengetahui misteri kota ini, maka adalah lebih baik untuk kita mengunjunginya sendiri.

    Saturday, May 17, 2008

    DIALOG ANTARA AGAMA: BEBERAPA SARANAN

    Beberapa saranan perlu dikembangkan bagi memberikan sedikit ruang antara penganut-penganut berbilang agama yang tajam dengan perbezaan dapat dihampirkan. Bahkan mungkin sudah sampai masanya bagi semua untuk memikirkan keterlibatan masyarakat yang tidak beragama dalam dialog seperti ini. Mereka juga mempunyai agama iaitu agama yang meletakkan hawa nafsu sebagai tuhan dan menjadikan pegangan tidak beragama itu sebagai panduan. Hal-hal seperti inilah yang perlu diperbetulkan oleh Islam melalui usaha-usaha dialog yang dijalankan. Kajian ini tidak akan menghuraikan secara khusus dan terperinci berkenaan dengan konsep dialog, kepentingan dan kaedah yang diperlukan. Namun di sini diletakkan beberapa aspek yang perlu diberi keutamaan oleh setiap mereka yang terlibat dengan dialog iaitu:

    1. Persepakatan kepada persoalan-persoalan yang dipersetujui bersama.
    Mereka yang terlibat secara langsung dengan dialog antara agama perlu memastikan terdapatnya titik temu yang boleh dipersetujui secara bersama dalam setiap agama yang terlibat. Dalam masa yang sama mereka tidak perlu berganjak seincipun dari prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh agama. Huraian sebelum ini telah menerangkan bahawa adalah mustahil untuk setiap agama mengiktiraf agama yang lain atas asas konsep yang sama.

    Namun dalam konteks ini bukan persamaan yang menjadi ukuran tetapi persetujuan yang menjadi fokus perbincangan. Tidak semua yang dipersetujui itu sama dan tidak semestinya yang sama itu boleh dipersetujui oleh semua. Sebagai contoh semua agama bersetuju terhadap nilai baik tetapi konsep pemahaman terhadap nilai baik itu saling berbeza. Memperakui sesuatu perkara memerlukan proses bersetuju terlebih dahulu namun proses bersetuju tersebut tidak memerlukan kepada perakuan terlebih dahulu. Dengan kata lain tidak semua persetujuan itu memerlukan perakuan tetapi setiap perakuan itu memerlukan persetujuan. Oleh itu, persetujuan antara agama perlu wujud walaupun ia di peringkat paling asas khususnya berkenaan kewujudan Tuhan atau kuasa mutlak selaku pencipta dan pentadbir alam ini.

    Di samping itu nilai-nilai etika seperti kasih sayang, hormat-menghormati, jujur, amanah, tidak berbohong, tidak membuat kezaliman dan sebagainya merupakan nilai umum yang pasti ada dalam setiap agama dan falsafah pemikiran. Perlu diberi perhatian bahawa saranan ini adalah berbeza dengan konsep yang dibawa oleh Etika Global. Konsep Etika Global cuba menggesa masyarakat dunia mengiktiraf beberapa nilai asas yang dikatakan terdapat dalam setiap agama dan pemikiran.

    Akan tetapi saranan ini hanya diperingkat keperluan untuk setiap agama yang terlibat dengan dialog untuk bersetuju (bukan mengiktiraf) nilai-nilai mulia yang telah disebutkan di atas.[1] Mengiktiraf dan bersetuju seperti yang telah dihuraikan di atas merupakan dua konotasi yang berbeza di samping kedua-duanya juga mempunyai cara dan matlamat yang juga berbeza antara satu sama lain. Keperluan kepada persetujuan ini amat penting sebelum sesuatu dialog itu dikembangkan ke tahap yang lebih luas dan mendasar.

    2. Tujuan dan matlamat dialog adalah untuk mencapai persefahaman dan memupuk semangat toleransi. Dialog ini tidak boleh dianggap sebagai mekanisme bagi mengharmonikan kepercayaan setiap agama atau untuk mengubah mana-mana doktrin agama. Pengiktirafan kepada ajaran yang lain merupakan perkara yang mustahil untuk dicapai. Agama yang benar-benar kukuh tidak akan membenarkan pengiktirafan dan perakuan kepada ajaran lain. Bahkan agama yang kukuh ini akan berusaha dan memastikan ajaran yang dibawa ini disampaikan pula kepada orang lain. Hanya agama yang rapuh dan tidak tetap sahaja yang akan membiarkan pengaruh dari luar bercampur aduk dengan ajaran yang terkandung dalam agama tersebut.

    Oleh kerana hanya terdapat sesetengah golongan agama sahaja yang menerima konsep pluralisme dan inklusivisme manakala yang lain tegar dan teguh dengan kemuliaan ajaran agama masing-masing maka amat sukar dan mustahil untuk mencapai apa yang dipanggil sebagai persamaan yang memerlukan pengiktirafan ini. Oleh itu, apa yang perlu dicapai melalui dialog antara agama ini adalah persefahaman yang tidak mengenepikan perakuan bahawa setiap agama itu mempunyai pegangan dan kepercayaan yang mutlak menurut pandangan masing-masing.[2] Hal ini tidak dapat dielakkan jika tujuan dialog tersebut adalah untuk mencapai persefahaman dan semangat toleransi. Konflik dan kemelut antara agama yang berlaku adalah kerana ketidakfahaman dan salah faham sesuatu agama kepada agama yang lain. Asas keamanan dan kedamaian antara agama pula hanya boleh dicapai melalui persefahaman dan toleransi yang terhasil dari interaksi tersebut. Oleh itu dialog yang dilaksanakan perlu lebih menjurus kepada penjelasan mengenai kepercayaan dan kefahaman agama masing-masing.

    3. Mereka yang terlibat dengan dialog ini harus terdiri dari mereka yang benar-benar berwibawa dan berautoriti. Ia bagi mengelakkan salah faham dan silap faham yang mungkin tercetus akibat kejahilan pendialog tersebut.

    Mereka yang berwibawa adalah mereka yang benar-benar mengetahui dan memahami ajaran masing-masing serta arif dan pakar dalam pendekatan dialog. Mereka bukan sekadar memahami pendekatan dialog menurut perspektif agama yang dipegangi semata-mata tetapi turut memahami perspektif dialog agama-agama yang lain. Mereka yang berautoriti pula ialah mereka yang paling berkelayakan untuk mewakili agama masing-masing. Ia mungkin dilihat dari sudut penguasaan ilmu, jawatan tertinggi atau pandangan masyarakat beragama. Mereka yang benar-benar layak ini dapat memastikan dialog dapat dikendali, didebat, dibahas, difahami dan dicapai persetujuan secara baik dan harmoni.

    4. Skop perbincangan dialog perlu diluaskan kepada konteks penyelesaian masalah-masalah semasa yang berkaitan dengan keagamaan khususnya berkenaan isu-isu yang mampu mengganggu-gugat keharmonian kehidupan bersama. Batasan perbincangan yang hanya berkisar mengenai dasar-dasar setiap agama hanya dapat mewujudkan persefahaman dalam bentuk dalaman semata-mata manakala ancaman luaran kepada persefahaman tersebut diketepi dan ditinggalkan. Oleh sebab itu ancaman luaran seperti fahaman sekularisme dan materialisme yang mampu menghancurkan persefahaman itu perlu dibincangkan dengan lebih terperinci dan bermatlamat. Perbincangan yang dianjurkan ini diharap dapat menjamin kelangsungan keharmonian dan kestabilan kehidupan masyarakat berbilang agama.

    5. Sekularisme dikatakan salah satu ancaman kepada agama dan keharmonian agama. Oleh itu sudah sampai masanya bagi mereka yang beragama mengadakan dialog dan interaksi dengan golongan tidak beragama ini bagi menjelaskan pendirian masing-masing seterusnya mencapai satu titik persetujuan. Kebanyakan golongan beragama melihat mereka secara skeptis tanpa memahami dengan sebenar-benarnya punca dan faktor wujud dan berkembang luasnya golongan yang tidak berpegang kepada mana-mana pegangan ini. Mereka yang tidak beragama ini sebenarnya mempunyai nilai fitrah yang secara semulajadinya tertanam di dalam diri massing-masing tetapi terkambus dengan hawa nafsu dan rasional akal yang tebal. Oleh itu bukan suatu yang mustahil untuk diadakan dialog antara dua kelompok yang saling berbeza ini.

    6. Dialog antara agama tidak seharusnya terhenti kepada wacana dan perbincangan dua hala atau lebih dalam bentuk yang hakiki semata-mata. Pendekatan lain yang boleh digunakan dengan tidak keluar dari konteks dialog ialah melalui jawapan ilmiah dan tulisan berbentuk heresiografi. Jawapan ilmiah atau radd ini kebiasaannya ditulis oleh sarjana dan ulama’ Islam khususnya ahli kalam seperti Fakhr al-Din al-Razi, Ibnu Taimiyyah dan al-Biruni.[3] Heresiografi pula bermaksud penulisan yang menumpukan aspek mengenai kelompok agama serta pegangan utama mereka. Karya sebegini boleh didapati secara mudah melalui penulisan oleh tokoh-tokoh kalam seperti al-Asha’ri dalam kitabnya Maqalat Islamiyyin, al-Shahrastani dengan kitabnya al-Milal wa al-Nihal dan al-Baghdadi menerusi kitab beliau al-Farq Bayn al-Firaq.[4] Namun dialog dalam bentuk ini memerlukan garis panduan yang bersesuaian sebelum ia boleh diklasifikasikan sebagai dialog.

    Sebagai kesimpulannya dialog antara agama merupakan wasilah yang paling sesuai untuk dipraktikkan secara berkesan dalam menyelesaikan konflik pertembungan kepelbagaian latar manusia ini. Dialog yang dianjurkan ini perlu bersedia untuk berhadapan dengan sebarang halangan, cabaran dan halangan yang sedang dan bakal mendatang.

    [1] Adalah diakui bahawa untuk menentukan sesuatu nilai itu sebagai mulia, terpuji dan baik atau keji, hina dan jahat ianya terletak kepada sumber nas yang sahih. Walaubagaimanapun akal juga mempunyai peranan dalam membuat pertimbangan berhubung perkara ini. Akal tidak boleh diketepikan dalam membuat pertimbangan moral kerana ia juga adalah fitrah semula jadi yang telah dicipta oleh Allah S.W.T kepada manusia. Peranan wahyu adalah menunjukkan apa yang perlu dilakukan oleh akal manakala peranan akal adalah mematuhi perintah wahyu. Namun wahyu tidak memberi penjelasan yang mendalam secara keseluruhannya terhadap perkara-perkara tertentu. Oleh itu menjadi tugas akal bagi memastikan perkara yang tidak disentuh secara khusus itu dipertimbangkan dengan sebaiknya dengan menjadikan wahyu sebagai sempadan dan pengikat.
    [2] Konsep dialog yang mengakui setiap agama mempunyai dakwaan kemutlakan masing-masing tanpa dapat diganjakkan lagi ini merupakan konsep yang diperkenalkan dalam perspektif dialog yang dibawa oleh agama Kristian. Titik permulaan dialog adalah dengan memberikan pengiktirafan bahawa setiap pengamal kerohanian memiliki komitmen dan keyakinan yang mutlak.

    CABARAN DALAM DIALOG ANTARA AGAMA

    Terdapat dua cabaran utama dalam dialog agama yang perlu dihadapi dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Cabaran pertama ialah penganjuran faham pluralisme agama[1] yang cuba diterapkan dalam dialog dengan menafikan pengikraran satu kebenaran yang mutlak dan esa.[2] Konsep pluralisme yang menekankan sifat memahami perbezaan dan persamaan untuk mencapai kerukunan hidup serta pemfokusan kepada keadaan interaksi yang tinggi merupakan konsep yang baik untuk dipraktikkan dalam sesuatu dialog.[3] Namun pluralisme yang ditolak ialah pluralisme yang cuba meletakkan kebenaran sebagai milik bersama semua agama. Ia bukan merupakan pendekatan eksklusif yang boleh membantutkan usaha dialog kerana selagi konsep tasamuh dan penekanan kepada pencapaian kerukunan hidup dijadikan matlamat maka konsep yang kedua tersebut tidak diperlukan. Bahkan penerapan konsep yang kedua ini boleh menimbulkan lebih banyak masalah dan konflik berbanding toleransi yang dicari.

    Cabaran kedua yang perlu dielakkan dan dihadapi dengan bijaksana ialah kecenderungan untuk menafi dan membuang kemutlakan agama (deabsolutization of truth).[4] Ia merupakan kesinambungan dengan konsep pluralisme yang menekankan penyamarataan dan pengiktirafan kesaksamaan dalam setiap agama. Hal ini tidak diperlukan kerana apa yang perlu diutamakan terlebih dahulu adalah sikap positif terhadap keanekaan bangsa dan agama, mesra budaya serta menolak extrimism, chauvinism dan fanaticism.[5]

    Hal ini perlu diberi perhatian oleh setiap agama yang inginkan persefahaman dan pemupukan semangat toleransi melalui dialog. Ia mungkin bercampur-campur dan boleh dipanggil sebagai etika, pendekatan, bentuk dan praktik dialog. Dialog dilihat cara terbaik yang boleh dilaksanakan oleh umat manusia kerana ia lebih jelas, mudah dan berkesan kerana membabitkan interaksi secara langsung dengan setiap agama. Ewert Cousins menyatakan bahawa kesedaran kemanusiaan semakin meningkat di era globalisasi ini.[6] Hal ini memerlukan persefahaman bersifat global bagi melengkap kesedaran sejagat yang berlaku sekarang. Oleh itu beliau mengatakan dialog di peringkat global pada masa sekarang adalah satu keperluan bukannya keharusan.[7] Oleh sebab itu juga Leonard Swidler menegaskan bahawa dialog ialah keseluruhan cara berfikir bentuk baru dalam sejarah kemanusiaan. (a whole new way of thinking in human history).[8] Tambah beliau lagi secara kesimpulannya manusia perlu berhadapan dengan dua pilihan besar iaitu dialog atau mati![9]