Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Monday, March 16, 2009

    TRADISI ILMU @ TRADISI SOSIAL


    Sudah beberapa tahun saya mencermati ruang dan persekitaran Akademi Pengajian Islam, UM. Bukan sekadar selok belok seni binanya serta kedudukannya yang terperosok di penjuru bukit tetapi ada yang lebih penting perlu dinilai. Nilaian kepada budaya dan tradisi ilmu yang seharusnya mewarnai pusat keilmuan Islam ini. Ramai melihat tiada apa yang kurang untuk institusi sebegini. Dari sudut tenaga pengajarnya mahupun bidang yang ditawarkan. Namun itu bukannya satu penghakiman muktamad yang boleh diutarakan di sini. Selaku sebuah akademi yang menawarkan empat bidang utama dengan sebelas jabatan ia perlu mewajahkan dirinya selaku sebuah akademi yang berteraskan ilmu. Walaubagaimanapun tradisi ilmu masih belum benar-benar terlihat di sebalik gahnya empat blok di akademi tersebut. Diakui setiap institusi pendidikan mempunyai tradisinya yang tersendiri. al-Azhar dengan adunan tradisi pengajian kitab turath yang dikekalkan zaman berzaman. Universiti di Arab Saudi menonjolkan elemen pegangan prinsip yang kuat kepada al-Quran dan Hadith. Di Syria pendidikan bersifat talaqqi dengan campuran pendidikan formal masih terpelihara begitu juga di Yaman. Namun suasana sebegini gagal dilihat di Akademi Islam.

    Mahasiswa terperangkap dengan sistem persekolahan yang dilalui mereka sebelum ini. Apa yang dikejar bukannya ilmu atau kefahaman tetapi pointer yang tinggi ataupun sekadar lulus peperiksaan. Ini memberi kesan kepada budaya ilmu. Iaitu satu bentuk budaya yang menjadikan ilmu sebagai asas aspek pemikiran, tindakan, wibawa serta mewarnai setiap keputusan yang dilaksanakan. Ilmu sebagai asas bukannya pemikiran membuta tuli berdasarkan pengalaman inderawi semata. Mahasiswa yang mengikuti pengajian Islam sepenuh masa kini gagal menentukan prinsip akidah apakah yang benar-benar perlu digenggam erat olehnya berdasarkan dalil-dalil yang difahami. Gagal menyelami aspek syariah dan fiqh waqii' yang mencorakkan masyarakat berasaskan situasi dan keadaan. Juga gagal membezakan ilmu yang bersifat benar dengan ideologi pemikiran yang merasuk kian ramai masyarakat kini. Kitab-kitab turath pula ditinggalkan dan kebanyakannya bergantung kepada nota-nota pensyarah. Hasilnya lahir manusia-manusia lalang yang selesa ditiup angin ke kiri, kanan, atas dan bawah.

    Jika ilmu yang dikejar ini untuk pekerjaan semata maka samalah kita ini dengan Aristippos daripada Kyrene (433-355 SM) yang berpendapat kesenangan bersifat badani dan itu adalah matlamat kerana hakikatnya tidak lain daripada gerak di dalam badan, begitu juga dengan John Locke yang menegaskan sesuatu perkara disebut baik jika ia dapat meningkatkan kesenangan dan digelar jahat jika ia mengakibatkan ketidaksenangan atau mengurangkan kesenangan kepada diri.

    Institusi ilmu ini seharusnya menumbuhkan pokok-pokok yang teguh dan membumi akarnya. Meneduhi lalang-lalang di bawahnya dan tetap teguh walau dilanda badai dan taufan. Apakah bajanya? Bajanya ialah ilmu. Ilmu yang dipelajari dengan kefahaman yang utuh dan dipraktikkan sehingga melahirkan buah-buah yang ranum. Bukan ilmu yang dihafal di malam peperiksaan dan dibakulsampahkan keesokannya. Ilmu perlu disertai amal dan adab. al-Zarnuji dalam kitabnya Ta'allim al Muta'allim menceritakan Khalifah Harun ar-Rasyid menghantar anaknya kepada al-Asma’i untuk mempelajari ilmu dan adab. Pada suatu hari baginda melihat al-Asmai’ berwudu’ dan membasuh kaki, anaknya pula mencurahkan air ke kaki gurunya. Lalu Khalifah mencela al-Asmai’ dengan berkata: “Sesungguhnya aku menghantarnya (anakku) kepada kamu untuk mempelajari ilmu dan mengajarnya adab, kenapa kamu tidak menyuruhnya mencurahkan air dengan menggunakan satu tangan manakala tangan yang satu lagi membasuh kakimu?”. Sekadar satu coretan peringatan.

    Monday, November 24, 2008

    JEMPUTAN KE MAJLIS MAKAN MALAM AMAL UKP


    Sukacita dimaklumkan Persatuan Usrah Kebajikan Profesional Malaysia [6078/97] akan mengadakan Majlis Makan Malam Amal UKP dan Pelancaran Tabung Pendidikan UKP khusus untuk anak-anak tahanan ISA.

    UKP merupakan badan bukan kerajaan yang didaftarkan pada 1997 menghimpunkan profesional Muslim yang terdiri dari bekas mahasiswa Universiti Malaya sejak dari tahun 1984. Kami merupakan sebuah NGO yang menjadikan medan kebajikan dan dakwah sebagai metode dan sasaran usaha untuk menggalakkan lagi penglibatan kalangan profesional dalam aktiviti sosial dan dakwah. Oleh itu program ini merupakan salah satu aktiviti bagi menjayakan matlamat di atas.


    Di antara objektif utama program ini ialah untuk:


    Melancarkan dan mengumpul dana bagi tabung pendidikan anak-anak tahanan ISA.
    Melancarkan penjenamaan semula Usrah Kebajikan Profesional (UKP) ke arah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang konsisten, memupuk keperibadian Muslim dan melaksanakan usaha dakwah dan kebajikan kepada masyarakat.
    Menghimpun dan menyatukan profesional Muslim seluruh Malaysia yang mengangotai UKP ini.
    Mengumpul dana bagi menjalankan usaha-usaha kebajikan dan kegiatan yang bersesuaian dengan prinsip-prinsip Islam.

    Sehubungan dengan itu, kami amat berbesar hati menjemput Puan untuk menghadiri majlis makan malam ini. Berikut adalah butiran program tersebut:

    Tarikh : 28 November 2008 (Jumaat)
    Tempat :Dewan Musytari, Hotel Residense, UNITEN Bangi.
    Masa : 8.00 malam – 10.30 malam
    Perasmi :Y.A.B Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
    Bayaran : RM100.00

    Tempahan boleh dibuat secara tunai atau bank-in ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB): 12065010021129 atas nama Persatuan Usrah Kebajikan Profesional Malaysia. Maklumat lanjut sila layari http://dinnerukp.blogspot.com/.

    Kerjasama, sokongan dan persetujuan dari pihak puan amat kami hargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

    Sekian.



    ”Memimpin Tangan, Meringankan Beban”

    Yang benar,


    .............................TT..............................................
    (MOHD KHAIRUL NAIM BIN CHE NORDIN)
    Pengarah,
    Majlis Makan Malam Amal UKP `08,
    Persatuan Usrah Kebajikan Profesional [6078/97].
    013-2967869/ 03-79676014/6096
    mkncn_0000@yahoo.com

    Thursday, November 13, 2008


    TAKE TIME TO THINK. It is the source of power.


    TAKE TIME TO READ. It is the foundation of wisdom.


    TAKE TIME TO QUIET. It is the opportunity to seek God.


    TAKE TIME TO DREAM. It is the future made of.


    TAKE TIME TO PRAY. It is the greatest power on earth.

    Wednesday, November 5, 2008

    SECARA RASMINYA BLOG INI DI'UPDATE'?!?

    Penulisan dalam blog memerlukan kerajinan dan komitmen. Hanya orang yang bijak mampu benar-benar manfaatkan blog. Jadi saya cuba untuk menjadi golongan ini (tanpa mampu lagi fikirkan apa bidang yang ingin disentuh) Sahabat minta blog ni di'update' (saya letakkan koma di atas bagi mengelakkan kemarahan abang Zamzuri, seorang pejuang bahasa Melayu tegar yang menentang bahasa rojak). Puratanya 8 jam sehari saya tinggal di 'dunia tanpa sempadan' di bilik Dr Fauzi Hamat yang digelar oleh pelajarnya sebagai al-Ghazali ke-2 (bukan saya). Kalau 5 hari (8jam x 5 hari = 40 jam), maka yang perlu terbit dari ruh, hati, akal, jiwa dan kalbu saya (al-Attas kata ni semua sama cuma keadaannya berbeza) adalah inisiatif dan tindakan.

    Ada yang minta ditulis resensi atau rumusan dari buku-buku yang saya baca. Ada juga yang minta tulis pengembaraan singkat tapi mencabar (mental & fizikal) di Asia Barat. Sahabat-sahabat di Timur Tengah minta ditulis perkembangan semasa di Malaysia. Kadang-kadang bila menaip, taipan boleh sahaja jadi tak berhenti, lalu jadilah tulisan yang panjang dan perbincangan yang dibawa jadi perbincangan alam ideal Plato. Setiap sesuatu ada fokusnya, macam penulisan ilmiah jugak. Sebelum menulis perlu tahu topik kajian, apa isu yang nak dikaji, adakah itu keperluan, adakah apa yang nak disentuh satu asas yang membentuk satu-satu isu atau hanya ingin kupas isu yang terjadi macam kajian sosial yang berlambak sekarang ni.

    Ramai katakan Blogger tidak menyampaikan berita tapi memberi analisis kepada berita. Berita pulak diperolehi dari mainstrem media, rumours atau cerita-cerita belakang, ada juga yang berbentuk ilmiah macam jurnal, sebagai ruang sosial dan macam yang al-Qaeda gunakan sebagai senjata (psikologi dan propaganda). Benar juga apa yang bekas Setiausaha Pertahanan US yang gagal, Donald Rumsfeld katakan: "blog are now officially a weapon of war".

    Perkataan 'blog' diambil dari 'weblog'. Muncul dari satu esei tahun 1999 yang berjudul ‘The Anatomy of a Weblog’ ditulis oleh Cameron Barrett. Ia merujuk kepada kronologi posting (post terbaru akan berada di kedudukan paling atas, ada kapasiti untuk hypertext links dan pembaca boleh memberi respon dalam ruangan komen. (jadi sesiapa yang tak sediakan ruang untuk komen atau letak shoutbox maka dia bukan blogger.. termasuk aku??)

    Blog juga jadi alat untuk syarikat-syarikat berkomunikasi dengan sasaran. Kajian oleh GuideWireGroup menyatakan 89% syarikat menggunakan blog atau bercadang untuk menggunakannya. Lebih separuh dari responden telah melancarkan satu atau lebih blog setahun dan 10% telah ber'blogging' selama 3 tahun. Akhir tahun 2004 menonjolkan blog sebagai kunci penting kepada budaya siber. Dua survey yang dijalankan oleh the Pew Internet & American Life Project menunjukkan 8 juta warga Amerika buat blog. Itu 4 tahun lepas dan hanya di USA, bagaimana pula perkembangan di seluruh dunia.

    Tambahan lagi bagi tunjukkan blog ni penting (jika dimanfaatkan dan lebih penting di'update') James Surowiecki dalam bukunya The Wisdom of Crowds membawa teori bahawa perbincangan berkumpulan boleh membentuk persefahaman, kefahaman dan faham-memahami yang lebih baik berbanding interprestasi/tafsiran individu pada mana-mana maklumat. Jadi kesimpulannya sama-samalah berblog.

    Cuma pada pandangan saya dua kriteria perlu diberi keutamaan untuk menepati blog yang bagus. Pertama ikuti 'code of ethics': 'what you shouldn't do' dan kedua 'code of practice': what you should be able to do'. It's important difference. Selamat meng'update' blog...

    Thursday, July 24, 2008

    SANAA’ YAMAN: KOTA YANG AMAN



    Suasana ibu kota Yaman, Sana’a menggambarkan seribu satu kelainan. Kotanya walaupun masih mundur untuk dibandingkan dengan ibu kota negara Arab yang lain, namun senibina bangunannya sangat unik dan indah. Mungkin masyarakat di sana masih mewarisi keagungan ketamadunan kerajaan Saba’ ribuan tahun yang lampau. Batu-bata diukir dan dipahat sendiri. Batu tersebut juga mempunyai pelbagai warna yang menghasilkan ciri seni bina yang indah. Itulah kelebihan masyarakat di sana, mepunyai kemahiran membina bangunan walau di tempat yang sempit sekalipun dan tanpa menggunakan teknologi yang canggih dan maju. Di sebabkan itu juga empangan Saba’ itu pernah menjadi mercu tanda kemajuan masyarakat di Yaman.

    Kedudukan Sana’a terletak di atas bukit. Ibu kota tersebut dikelilingi bukit yang tinggi. Ibarat ia terletak di tengah kawah gunung berapi. Gambarannya seperti di qal’ah Salahuddin di Aleppo, Syria. Tetapi qal’ah tersebut terletak di atas tetapi Sana’a ke dalam. Mungkin gambaran dari atas boleh lebih menggambarkan. Ketinggiannya pula dikatakan dua kali ketinggian Genting Highland. Atas sebab itulah masih terasa suasana sejuk di sini walaupun di musim panas. Masyarakat di sana tidak menggunakan pendingin hawa kerana sejuknya masih terasa. Malahan hotel di sana pun tidak menggunakan kemudahan tersebut. Seorang pelajar di sana pernah mencabar saya mencari bangunan yang menggunakan aircond dan saya gagal untuk mencari bangunan sebegitu.

    Kerajaan di sini dipimpin oleh pemerintah yang berpegang kepada ideologi sosialis. Namun perlembagaan mereka dirujuk kepada al-Quran dan al-Hadith. Undung-undang hudud juga tetap diamalkan. Oleh sebab itu pembangkang yang kuat di sana diterajui oleh Parti Islah, sebuah gerakan Islam yang dipmpin oleh ulama’ terkenal Sheikh Abdul Majid al-Zindani. Maksud Islah tersebut adalah untuk mereka memperbaharui apa yang ada dan memperbaiki apa yang masih lompang. Presidennya Abdullah Salleh telah menerajui kerajaan sejak puluhan tahun. Beliau masih berkuasa kerana sistem pilihanraya yang korup. Penggunaan dakwat ketika mengundi diamalkan di sini. Cuba bayangkan kerajaan yang menggunakan dakwat ini pun masih menipu dalam keadaan pembangunan yang mundur apatah lagi Malaysia yang lebih maju dan membangun.

    Suasana sekarang dikatakan semakin terjaga. Baru empat bulan yang lepas kerajaan mewartakan pengharaman pembawaan senjata di tempat awam. Jika dahulu kalashnikov boleh didapati di mana-mana. Boleh sahaja mereka menganjurkan pertandingan menembak tidak formal di tengah-tengah bandar. Namun semangat jihad masyarakat di sini sangat tinggi. Kedutaan Amerika pernah dibom ketika isu penghinaan Rasulullah satu ketika dahulu. Bahkan mereka pernah memaksa kerajaan menghantar mereka berjihad di Palestin, Beberapa warga Yaman juga sekarang ini ditahan di Teluk Guantanamo kerana dituduh pengganas. Salah seorangnya adalah pemandu Osama Laden yang kini dibicarakan di mahkamah Amerika Syarikat. Perbicaraan ketenteraan pertama di negara tersebut selepas perang dunia kedua. Pada 18 Julai yang lepas diadakan multaqa ulama’-ulama’ Yaman yang pertama dan julung-julung kali dianjurkan. Ia berkenaan penubuhan badan pencegah maksiat bagi mengawal gejala sosial yang semakin membahanakan di Yaman sekarang. Ribuan yang hadir dan ia mendapat liputan media yang luar biasa. Terlihat suasana tanggungjawab dari riak muka mereka yang hadir. Badan tersebut akhirnya berjaya ditubuhkan dengan dipimpin oleh para ulama’ terkemuka dan sokongan padu rakyat Yaman. Tidak menghairankanlah masyarakat di sana lebih mendengar kata-kata ulama’ dari kata-kata pemimpin kerajaan.

    Selain itu, biah di Yaman masih terjaga dan terpelihara. Memang tidak kedapatan langsung wanita tempatan yang tidak menutup aurat. Pemakaian mereka sangat terjaga. Hendak mencari wanita yang tidak memakai niqab agak sukar. Jika dahulu hendak mencari wanita yang keluar ke ibu kota juga sangat sukar. Namun kini perubahan sedikit demi sedikit berlaku. Semakin ramai wanita telah berani keluar tetapi masih ditemani muhrim masing-masing. Allah masih dan semoga akan tetap merahmati bumi Yaman ini. Tidak seperti di tempat yang lain masyarakat di sini tidak gemar gambar mereka di ambil. Pernah sahaja seorang lelaki pernah megacukan pistol kepada pelajar Malaysia kerana dikatakan mengambil gambar adik perempuannya. Walhal ia diambil secaa kebetulan, lalu kamera tersebut dihancurkan. Pernah juga ketika saya melawati Bab al-Yaman kota ribuan tahun itu saya mengambil gambar pemandangan binaannya. Dan tiba-tiba seorang nenek yang umurnya 60-an menutup mukanya kerana disangkanya saya mengambil gambar beliau. Sampai begitu sekali mereka menjaga kehormatan dan maruah. Tidak seperti di Malaysia, yang lebih suka segala tubuh badan mereka ditayangkan kepada orang ramai. Betapa rosaknya tanah air kita sekarang ini.

    Kecuali ratusan siaran televisyen yang ditarik melalui parabola, cyber café dan kedai CD, tiada apa yang mencemarkan biah di sini. Masyarakat di sini sangat menghormati wanita. Tiada kedapatan papan tanda menayangkan wanita, tiadanya kedai arak dan kelab malam. Beberapa minggu lepas sebuah kedai makanan milik warga China ditutup kerana menjual arak kepada warga tempatan. Remaja-remaja itu dikatakan mabuk dan melepaskan tembakan membuta-tuli. Dengan desakan masyarakat, kedai tersebut ditutup.

    Begitulah serba sedikit yang boleh digambarkan perihal Sana’a, ibu kota yang menjadi nadi kepada warga Yaman. Masyarakat di sana perlu lebih berusaha bagi memaju dan membangunkan ekonomi dan taraf hidup mereka. Kekuatan ekonomi dan kepandaian teknologi sangat penting dalam era milenia sekarang. Namun semangat jihad dan pegangan Islam itu tidak boleh terhakis seiring dengan pengejaran kepada keduniaan. Dasar sekularisme sebegini perlu dihapuskan dalam pemikiran setiap Muslim. Apa yang perlu diingati ialah sesiapa yang inginkan dunia maka ia memerlukan kepada ilmu dan sesiapa yang memerlukan akhirat ia juga memerlukan ilmu, dan sesiapa yang memerlukan kedua-duanya maka ia juga memerlukan ilmu. Ilmu sahaja yang mampu memajukan masyarakat itu di dunia mahupun di akhirat.


    Sunday, June 29, 2008

    GAMIS = NGO = ?

    Satu usaha positif. Langkah Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) untuk mendaftarkan pertubuhan itu ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara sebagai NGO (pertubuhan bukan kerajaan) merupakan satu usaha baru untuk terus melangkah ke hadapan. Walaupun ramai yang mempertikaikan usaha tersebut namun ia tidak wajar dilihat sebagai satu usaha sia-sia yang akan membantutkan perkembangan gerakan mahasiswa Islam.

    NGO sebagai antara kuasa pendesak kepada kerajaan telah lama wujud seawal pertengahan abad ke-19 lagi. Ia mempunyai peranan dan fungsi yang sangat besar jika benar-benar dimanfaatkan. Oleh sebab itu NGO bukan sekadar ditubuhkan di peringkat negara atau tempatan sahaja bahkan tersebar ke peringkat antarabangsa sesuai dengan apa yang terkandung dalam Artikel 71 PBB. Dianggarkan terdapat 400,000 NGO yang berfungsi di peringkat antarabangsa. Rusia mempunyai 277,000 NGO manakala India pula dikatakan mempunyai antara 1 atau 2 juta NGO.

    Sesebuah gerakan yang berjaya ialah gerakan yang bersifat dinamik, bijak mengambil peluang dan teliti dalam menganalisis persekitaran. GAMIS melihat sudah sampai masanya bagi gerakan ini bukan bergerak sebagai entiti mahasiswa Islam semata-mata seperti dahulu tetapi juga sebagai pertubuhan yang diakui kesahan dan 'kedaulatannya'. Dengan kaedah ini ia akan lebih mudah bergerak. Mempunyai kemampuan mempengaruhi dan membentuk suara masyarakat massa yang bukan sekadar tertumpu di peringkat kampus dan nasional bahkan boleh digerakkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

    Harakah sudah diluluskan untuk diterbitkan dua kali seminggu, begitu juga dengan kelulusan Suara Keadilan. Terbaru Parti Sosialis Malaysia diluluskan oleh kerajaan selepas sekian lama menunggu. Oleh itu GAMIS perlu menggunakan peluang kebebasan yang diberikan oleh kerajaan sekarang.

    Namun, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian sebelum ia benar-benar terdaftar sebagai NGO. Pimpinan GAMIS harus memastikan gerak kerja dan aktiviti yang dilaksanakan sebelum ini tidak terbantut. Dengan maksud, menjadi NGO adalah untuk memudah dan melicinkan gerak kerja bukannya membantutkannya. Jika usaha menNGOkan GAMIS ini merencatkan gerak kerja dan menghilangkan jati dirinya maka lebih baik ia kekal seperti sekarang.

    GAMIS perlu menjadi NGO luar biasa bukannya organisasi belia biasa seperti Gerakan Belia 4B. Bukan hanya terlalu menumpu kepada aspek agama seperti ABIM dan Majlis Belia Hindu Malaysia. Juga bukan hanya organisasi yang hanya memfokuskan pelajar seperti GPMS dan PKPIM. Ia perlu mengekalkan entiti yang ada sekarang tetapi dengan wajah yang baru. Sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam bersifat nasional yang mempunyai wadah yang dinamik. Yang pastinya jangan letakkan GAMIS di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM) sudahlah.

    Thursday, June 26, 2008

    EURO 2008: PAKATAN VS BN 7 + 0

    Perlawanan persahabatan diantara BN dan Pakatan telah masuk ke separuh masa yang kedua. Pada pusingan pertama, team Pakatan telah merembat 6 gol melalui penyerang utama Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dan penyerang kedua seorang bekas banduan, Lim Guan EngPada minit kedua puluh, Azizan Razak telah merembat gol yang ketiga, diikuti minit ke 25 pertahanan kanan Khalid Ibrahim menyumbang gol yang keempat.

    Sejarah tercipta, apabila penjaga gol Pakatan Rakyat Ir Nizar Jamaludin telah membuat sepakan kencang dari gol Pakatan terus ke gol BN. Penjaga gol BN Tajul Rosli tersungkur di belakang tiang gol apabila keliru dengan sepakan yang dibuat. Di hujung separuh akhir pertama, pertahanan kiri Pakatan Rakyat, Dr Lo Lo telah membuat rembatan keenam dengan dibantu rakan sepasukan, Nurul Izzah dan Wee Kah Cheong daripada team Pakatan.
    Setelah berehat selama beberapa bulan, perlawanan diteruskan separuh masa kedua. Berlaku sedikit perubahan apabila penyerang kanan Pakatan, Anwar Ibrahim telah dibenarkan beraksi semula dipadang setelah digantung dan dikurung selama enam tahun. Beliau memulakan perlawanan dengan memberi bola tanggung kepada rakan beliau Haji Abdul Hadi Awang. Abdul Hadi telah melontar bola ke kanan dan disambut oleh pemain veteran Lim Kit Siang. Bola dipulangkan kembali kepada Anwar dan Anwar terus merembat tepat ke gol BN. Namun penjaga gol baru BN Mohamamad Mohd Taib berjaya menangkap bola.Terdengar sorakan dari kelab penyokong pasukan BN yang diketuai menantu penyerang utamanya Khairi Brooks. Pasukan penyorak mereka telah boo pemain Pakatan kerana tidak berjaya menyumbang gol ketujuh.
    Pada minit kelima separuh masa kedua, sekali lagi penyerang kanan Pakatan membuat rembatan tepat ke galang gol BN. Namun sekali lagi Khairi Brooks dan ahli kelab penyokong BN menyorak Pakatan kerana bola telah melepasi gelanggang.Namun, pada minit kelapan belas, pertahanan kanan BN Dato Yong Teck Lee telah merembat bola masuk ke gol sendiri. Pemain yang berasal dari Sabah ini telah membuat sepakan protes apabila tidak berpuas hati dengan penyerang utama mereka Wak Lah Bodowi yang melantik menantunya Khairi Brooks sebagai pengurus pasukan yang baru. Tindakan Dato Yong Teck Lee ini telah menyumbang gol ketujuh percuma buat Pakatan Rakyat.Permainan terpaksa ditangguh sementara akibat pergolakan dalam pasukan BN. Pertahanan kiri BN, Ali Rustami telah menumbuk Dato Yong Teck Lee di tengah padang. Selain itu, pemain veteran BN, G Samy Vellu telah mencubit perut Yong. Pengurus pasukan yang baru Khairi Brooks juga telah menyepak curi belakang Yong.Namun setakat ini, tiada kecederaan berat yang dialami Dato Yong.
    Maklumat terkini mendapati, beberapa pegawai BPR telah diarahkan oleh penyerang Utama pasukan BN, Wak Lah Bodowi untuk memulas telinga Yong yang dikatakan khianat pada pasukan.Menurut pengulas bola sepak dunia, Ronaldo Hadhari, kejadian ini merupakan yang pertama di Malaysia. Ia mungkin terjadi disebabkan pasukan BN tidak pernah mengalami kekalahan sejak 50 tahun yang lalu.
    Pasukan BN terkenal dengan permainan kotor mereka apabila kerap menyepak kangkang dan menyengkang kaki lawan di tengah padang. Mereka juga sering merasuah pengadil lama T Rashitendam.Menurut Ronaldo Hadhari lagi, pasukan BN pernah membunuh 15 pemain muda Pakatan yang diketui oleh Ibrahim Libya yang sedang menjalani latihan padang di Memali Baling Kedah. Malah mereka pernah bertindak mengurung penyerang kanan Pakatan, Anwar Ibrahim selama enam tahun di sebuah kurungan di Sungai Buluh.Sekian berita utama dari Radio Kerinchi FM. Nantikan berita penting selepas ini. jangan lupa siaran langsung selepas ini Euro 08 Turki akan menentang Jerman.
    MOHD NASAIE AL-DIMASYQI
    KALAMKERINCHI.BLOGSPOT