Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Wednesday, September 5, 2007

    5 AGENDA PERJUANGAN PMIUM


    Kepimpinan PMIUM pada sesi kali ini memperkenalkan Lima Agenda Perjuangan yang perlu dihadami dan dilaksanakan oleh semua ahli PMIUM. Akan tetapi ramai yang bertanyakan kepada saya maksud di sebalik lima agenda tersebut kerana ia dilihat umum dan luas skopnya. Oleh itu di sini saya terangkan secara lebih khusus makna di sebalik 5 Agenda Perjuangan PMIUM untuk makluman semua. Semoga dengan terlaksana dan teraplikasinya agenda ini visi kita untuk Menerajui Kepimpinan Berteraskan Keunggulan Islam dapat dicapai.




    Kita Adalah Daie:


    PMIUM mensarankan setiap warga Muslim UM harus merasakan bahawa mereka adalah daie atau pendakwah yang berperanan menyebarkan Islam di kampus dengan pendekatan dan kaedah yang anjal. Setiap dari kita berperanan dan bertanggungjawab memperkenalkan Islam kepada non Muslim, memberi kefahaman Islam yang sebenar kepada warga kampus dan menghapuskan prejudis dan pandangan negatif warga kampus kepada Islam. Kita adalah daie yang mempunyai imej dan penampilan yang mampu memberi kesan kepada dakwah yang dibawa. Kita adalah pendakwah yang dapat menggambarkan diri kita sebagai orang yang pengasih dan penyayang kepada orang yang menjadi sasaran dakwah kita. Kita juga adalah pendakwah yang mengetahui dan memahami strategi terbaik dan berkesan dalam usaha dakwah yang dilaksanakan. Dakwah kita bukan setakat terhad kepada komunikasi lisan bahkan lebih luas dari itu. Ia merangkumi penulisan, contoh teladan, kegiatan, senyuman, salam dan pelbagai lagi. Dakwah Islam harus diarus perdanakan dan kita adalah penggerak kepada usaha itu.



    Akhlak Keutamaan Kami:


    Warga kampus yang berkualiti adalah warga yang mempunyai akhlak Islam yang luhur, berbudi pekerti mulia dan bersahsiah tinggi. Setiap dari kita wajib menjadikan Rasulullah SAW contoh ikutan terunggul sepanjang zaman, mengikuti jejak langkah baginda dan istiqamah dalam mengamalkan sunnah baginda. Akhlak yang kita amalkan adalah akhlak Islam yang bersumberkan cahaya wahyu bukannya teori falsafah etika dan moral ciptaan manusia Barat. Akhlak yang meletakkan keimanan dalam bentuk pegangan dan amalan serta menzahirkan dan merealisasikan keimanan tersebut dengan amalan dan tingkah laku sehingga melahirkan sifat, sikap dan rasa ihsan. Warga kampus UM harus menjadi warga yang berdisiplin dengan masa, berbaik sangka, menghormati mereka yang lebih tua, memandang tinggi para guru dan berhemah dalam perlakuan. Kita harus menjadikan senyum dan salam sebagai budaya. Bahkan kita harus menjadi ikutan dan qudwah kepada warga kampus yang lain, manifestasi dari ihsan yang dihayati. Akhlak adalah tunjang jati diri seorang Muslim oleh sebab itu akhlak adalah keutamaan kita.



    Budaya Ilmu Amalan Kami:


    PMIUM menyarankan agar warga kampus UM menjadi warga yang sangat mementingkan ilmu pengetahuan, warga yang membudayakan penghayatan ilmu dan mengutamakan kecemerlangan akademik. Budaya yang dimaksudkan di sini adalah budaya yang menjadikan ilmu sebagai kebaikan utama dan abadi. Pendidikan yang dipelajari harus menjurus kepada menjadikan kita seorang penganut yang taat, warga negara yang baik, serius dan ikhlas dalam mencapai tahap mas’uliah yang tinggi, benar-benar beradab, berakhlak dan berkepakaran tinggi sehingga mampu mencapai makam terpuji. Ilmu yang didapati harus benar-benar berkualiti bukan merugikan diri. Ilmu yang dipelajari harus ilmu yang mendekatkan diri dengan Allah SWT bukannya ilmu yang menjauhkan seseorang itu dari Allah. Kita harus bersahabat dengan buku, menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua dan menjadikan pensyarah sebagai pusat rujukan utama. Kesibukan berpersatuan bukan alasan untuk tidak cemerlang dalam akademik bahkan ia harus menjadi pemicu dan nilai tambah kepada kecemerlangan tersebut. Ilmu perlu dihargai sebagai sifat dan nilai yang utama. Setiap perancangan, keputusan, pernyataan dan dasar harus berdasarkan wibawa ilmu dan hikmah bukan berlandaskan agakan dan andaian.



    Ukhuwwah Tautan Kami:


    Setiap muslim itu adalah bersaudara dan persaudaraan itu hanya dapat didasari dengan matlamat mardhatillah. Oleh hal yang demikian, PMIUM menyarankan kepada semua mahasiswa Muslim untuk meletakkan konsep ukhuwwah ini sebagai konsep penting dalam kehidupan sehari-hari. Ukhuwwah atau persaudaraan dalam Islam ialah jalinan yang menghubungkan umat Islam dengan umat Islam yang lain. Ia adalah satu bentuk ikatan rabbani yang didasari dengan ketaatan kepada Allah SWT, mengikat hati-hati sesama Muslim dan jalinan yang mendekatkan diri Muslim kepada Allah SWT. Kita perlu memahami bahawa persaudaraan dan ukhuwwah adalah satu tonggak yang menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang kukuh. Ukhuwwah yang terjalin haruslah ukhuwwah yang membawa ketaatan kepada Allah SWT, ukhuwwah yang membawa rasa kebersamaan dari sudut kejiwaan sesama Muslim. Ukhuwwah juga bererti kemesraan, rasa kasih sayang, baik sangka dan saling bantu membantu. Antara syarat-syarat ukhuwwah yang disabdakan oleh Rasulullah dan harus dipenuhi oleh setiap Muslim ialah: Tidak saling dengki mendengki, tidak saling menipu, tidak saling membenci, tidak saling memutuskan hubungan silaturrahim dan tidak mengkhianati perjanjian sesama Muslim.



    Jihad Jalan Kami:


    Definisi jihad yang dimaksudkan di sini bukan setakat jihad di medan perang. Bukan juga jihad yang khusus mengangkat senjata dan bertempur di medan juang. Amalan jihad merangkumi maksud yang luas dan pelbagai. Jihad kita adalah jihad yang sesuai dengan kapasiti kita selaku mahasiswa. Menuntut ilmu dan menyumbangkan buah fikiran juga dinamakan jihad. Dengan syarat ia ikhlas semata-mata untuk Allah SWT. Ilmu yang dipelajari harus memberi manfaat bukannya membawa binasa. Sila rujuk al-Taubah:122. Amar ma’ruf nahi mungkar juga adalah jihad. Iaitu jihad menentang kezaliman, kemungkaran dan membawa umat Islam kepada faham Islam yang sebenar. Kelemahan umat Islam hari ini ekoran sikap kita yang tidak prihatin dan membiarkan saudara kita terus dalam kemaksiatan dan kesesatan. Mengorbankan wang ringgit dan harta benda untuk menegakkan syiar Islam juga adalah jihad. Melawan hawa nafsu juga tergolong di dalam jihad. Melaluinya seluruh tenaga disalurkan menuruti jalan dan manhaj yang telah digariskan oleh Allah SWT. Hasilnya diri akan tunduk dan patuh untuk beramal, menyebarkan dakwah Islamiah dengan berkesan serta sabar di atas segala ujian dan cabaran yang diterima. Konsep jihad yang telah diutarakan di atas menuntut kepada usaha yang berpanjangan dan difahami oleh semua. Oleh sebab itu jihad perlu dijadikan jalan, wadah dan matlamat kita.


    No comments: