Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Thursday, September 20, 2007

    BAJET 2008 - AGENDA PEMBANGUNAN PENDIDIKAN NEGARA


    Bajet 2008 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada 7 September lalu dilihat suatu usaha mapan dalam melahirkan masyarakat yang berpendidikan sekaligus ke arah membentuk masyarakat minda kelas pertama. Beberapa peruntukan khas untuk pembangunan pendidikan Negara dilihat amat wajar berdasarkan unjuran hasil kerajaan persekutuan yang dianggarkan meningkat sebanyak 14.8 peratus kepada 141.79 bilion pada tahun ini berbanding RM 123.55 bilion pada tahun lalu.Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Kewangan dalam bajetnya membentangkan usaha memansuhkan yuran pendidikan bagi sekolah rendah dan menengah, disamping pemansuhan yuran peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta perlaksanaan skim pinjaman buku teks yang melibatkan 5.7 juta pelajar seluruh Negara bermula sesi persekolahan 2008 memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan pendidikan dalam Negara sekaligus memastikan tiada kelompok masyarakat yang ketinggalan daripada menguasai ilmu pengetahuan.


    Hal ini sejajar dengan matlamat pembangunan Negara yang memfokuskan kepada agenda pembangunan insan yang termasuk dalam kerangka Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).Kelompok terpelajar di kalangan mahasiswa seluruh Negara turut merasai “belaian kasih sayang” yang dipamerkan dalam bajet kali ini. Peningkatan peruntukan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 10 000 mahasiswa bermula tahun 2008 berbanding 5000 pada tahun lepas merupakan inisiatif kerajaan dalam memberikan lebih banyak peluang kepada mahasiswa yang mempunyai potensi dalam bidang akademik. Hal ini perlu disambut baik oleh mahasiswa memandangkan ramai di kalangan masyarakat Negara ini yang mempunyai potensi akademik tercicir disebabkan masalah kewangan yang dihadapi keluarga. Peningkatan kadar elaun biasiswa sara hidup antara 23 peratus dan 84 peratus juga dilihat begitu optimis bagi mengatasi kondisi kelompok mahasiswa hari ini yang begitu terhimpit dengan kenaikan yuran pengajian dan yuran kolej kediaman sehingga menyebabkan peningkatan masalah sosial samada di dalam atau luar kampus.


    Skim “pembelajaran percuma” yang diunjurkan kerajaan di peringkat rendah dan menengah dalam bajet kali ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh ibu bapa dan institusi pendidikan seluruh negara. Sejumlah 3.51 bilion diperuntukkan khusus untuk pembangunan pendidikan rendah dan menengah yang melibatkan perlaksanaan 668 projek sekolah rendah dan 262 projek sekolah menengah. Kesungguhan kerajaan dalam memperbanyakkan institusi pendidikan ini sesuai dengan jumlah kemasukan pelajar yang semakin meningkat saban tahun. Walau bagaimanapun, usaha meningkatkan tahap pendidikan Negara bukan sahaja perlu dilihat dari aspek pembangunan material dan kemudahan semata-semata. Tokoh-tokoh akademik Negara seperti Profesor Emeritus Dato’ Dr. Khoo Kay Kim acapkali mempertikai kredibiliti serta keberkesanan sisitem pendidikan Negara yang diamalkan hari ini. Usaha memperkasakan pembangunan modal insan, intelektualiti serta kemahiran-kemahiran tertentu perlu dijadikan agenda utama melalui pengkajian dan penyelarasan semula sistem pendidikan Negara.


    Pengkajian semula sistem ini seharusnya diberi peruntukan serta fokus yang lebih bagi memastikan usaha melahirkan golongan intelektual dan akademik Negara lebih terarah dan mendasar. Sejauh mana keberkesanan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi (PTPT) yang dilancarkan Ogos lepas perlu diamati secara kritikal dan pindaan kecil seharusnya dilakukan segera seandainya ia kurang memberi kesan terhadap usaha pemerkasaan pembangunan pendidikan dan modal insan seperti yang dirangka dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).


    Mohammad Fauzan Bin Maaruf.

    Bendahari Agung Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

    Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Malaya.

    No comments: