Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd Rafi Ameer, pelatih Program Latihan Khidmat Negara yang meninggal dunia akibat penyakit demam kuning semasa menjalani latihan di Kem Latihan Cheneh Cemerlang, Kemaman. Kes kematian pelatih PLKN ini menjadikan seramai 13 orang pelatih meninggal dunia sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2004. Walaupun kes ini masih dalam siasatan, isu-isu seperti ini dilihat boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan ibu bapa dan masyarakat kepada Program Latihan Khidmat Negara. Oleh sebab itu, siasatan secara serius dan menyeluruh perlu dilakukan dengan seberapa segera bagi memastikan kes ini ditangani dengan baik dan bijaksana. Tambahan pula apa yang mengejutkan, pihak keluarga Mohd Rafi Ameer mendakwa bahawa kematiannya adalah disebabkan kecuaian pihak pengurusan kem yang membiarkan beliau tanpa rawatan selama seminggu. Jika benarlah dakwaan tersebut maka pihak kerajaan harus mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak kembali berulang. Beberapa kes kematian telah berlaku sebelum ini seperti yang terjadi di Kem Padang Hijau akibat dipukul, Kem PDS Pasir Panjang akibat sesak nafas, Kem Kisana Beach Resort kerana tergelincir dan di Sarawak dan Kelantan kerana lemas.
Oleh itu beberapa pelan tindakan segera perlu dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab bagi menangani permasalahan besar ini. Antara yang perlu dilaksanakan seberapa segera adalah dengan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes-kes kematian seperti ini seterusnya ia diadili dengan adil dan saksama. Isu-isu seperti ini termasuk pendakwaan yang dilakukan perlu didedahkan kepada masyarakat umum. Aspek kebajikan dan keselamatan pula perlu menjadi prioriti utama oleh pihak pengurusan kem bagi memastikan kebajikan pelatih terjaga dan keselamatan mereka terjamin. Mutu keselamatan setiap kem perlu dipertingkatkan dan pihak Jabatan Latihan Khidmat Negara perlu mempunyai spesifikasi dan tanda aras tertentu dalam pemilihan setiap kem. Selain itu pemilihan jurulatih yang benar-benar terlatih, berkepakaran dan bertanggungjawab perlu diutamakan bagi memastikan urus tadbir dan penyeliaan kem dan pelatih terjaga. Oleh hal yang demikian, aspek kualiti dalam setiap sudut perlu dilihat secara bijaksana oleh pihak bertanggungjawab bagi menangani segala permasalahan ini. Ini termasuklah kem yang berkualiti dari sudut keselamatan dan kebajikannya, jurulatih yang berkualiti dari sudut kepakarannya, modul yang berkualiti yang mampu memberi manfaat kepada pelatih dan pemantauan berkualiti yang perlu dibuat secara berkala dan menyeluruh. Pengurusan kem yang tidak mencapai tanda aras yang telah ditetapkan dan jurulatih yang tidak memenuhi kriteria yang diberikan perlu dikeluarkan dari senarai kem PLKN.
Kita tidak boleh terus-menerus merancang dan berusaha menutupi kesalahan dan kesilapan-kesilapan terdahulu. Satu anjakan paradigma perlu dibuat bagi memastikan Program Latihan Khidmat Negara ini dikawal selia dengan baik dan berkualiti. Sememangnya perlu diakui tanggungjawab merancang, membentuk dan melaksanakan proram ini bukan suatu perkara yang mudah. Oleh sebab itu tugas ini harus dipikul oleh mereka yang sebenarnya berwibawa, amanah, ikhlas dan bersungguh-sungguh. Persoalan ajal maut merupakan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Tuhan, namun kita harus sedaya upaya dengan segala kapasiti dan ruang yang ada untuk menyediakan fasiliti yang selamat, selesa dan terjamin kepada para pelatih sesuai dengan perbelanjaan yang dikeluarkan. Melalui usaha inilah teras kedua misi nasional untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara melalui pemerkasaan belia dan wanita dapat terialisasi serta tercapai seperti yang dirancang.
MOHD KHAIRUL NAIM BIN CHE NORDIN
SETIAUSAHA AGUNG PMIUM
No comments:
Post a Comment