Berdasarkan Perlembagaan Universiti Malaya berkaitan Majlis Perwakilan Mahasiswa kurungan sepuluh (10), tujuan dan fungsi persatuan ialah untuk memupuk semangat hidup sebagai suatu persatuan di kalangan pelajar-pelajar Universiti; tertakluk kepada arahan Naib Canselor untuk merancang dan menyelia kemudahan-kemudahan rekreasi, aktiviti-aktiviti kerohanian dan keagamaan, dan bekalan makanan dan minuman; untuk membuat represantasi kepada Naib Canselor tentang segala perkara berhubungan atau berkenaan dengan keadaan tempat tinggal dan kehidupan pelajar-pelajar Universiti; untuk diwakili dalam mana-mana badan yang boleh, mengikut kaedah-kaedah yang dibuat oleh Lembaga bagi maksud itu, dilantik untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan pelajar di Universiti; dan untuk menjalankan apa-apa aktiviti lain yang ditentukan oleh Lembaga dari semasa ke semasa. Secara ringkas dan mudahnya tujuan MPMUM ialah memupuk kebajikan am badan mahasiswa, memajukan kegiatan sosial, kebudayaan dan mengadakan hubungan rasmi dengan badan lain. Ia adalah badan pelajar yang diberikan kuasa untuk mewakili mahasiswa dalam semua perkara yang menyentuh kepentingan mahasiswa dan diakui sebagai suara rasmi pelajar oleh pihak Universiti Malaya.
Berdasarkan tujuan dan fungsi yang telah ditetapkan ini MPMUM selaku sebuah persatuan induk yang memimpin mahasiswa kampus mempunyai fungsi dan peranan yang sangat besar dalam merealisasi dan melaksanakan tugas dan peranan tersebut. MPMUM atau dahulunya dipanggil PMUM (Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya) dan sebelumnya dipanggil UMSU (University of Malaya Student Union) ketika ditubuhkan pada tahun 1958 merupakan pengasas kepada pergerakan mahasiswa di negara ini. Ia mempunyai kedudukan yang istimewa di mata masyarakat kampus dengan mendominasi dan mengetuai pergerakan serta perjuangan mahasiswa negara selama empat dekad. Akan tetapi peranan dan fungsi yang sepatutnya disambung dan dimainkan oleh MPMUM ini gagal dilaksanakan khususnya selepas pihak yang menggelarkan diri mereka Aspirasi memegang tampuk kepimpinan MPMUM selepas isu pemboikotan oleh Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya pada tahun 2004.
Kepimpinan MPMUM pada sesi-sesi seterusnya terus lena dibuai mimpi sehingga menyebabkan gerakan mahasiswa yang sebelum ini digerakkan oleh MPMUM dilihat sepi dan kebajikan mahasiswa yang sepatutnya dijaga terabai. Segala gerak kerja dan program yang dilaksanakan dicorakkan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar manakala pimpinan hanya menjadi pelaksana semata-mata. Mereka tidak kreatif dan kritis untuk berfikir mengenai apakah tanggungjawab dan peranan yang sepatutnya mereka laksanakan selaku pemimpin mahasiswa dan hanya menjadi tukang angguk, tunduk dan patuh kepada apa sahaja kehendak pihak atasan. Manifesto yang dilaungkan semasa kempen hanya retorik semata-mata. Selidik dan tinjau kembali manifesto yang mereka bentangkan dan bandingkan dengan apa yang telah mereka laksanakan dalam satu sesi kepimpinan mereka, anda akan mendapat jawapannya.
Salah satu aspek penting yang perlu diperjuangkan oleh MPMUM sesuai dengan peranan yang telah ditetapkan di dalam perlembagaan Universiti adalah berkaitan dengan soal kebajikan mahasiswa. Jika dilihat saban tahun isu kebajikan mahasiswa ini semakin terabai dan MPMUM selaku wakil rasmi mahasiswa langsung tidak berbuat apa-apa bagi menyelesaikannya. Isu penginapan mahasiswa di kolej kediaman merupakan isu yang telah lama dibangkitkan oleh beberapa kelompok mahasiswa yang prihatin tetapi ia dipandang sepi oleh MPMUM. Mereka yang menginap di Kolej Kediaman Kesembilan dan Kesepuluh sebagai contoh tinggal dalam keadaan tidak selesa dan sempit kerana kuota penginapan dalam satu-satu bilik melebihi jumlah yang telah ditetapkan. Adakah MPMUM telah mengadakan pertemuan dengan pihak pengetua bagi membincangkan permasalahan ini? Dan adakah mereka melaporkan masalah ketidakselesaan mahasiswa ini kepada pihak Timbalan Naib Canselor HEP atau Naib Canselor sendiri? Apakah sudah diadakan satu kajian dan survey khusus bagi mengkaji sejauh mana penghuni kolej selesa dengan kolej yang mereka diami atau terpaksa menghuni di sana kerana tiada tempat tinggal yang lain? Bagaimana pula dengan mahasiswa yang dibuang kolej kerana dikatakan menentang kehendak mereka? Ada yang sudah terpaksa meninggalkan kolej kediaman walaupun baru sahaja menginap dalam satu semester. MPMUM selaku badan yang memimpin golongan cerdik pandai sepatutnya membantu menyelesaikan masalah ini dengan seadilnya tanpa pilih kasih. Semua ini perlu dilaksanakan oleh pihak MPMUM bermula dari pengenalpastian punca masalah sehinggalah memastikan segala permasalahan ini selesai.
Selain itu, isu yuran kolej yang dikatakan agak tinggi juga diabaikan oleh pihak MPMUM. Mahasiswa yang dibebankan dengan hutang PTPTN dan kadar bunga tiga persen yang dicajkan kepada mereka juga tambah terbeban dengan kos yang terpaksa ditampung. Apakah mereka menerima segala aduan ini dan jika ya apakah jalan penyelesaiannya? Setakat ini pihak yang berperanan aktif dalam memperjuangkan isu ini ialah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Mereka telah menghantar memorandum kepada Timbalan Naib Canselor HEP dan mengadakan pertemuan bersama beliau, mengadakan sesi perbincangan bersama Naib Canselor dan memanjangkan isu ini kepada pihak Bendahari UM. Surat juga dihantar kepada tiga belas pengetua kolej kediaman yang mendesak supaya yuran kolej diturunkan. Soal berjaya ataupun tidak adalah soal kedua, usaha yang perlu diutamakan. Kita belum melihat segala gerak kerja ini dilaksanakan oleh pihak MPMUM yang sepatutnya melaksanakan segala gerak kerja ini sejak dari awal kepimpinan mereka. Satu perkara yang perlu difahami oleh pihak MPMUM bahawa mereka bukan setakat persatuan yang menganjurkan program semata-mata tetapi mempunyai tugas dan peranan yang lebih besar. Penganjuran program merupakan kegiatan kedua selepasmana segala isu kebajikan ini ditangani dan dikendalikan secara bijaksana dan bersistematik. Mahasiswa mengundi mereka bukan untuk menghadiri program yang diajurkan tetapi agar soal kebajikan mereka terjamin.
Pihak MPMUM dalam tiga tahun kebelakangan ini juga dilihat sama sekali gagal dalam memperjuangkan nasib dan soal kebajikan mahasiswa luar kampus. Mereka gagal untuk menggerakkan PUSPITA walhal hampir separuh dari jumlah mahasiswa UM tinggal di luar kampus. Jika ada gerak kerja yang dilakukan sekalipun hanyalah dengan membuka aduan masalah tanpa ada penyelesaiannya. Mereka yang berada di luar kampus sebenarnya berhadapan dengan pelbagai masalah yang perlu dihadapi. Pengangkutan merupakan masalah utama terutamanya kepada mahasiswi. Mereka juga berhadapan dengan ancaman bahaya bila-bila masa khususnya bagi yang tinggal di kawasan hitam seperti di Pantai Dalam. Isu penipuan rumah sewa, kos sewa yang tinggi, kecurian motorsikal dan menginap beramai-ramai dalam satu rumah adalah antara masalah yang dihadapi. Persoalan di sini adalah sejauhmana sumbangan yang mereka lakukan bagi menangani permasalahan ini? Memang diakui bukan mudah untuk menyelesaikan segala perkara namun biarlah ada satu isu yang ditangani. Namun sehingga kini ia tinggal sepi, sesepi PUSPITA yang terkubur. Mujurlah Naib Canselor sedar tentang kebajikan mahasiswa luar kampus ini. Hasilnya beliau akan melantik seorang pengetua bagi mahasiswa luar kampus seperti mana pengetua di kolej-kolej kediaman. Kita tunggu sahaja apakah peranan dan tugas yang boleh dimainkan oleh pengetua tersebut selepas MPMUM gagal memainkan peranannya.
Gejala sosial merupakan penyakit yang kian membarah di kalangan mahasiswa. Penyakit inilah yang dilihat memundurkan daya intelek mahasiswa, membuahkan kesan hedonisme dan menjatuhkan maruah mahasiswa selaku golongan cerdik pandai dalam masyarakat. Battle of the Band, pertandingan nyanyian dan tarian, pertandingan cheers semasa minggu haluan siswa dan stupid debate adalah antara kegiatan yang dianjurkan setiap tahun dengan restu MPMUM. Program-program ini jika dilihat secara wajar dan rasionalnya langsung tidak sesuai dengan jatidiri mahasiswa universiti, tidak melambangkan keintelektualan serta tradisi kecemerlangan Universiti Malaya. Melalak dan melaung sepanjang malam diselangi dengan sorakan penonton adalah antara suasana biasa apabila program hiburan seperti Battle of The Band dianjurkan. Dalam Haluan Siswa pula mahasiswa tahun pertama dipaksa menari, melompat dan terkinja-kinja sehingga ke pukul tiga pagi sehingga melupakan mereka kepada waktu solat. TNC HEP dalam pertemuan dengan PMIUM mengakui bahawa program MHS yang dianjurkan ini tidak memasukkan waktu solat dalam jadual mereka. Bagaimanakah MPMUM boleh bersetuju dengan program sebegini? Isu stupid debate yang dianjurkan semasa Minggu Interaksi juga memaparkan betapa rendahnya nilai pemikiran mahasiswa. Perkara yang dibincangkan berbaur lucah, sembang kosong dan membuang masa tanpa ada sebarang manfaat sekalipun. Dan sekali lagi MPMUM masih berdiam diri walaupun segala aktiviti ini dikecam oleh masyarakat dan mendapat liputan meluas media. Pihak MPMUM selaku badan mahasiswa yang berautoriti sepatutnya membantah program dan kegiatan sebegini bukan turut sama menyertainya.
Pernahkah mereka membentangkan cadangan mengenai peraturan moral (moral code) kepada pihak pentadbiran universiti bagi menangani kepincangan moral yang berlaku? Mahasiswa kini tanpa segan silu berkelakuan sumbang, berpakaian menjolok mata, mengamalkan seks bebas, terlibat dengan kegiatan tidak bermoral dan banyak lagi. Adakah terdapat inisiatif di peringkat mereka bagi menangani segala punca kepada gejala sosial ini? Semua ini perlu dijawab secara jujur oleh barisan kepimpinan MPMUM tajaan Aspirasi.
Pihak MPMUM seharusnya juga berperanan penting memberi kesedaran kepada mahasiswa melalui program dan kegiatan bercorak akademik, ilmiah serta mampu merangsang minda mahasiswa. Kesedaran yang dicetuskan ini pula adalah luas seluas peranan mahasiswa itu sendiri. Kesedaran keagamaan, kesedaran politik dan hal ehwal semasa dan kesedaran kepada hak dan kebajikan mereka perlu diperjelas dan diperjuangkan. MPMUM sepatutnya menganjurkan program-program seperti forum agama, ceramah umum, bicara politik, sudut pidato dan debat ilimiah bukannya menganjurkan aktiviti-aktiviti hiburan yang melalaikan. Mereka juga sepatutnya menjadi jurubicara mahasiswa dalam memberi respons secara aktif dalam isu-isu yang berlaku sama ada di peringkat nasional mahupun anatarabangsa. Kita belum nampak apakah pendirian MPMUM terhadap beberapa isu yang berlaku di dalam dan luar negara. Mereka sangat pasif dan tidak mampu mengeluarkan pandangan dan pendirian sendiri. Segala apa yang dilakukan oleh kerajaan walaupun negatif diterima tanpa menganalisa dan menyelidikinya secara mendalam dan terperinci. MPMUM seharusnya mewakili mahasiswa UM dan duduk di barisan paling hadapan dalam menyuarakan pandangan dan pendapat ke atas sesuatu isu. Mereka sepatutnya menjadi orang yang paling hadapan keluar membela umat Islam, memberi respon bermanfaat bagi menjayakan pelan pendidikan IPT, melakukan desakan dan rundingan secara berkala bagi menyelesaikan masalah PTPTN dan sama-sama membantu kerajaan memberi idea dan pandangan bagi membangunkan negara. Namun apa yang dilihat mereka sama seperti mahasiswa lain yang langsung tidak mahu mengambil kisah tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Apa yang perlu difahami ialah ruang lingkup kegiatan MPMUM tidak hanya terbatas kepada persoalan di dalam kampus semata-mata tetapi perlu menjangkaui kepada soal politik, ekonomi dan kebajikan rakyat di negara ini. Merekalah seharusnya memimpin arus gerakan mahasiswa, berani mencabar, bijak berunding dan aktif menyuarakan pendapat dan pandangan dalam sesuatu isu dan perkara. Akan tetapi hal yang sebaliknya berlaku. MPMUM untuk sesi kali ini dilihat jelas sangat lemah. Cuba hitungkan berapa ramaikah exco MPMUM yang benar-benar bekerja dan memberi komitmen yang sepatutnya? Berapa ramaikah di kalangan exco MPMUM yang melaksanakan bidang tugas dan portfolio mereka? Dan apakah visi dan misi yang mereka gariskan berada pada landasan matlamat yang betul atau ia hanya satu peribahasa untuk mencantikkan poster? Lihat sahaja keadaan yang berlaku di sekretariat MPMUM. Ia langsung tidak terurus dan diselia dengan baik. Lif yang ada rosak sedangkan kos pembinaannya memakan belanja yang tinggi, meja banyak terbiar, kotor dan berhabuk, siling berlubang-lubang serta banyak lagi kerosakan yang dikesan. Mereka sebenarnya hanya perlu melaporkan tentang keadaan tersebut dan membuat beberapa desakan berhubung permasalahan ini tetapi ia dibiarkan sehingga sekretariat tidak ubah seperti sebuah rumah usang yang ditinggalkan.
Sebagai kesimpulannya, sepanjang tiga tahun Aspirasi memegang tampuk MPMUM mereka dilihat gagal dalam memainkan peranan selaku wakil kepada mahasiswa di kampus. Mereka gagal memimpin mahasiswa, mengabaikan soal kebajikan dan tidak mampu melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan. Mereka juga gagal berperanan dalam membangunkan proses pembinaan bangsa, memberi sarana yang bernas kepada kerajaan dan menjadi suara ketiga kepada masyarakat. Oleh hal yang demikian, mahasiswa perlu kembali bangkit memilih mahasiswa yang benar-benar mampu berperanan dalam Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya. Mahasiswa harus bijak membezakan perkara-perkara yang telah dijelaskan di atas walaupun ia diterangkan secara umum. Ini kerana isu-isu yang dijelaskan adalah bersifat selektif daripada sekian banyak isu yang berlaku di kampus. Pihak pentadbiran dan mahasiswa perlu melihat pilihanraya kampus sebagai sangat penting dalam memilih kepimpinan yang berkualiti. Ini kerana MPMUM dilihat antara wadah utama untuk melahirkan secara berterusan individu yang berkecekapan dan berkemahiran tinggi yang dilengkapi dengan kualiti kepemimpinan dan kemahiran antara perorangan yang baik seperti yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbiran.
[ANGKATAN MAHASISWA SEDAR UM]
No comments:
Post a Comment