Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Sunday, September 2, 2007

    WIRA-WIRA KEMERDEKAAN YANG TIDAK DIDENDANG

    Belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan untuk kali yang ke-50 kepada semua penduduk Malaysia. Apabila membincangkan mengenai kemerdekaan sudah tentu kita tidak dapat memisahkannya dengan pejuang-pejuang terdahulu yang telah membasahi bumi Malaysia ini dengan keringat dan darah bagi memerdekakan tanah air tercinta. Mungkin dilihat perbincangan ini agak terlambat untuk dihidangkan namun apabila dilihat bahawa kita masih lagi di bulan sambutan kemerdekaan di samping perbincangan berkaitan soal kemerdekaan ini bukan terskop dalam bulan Ogos semata-mata, maka saya kira tajuk ini masih relevan untuk diperdebatkan. Bahkan ia harus diperdebat dan dibincangkan secara terus-menerus sehingga matlamat dan tujuannya tercapai seperti yang dikehendaki.
    Saya sempat mengikuti satu forum ilmiah yang dianjurkan oleh PMIUM dengan kerjasama Jabatan Sejarah pada 28 Ogos yang lepas di Fakulti Sastera & Sains Sosial. Sesuai dengan pendekatan PMIUM pada sesi kali ini untuk mendekatkan mahasiswa kepada dunia keilmuan dan perbincangan ilmiah, kami telah menghidangkan sebanyak enam program ilmiah di bulan kemerdekaan ini sahaja. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada pengarah dan jawatankuasa atas penganjuran yang amat ilmiah dan penuh dengan hujah akademik ini. Forum ini dibarisi tokoh sejarah dan sains politik terkenal tanah air Prof. Dr Mohammad Redzuan Osman, Timbalan Dekan FSSS yang juga mantan Presiden PMIUM tahun 1979-1980 dan Prof. Dr Abdullah Zakaria Ghazali pensyarah Jabatan Sejarah, FSSS.
    Pembentangan oleh kedua-dua panel ini memberi pendedahan bahawa masih wujud ramai lagi pejuang-pejuang kemerdekaan yang memperjuangkan kemerdekaan tetapi cuba dipadamkan dari lipatan sejarah. Saya tidak mahu menimbulkan polemik di sini tetapi saya melihat ia perlu dipandang secara serius oleh semua pihak. Generasi kini sudah mula buta tentang pejuang-pejuang tanah air khususnya golongan ulama’ dan golongan kiri dan saya bimbang nama mereka akan terus padam kerana tidak diwar-warkan seperti pejuang-pejuang yang lain. Nama-nama seperti Syed Sheikh al-Hadi, Ishak Hj Mohammad, Dr. Burhanuddin al-Hilmi, Ibrahim Hj Yaacob, Prof Zulkifli Muhammad, Ahmad Boestamam, Ust Hj Abu Bakar al-Baqir dan lain-lain amat jarang diperkenalkan sebagai pejuang tulen tanah air setanding dengan sumbangan yang mereka lakukan. Jika diimbau puluhan tahun sebelum kemerdekaan, semangat untuk membebaskan tanah air dari penjajah telah lama dicetuskan khususnya oleh golongan ulama’ dan mereka yang berpendidikan dari Timur Tengah. Bahkan, antara faktor penting perubahan perjuangan dari penentangan bersenjata kepada aspek keilmuan adalah disebabkan perkembangan pendidikan khususnya dicetuskan oleh mereka yang mengaji di Timur Tengah.
    Merekalah yang mempelopori penerbitan akhbar seperti al-Imam, Seruan Azhar, al-Ijtihad dan Pilehan Timoer seterusnya membangkitkan kesedaran kepada orang Melayu mengenai erti kemerdekaan. Golongan ulama’ juga menubuhkan madrasah seperti Madrasah Iqbal, Madarasah Diniyyah dan Ma’ahad Ihya’ as-Syariff lalu menjadi pusat gerakan kebangsaan menentang penjajahan. Laungan kemerdekaan juga bergema di sana ketika mana parti dan pertubuhan lain masih membincangkan dan melaungkan slogan “hidup Melayu”. Mereka jugalah yang menentang Bintang Tiga bermati-matian khususnya dalam isu pembunuhan beramai-ramai masyarakat Melayu di Bekor, Perak. Apa yang menyedihkan peristiwa hitam ini dipadamkan dari rekod sejarah tanpa diketahui sebab musababnya. Golongan ulama’ dan golongan kiri juga bangun menentang Malayan Union dengan menubuhkan pertubuhan-pertubuhan seperti Badan Belia Malaya, Kesatuan Melayu Muda, Persaudaraan Sahabat Pena, Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjuang (KRIS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Aspek penting yang perlu difokuskan ialah kenyataan kedua-dua panel bahawa rantau Nusantara akan menjadi sebuah negara besar jika Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei digabungkan. Akan tetapi Perjanjian London 1824 telah memecahkan rantau ini. KMM cuba untuk memperjuangkan Kesatuan Melayu Raya iaitu penggabungan seperti yang telah dijelaskan namun usaha mereka menemui kegagalan.

    Prof. Dr Mohammad Redzuan dalam pembentangannya menyebut peranan ulama’ dan golongan kiri dalam perjuangan menuntut kemerdekaan ini diketepikan dan tidak diperbesarkan sebagaimana perjuangan golongan nasionalis. Ini kerana menurutnya golongan yang menang akan mencipta sejarahnya sendiri. Satu kemungkinan penting yang perlu diteliti ialah pengisytiharan darurat yang dilaksanakan oleh British pada tahun 1948 bukanlah kerana ancaman komunis akan tetapi kerana tertubuhnya Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol pada tahun tersebut. Selepas tiga bulan ditubuhkan Hizbul Muslimin diharamkan kerana British melihat ancaman yang boleh diberikan oleh golongan yang berjuang atas nama Islam.

    Saya agak terkejut apabila melihat sambutan kemerdekaan raksasa yang diadakan di Dataran Merdeka pada pagi 31 Ogos dan Stadium Merdeka pada malamnya tidak ubah seperti sambutan perayaan sebuah parti. Secara hakikatnya saya tidak mahu membincangkan soal politik di sini dan sememangnya ia tidak ada kena mengena dengan politik tetapi apabila melihatkan apa yang berlaku hal ini perlu dikupas dan dibincangkan. Sambutan kemerdekaan adalah untuk semua dan kita patut meraikan mereka yang memperjuangkan tanah air tanpa membezakannya antara satu sama lain. Syabas saya ucapkan kepada kerajaan khususnya Dr Rais Yatim atas keberjayaan sambutan ini namun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki seperti yang telah dijelaskan. Suara mahasiswa selaku suara ketiga iaitu suara yang tidak berpihak kepada mana-mana samada kerajaan atau pembangkang perlu dilihat.

    Apa yang pasti saya bukan tidak memperakui pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain. Dato’ Onn Jaafar sangat berperanan penting menyatukan masyarakat Melayu melalui penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBA manakala Tunku Abdul Rahman dengan kebijaksanaan rundingannya membolehkan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Tun Abdul Razak bijak membangunkan negara dengan beberapa perancangannya yang kini memberi manfaat besar kepada ekonomi negara. Begitu juga dengan Tun Hussin Onn berjaya menyatukan warga Malaysia pasca 13 Mei dan Tun Dr Mahathir yang berhasil memodenkan Malaysia. Namun, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menegnepikan nama pejuang-pejuang yang lain. Mereka juga harus dikenang sesuai dengan pengorbanan yang telah dilakukan. Perjuangan membebaskan tanah air ini bukan hanya berlangsung ketika hampirnya kemerdekaan tetapi lebih lama dari itu. Golongan yang memperjuangkan kemerdekaan pula adalah pelbagai. Golongan ulama’ dan cendiakawan Islam dilihat antara berperanan penting dalam perjuangan ini. Apa yang pasti rekod sejarah perlu dikemaskini semula serta diperbaiki secara adil dan saksama. Jika sebelum ini pihak berwajib memperbetulkan fakta sejarah khususnya dalam buku-buku teks yang sebelum ini menganggap British bukanlah penjajah dan digambarkan golongan yang baik-baik, maka sudah sampai masanya hal berkaitan huraian di atas diletakkan di tempat yang sepatutnya. Sejarah tidak boleh mengenepikan golongan ini dalam menuntut kemerdekaan. Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50.

    No comments: