Twitter Updates
Wednesday, March 5, 2008
“1. PRU adalah waktu pengundi dan parti-parti politik menandatangani kontrak lima tahun. Pengundi beri undi, parti-parti beri janji;
2. Parti yang menang tubuh kerajaan. Kerajaan itu terhutang budi (beholden) kepada pengundi/rakyat. Bukan sebaliknya;
3. Atas (dasar) kontrak itu, rakyat bayar bermacam cukai, hasil, tarif dan tol kepada kerajaan. Rakyat jelata juga menanggung hutang yang diambil oleh kerajaan. Sekali lagi kerajaan terhutang budi dan beholden kepada rakyat. Bukan rakyat terhutang budi atau beholden kepada rakyat (sic) (kerajaan?);
4. Kerajaan pungut cukai, hasil, tarif dan tol. Kerajaan belanja untuk dirinya -- macam belanja lebih MR16 juta untuk renovate Seri Perdana oleh Pak Lah dan Endon/Jeanne -- bayar gaji menteri dan kakitangan awam. Bayar hutang negara;
5. Untuk pembangunan kerajaan berhutang dari dalam dan luar negeri. Rakyat yang tanggung hutang itu generasi demi generasi;
6. Subsidi dan bantuan bukan dari duit kerajaan. Ia dari cukai, hasil, tarif dan tol yang rakyat bayar;
7. Subsidi/bantuan tanam semula getah dan kepada sawit datang dari cukai cess getah dan minyak kelapa sawit;
8. Subsidi padi datang dari pengguna yang beli beras. Kerajaan beri francais kepada Bernas. Bernas import beras mutu tinggi yang murah dari luar negeri dan campur dengan beras mutu rendah yang mahal dari dalam negeri.Bernas campur kedua-dua beras ini dan jual pada harga yang lebih tinggi dari harga di pasaran dunia. Bernas ambil sikit untung dan bagi bakinya kepada kerajaan untuk diagihkan kepada penanam padi. Jadi yang bagi subsidi padi bukan kerajaan tapi kita yang makan nasi;
9. Jadi yang kita mahu adalah kerajaan yang cekap, yang amanah dan telus. Kita yang bayar untuk biayai kerajaan dan pentadbiran negara, bukan kerajaan;
10. Subsidi petrol itu juga bukan duit kerajaan tapi duit Petronas yang kita semua miliki sebagai rakyat jelata, pengundi dan pembayar cukai.Tiada pengundi, tiada kerajaan.Kerajaan yang wajib berterima kasih kepada kita, bukan kita berterima kasih kepada kerajaan.Selamat memilih orang suruhan kita.Pegawai JUSA Pencen.”
Nota: Komen “Pegawai Jusa Pencen” disiarkan sepenuhnya. Hanya kesilapan ejaan diperbetulkan. Mengenai kos pengubahsuaian Seri Perdana, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Abdul Aziz, memberitahu Teresa Kok (DAP-Seputeh) di Parlimen pada 21 Nov. 2005 bahawa jumlahnya adalah RM15.81 juta.
KAMPUS DAN DISKRIMINASI POLITIK

Tidak cukup dengan itu pemantau atau SB tak bertauliah dari universiti dihantar ke beberapa tempat bagi mengintip dan mendapatkan laporan berkenaan mana-mana mahasiswa yang terlibat dengan PRU ini. Ribuan duit universiti dihabiskan membayar gaji mereka yang kadang-kadang tidak pun melaksanakan kerja dengan baik. Menurut laporan, pihak UM menghantar sebuah bas dan sebuah van ke Negeri Sembilan bagi memantau perjalanan sukarelawan PMN dalam pertemuan mereka dengan Khairy Jamaluddin di Rembau. Pengetua Kolej Kediaman Kedua dan bekas pengetua KK-9 turut kelihatan di sana. Saya tidak mahu memberikan sebarang komen kerana sememangnya inilah kerja mereka 'sepenuh masa'. Seawal mahasiswa itu diorientasikan sehingga mendapat ijazah masing-masing.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Di sebalik amaran Tok Pa kepada mahasiswa beliau telah mengarahkan hampir 1500 mahasiswa ke parlimen yang bakal ditandinginya, Jeli untuk melaksanakan Operasi Khidmat Masyarakat. Awal bulan ini pula terpampang satu kain rentang oleh pihak aspirasi UM yang memberi sokongan secara terang-terangan kepada Barisan Nasional dan digantung di hadapan DTC. Tidak cukup dengan itu mahasiswa dikerah pula untuk beramai-ramai pergi ke UiTM Shah Alam bagi meramaikan majlis bersama calon Rembau, Khairy Jamaluddin. Dan program itu secara terang-terangan merupakan kempen BN kepada mahasiswa dengan menggunakan fasiliti dan kewangan milik rakyat. Ini hanyalah sekelumit kecil contoh-contoh yang menunjukkan terdapat parti politik yang cuba secara terang-terangan namun tanpa sedar untuk mempergunakan mahasiswa bagi mencapai agenda perjuangan politik mereka. Dengan menggunakan nama kerajaan segala-galanya di’halalkan’. Itu belum dijelaskan lagi pelbagai jawatan parti yang dipegang oleh pentadbir universiti secara senyap tetapi tersuluh melalui tindakan-tindakan mereka.
Mahasiswa harus disedarkan bahawa mereka juga mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan apatahlagi ianya membabitkan masa depan mereka. Pihak tertentu tidak harus menggunakan kesempatan yang ada untuk mempergunakan mahasiswa sebagai alat politik mereka. Saya cukup tidak bersetuju dengan pandangan sahabat saya saudara Affandi Sutrisno Tanjung (YDP MPMUM) yang secara jelas meminta semua mahasiswa menyokong kerajaan yang memerintah sekarang atas alasan mereka perlu bersyukur kerana kerajaan telah memberikan segala yang ada. Beliau perlu faham seperti mana yang telah diulas sebelum ini ia adalah suatu tanggungjawab sebuah institusi yang bernama kerajaan selepas diberi mandat dan mendapat kesahan. Manifesto yang dibentangkan wajib dilunaskan. Adakah dengan diberikan fasiliti yang menyelesakan dan dalam masa yang sama kita melihat pelbagai masalah yang datang maka kita akan hanya duduk berdiam diri. Jika ini yang berlaku maka kemudahan yang diberikan itu boleh diumpamakan sebagai sogokan kepada mahasiswa untuk senyap dan diam tanpa membantah sedikitpun, sedangkan mereka selaku golongan yang berpelajaran mempunyai tugas selaku jurubicara masyarakat untuk menjelaskan apa yang sepatutnya dan menentang apa yang mungkar. Pinjaman dan biasiswa yang diberikan menjadi bahan ugutan agar mereka memilih dan patuh dengan siapa yang meluluskan pembiayaan tersebut, tanpa mereka melihat itu adalah hak mereka yang sebenarnya. Sikap diskriminasi dalam politik perlu dihapuskan. Kefahaman berkenaan sains politik perlu didedahkan kepada mahasiswa. Apa sebenarnya yang didefinisikan sebagai kerajaan, parti politik, kuasa pendesak dan sebagainya. Apakah juga yang dimaksudkan sebagai pengasingan kuasa dan apakah perbezaan eksekutif, institusi perundangan dan juga kehakiman. Apa maksud mandat, legitimasi dan autoriti? Dengan kefahaman berkenaan perkara-perkara ini maka mahasiswa dan masyarakat mampu untuk bukan sahaja membuat pilihan semasa mengundi bahkan dapat pula menyokong apa yang maaruf dan menentang apa yang mungkar.
SPR: Suruhanjaya Pelikkan Rakyat
1. Kenapa SPR secara tiba-tiba membatalkan penggunaan dakwat dalam tempoh 3 hari sebelum pengundian? Dan kenapa pada 4 Mac baru timbul persoalan yang memerlukan peraturan digubal bagi membenarkan penggunaan dakwat ini?
2. Apakah SPR tidak mengkaji terlebih dahulu risiko-risiko yang bakal berlaku jika menggunakan dakwat semasa mengundi? Hanya selepas tidak sampai seminggu barulah mereka baru sahaja tersedar.. Itupun selepas terjadi kes seperti yang didakwa. Saya pasti SPR sebagai sebuah suruhanjaya yang dilantik dari kalangan mereka yang berpengalaman sudah pasti memikirkan soal ini. Jika tidak mereka tidak akan mengimport khas dakwat kekal tersebut yang dikatakan berbeza dengan dakwat biasa. Jika andaian saya ini tidak benar maka samalah mereka ini dengan orang-orang yang tidak berpelajaran di kampung.
3. Kenapa SPR dan pihak polis tidak menjelaskan secara kukuh dan nyata bukti atau kes yang menunjukkan terdapat pihak yang membeli dakwat untuk mengelirukan pengundi? Hanya kenyataan secara umum dilemparkan sehingga ia menimbulkan seribu tanda tanya kepada masyarakat. Setiap pemimpin politik pula hanya mengetahuinya melalui media tanpa diadakan satu sesi khas yang menerangkan secara terperinci berkaitan hal ini.
4. Bagaimana dengan status dakwat tersebut? Jika ia sudah dibeli maka ia satu lagi pemborosan dan pembaziran paling tidak patut yang sudah dilakukan dengan wang rakyat. Saya boleh katakan ini satu tindakan 'biadap' yang dilakukan terhadap hak rakyat.
5. Adakah masyarakat kita ini suka mencuba sesuatu dahulu sebelum mengetahui kesannya? Sudah berulang-kali hal ini berlaku termasuklah soal berkaitan penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik dan beberapa kes lagi.
6. Adakah tindakan ini membenarkan beberapa kenyataan bahawa terdapat campurtangan luar yang cuba mencabul kebebasan PRU ke 12 ini? Selepas beberapa kes yang berlaku dan yang terbaru isu ini maka ia hampir-hampir membenarkan kenyataan tersebut.
Banyak lagi persoalan-persoalan yang boleh dilemparkan kepada SPR selaku badan yang bertanggungjawab mengendalikan pilihanraya di Malaysia. Kreadibiliti mereka di mata rakyat sudah tercalar. Apabila badan yang mengendalikan pelihanraya ini sendiripun sudah diragui ditambah dengan apa yang berlaku dalam tempoh dua minggu ini maka apa gunanya kita menyertai pilihanraya. Kerajaan sementara (yang sepatutnya ada sekarang) perlu bertanggungjawab kerana secara tergesa-gesa menggubal peraturan di Parlimen bagi membolehkan Pengerusi SPR sekarang melanjutkan tempoh perkhidmatannya.
Wednesday, February 20, 2008
KENYATAAN SIDANG AKHBAR
PARTI MAHASISWA NEGARA (PMN) BERHUBUNG BEBERAPA ISU DAN TUNTUTAN UMUM
SEMPENA PILIHANRAYA UMUM KE-12
TARIKH / HARI :
19 FEBRUARI 2008
TEMPAT :
KAMPUNG BEREMBANG
INTRODUKSI
Pilihanraya Umum Ke-12 yang bakal diadakan pada 8hb Mac 2008 akan menjadi satu tarikh penting bagi memilih pemimpin negara. Pilihanraya melambangkan demokrasi. Rakyat mempunyai kebebasan untuk memilih pemimpin negara yang bertanggungjawab tinggi terhadap rakyat, bermoral dan berkredibiliti.
Parti Mahasiswa Negara (PMN) telah memulakan langkah awal dengan mengisytiharkan penubuhannya dan seterusnya akan menghantar calon dalam Pilihanraya Umum ke-12 ini. Tindakan ini menunjukkan komitmen yang tinggi dikalangan mahasiswa yang juga mewakili generasi muda hari ini dalam menzahirkan partisipasi aktif dalam pilihanraya ini. Bahkan ini merupakan hak dan tanggungjawab sosial rakyat yang tidak boleh dinafikan walau seinci dalam perlaksanaan sistem demokrasi di Malaysia.
Justeru, Parti Mahasiswa Negara (PMN) ingin menegaskan beberapa isu yang menjadi dasar tuntutan dan manifesto menjelang pilihanraya ini.
PARTI MAHASISWA NEGARA DAN GOLONGAN MUDA
Parti Mahasiswa Negara (PMN) menyifatkan Barisan Nasional kurang menyayangi golongan muda meskipun sudah lima puluh tahun memerintah negara. Sepanjang tempoh tersebut, Barisan Nasional gagal memperbaiki syakhsiyyah ataupun keperibadian golongan muda ini. Sebaliknya, ramai golongan muda yang terlibat dengan krisis identiti dan moral sehingga menghakis nilai agama, budaya dan adab ketimuran. Parti Mahasiswa Negara (PMN) juga melihat parti-parti pembangkang seperti PAS, PKR dan DAP tidak serius dalam mendekati golongan muda dengan pendekatan-pendekatan yang mampu menarik minat mereka. Tambahan pula, sehingga ke hari ini, tidak ada satu pun segmentasi manifesto pihak parti kerajaan dan parti pembangkang yang menggamit golongan muda. Semua parti politik yang ada di negara ini harus sedar bahawa golongan muda hari inilah yang memainkan peranan besar dalam mencorak perjalanan Malaysia untuk lima puluh tahun akan datang.
KOS SARA HIDUP YANG MENEKAN
Isu yang gagal menenangkan hati rakyat adalah isu tekanan kos sara diri rentetan daripada kenaikan harga barang, kenaikan petrol, kenaikan tarif air dan letrik serta isu kegundahan rakyat terhadap keselamatan. Rakyat hidup dalam keadaan yang tertekan kerana Barisan Nasional terus menaikkan harga barang kawalan dan masih lagi mengekalkan harga minyak atau petrol yang tinggi meskipun Petronas mendapat keuntungan yang berbilion-bilion ringgit. Cukai petroleum yang diambil oleh kerajaan bukannya disalurkan untuk menjaga kepentingan rakyat tetapi digunakan untuk melancarkan koridor-koridor ekonomi sehingga menjangkau lebih kurang RM 850 bilion ringgit. Rakyat juga merasa tertipu apabila dikatakan yuran sekolah di peringkat rendah dan menengah dihapuskan tetapi mereka masih lagi terpaksa membayar ratusan ringgit sewaktu pendaftaran sekolah. Berdasarkan Bajet 2008, Kerajaan Barisan Nasional telah memperuntukkan sebanyak RM 12 bilion ringgit untuk melaksanakan pebagai projek dan program Kementerian Pengajian Tinggi. Duit itu hanya digunakan untuk pembangunan material semata-mata seperti Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman dan Universiti Pertahanan. Walaubagaimanapun, mahasiswa masih lagi ditekan dengan pinjaman hutang berpuluh ribu ringgit selepas graduan daripada universiti. Ini ditambah dengan caj 3 peratus yang dikenakan oleh PTPTN.
KADAR JENAYAH
Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pasukan polis telah berjanji sejak 44 bulan yang lalu untuk mengurangkan kadar jenayah sebanyak 5 peratus setahun. Malangnya, sehingga tahun 2007 kadar jenayah telah meningkat sebanyak 12 peratus setahun. Mengikut laporan, perbandingan kadar indeks jenayah pada tahun 2006 dan 2007 semakin menunjukkan peningkatan yang menggerunkan. Pada tahun 2006, jumlah kes jenayah mencatatkan 209, 388 kes manakala tahun 2007 melonjak pada kadar 224, 298 kes. Keseluruhan kadar jenayah yang berat dan ganas semakin ‘kukuh’ iaitu mencatatkan peningkatan sebanyak 13.36 peratus. Rakyat bertambah takut dengan kes-kes pembunuhan di luar tabi’ie manusia seperti pembunuhan rakyat Mongolia, Atlantuya Shariibu, kes pembunuhan kejam kanak-kanak seperti Nurin Jazlin dan sebelumnya. Bukan sahaja rakyat, tetapi ahli politik juga diancam jenayah seperti yang berlaku terhadap mendiang ADUN MIC di Johor pada 11 Januari yang lalu. Apa yang menyedihkan, kerajaan Barisan Nasional dan pasukan polis masih lagi belum menjumpai suspek pembunuhan kes itu. Kaum wanita juga diambang ketakutan setiap hari kerana kes rogol telah mencecah secara purata sebanyak 8 orang setiap hari berbanding 4 orang setiap hari pada tahun 2003. Parti Mahasiswa Negara (PMN) juga bimbang sekiranya ia juga disebabkan oleh sikap kurang peduli dan kesedaran rakyat akibat daripada pembangunan material atau kebendaan semata-mata. Kami juga tidak menafikan sekiranya pasukan polis sendiri melakukan kerja dengan tidak efisien dan efektif ditambah pula dengan kenyataan Tan Sri Hanif Omar (mantan Ketua Polis Negara) bahawa sikap rasuah dikalangan anggota polis termasuk yang berpangkat tinggi adalah berleluasa. Pihak kerajaan juga seharusnya menyiasat dan mendedahkan kegiatan-kegiatan kongsi gelap di Malaysia yang juga dikatakan mendapat perlindungan daripada pihak-pihak yang berkuasa.
PENEGASAN TUNTUTAN SECARA UMUM
Parti Mahasiswa Negara (PMN) berpendapat ini hanyalah segelintir isu yang dijangka menjadi keutamaan rakyat dan ini tidak termasuk isu rasuah, krisis moral dan akhlak dikalangan pemimpin, krisis pendidikan, ketempangan demokrasi dan hak asasi rakyat yang masih lagi dikekang oleh akta-akta drakonian dan sebagainya.
Justeru, Parti Mahasiswa Negara (PMN) menyeru seluruh rakyat Malaysia terutamanya golongan muda dan mahasiswa supaya berfikir secara waras dan bertindak dengan bijak supaya kita dapat menyahkan keburukan dan kebobrokan yang menimpa rakyat selama ini. PMN juga menggesa rakyat memainkan peranan yang penting untuk menyingkirkan mana-mana calon yang diragui kredibiliti dan keupayaan mereka memerintah negara.
Sudah genap lima puluh tahun Malaysia, namun rakyat masih lagi ditekan dengan kos sara hidup yang tinggi, kebimbangan terhadap keselamatan diri dan keluarga serta kerisauan terhadap masa depan dan hala tuju golongan muda untuk memimpin negara bagi lima puluh tahun akan datang.
P041 SEBAGAI SASARAN UTAMA
Parti mahasiswa negara berpendirian tegas untuk menghantar calon di kawasan P041 parlimen kepala batas, bersemuka dengan ayahanda Abdullah Ahmad Badawi, satu lawan satu. PMN sekali lagi meminta parti-parti pembangkang agar memberi laluan seluas-luasnya untuk menjayakan hasrat yang murni ini.
Bertanding melawan ayahanda Abdullah Ahmad Badawi tidak bermaksud berdendam atau membenci tetapi bertanding di kepala batas menunjukkan kematangan, keberanian dan kesedaran yang tinggi dikalangan mahasiswa dalam memikul panji-panji demokrasi dalam negara Malaysia tercinta ini.
Mahasiswa pada pilihanraya kali ini ingin bersemuka secara terus dan telus bersama ayahanda Abdullah Ahmad badawi di atas pentas perlawanan P041 setelah suara mahasiswa seringkali dipinggirkan dan dilihat kecil dan tidak penting sebelum daripada ini. Pada masa yang lepas, apa yang berlaku ialah mahasiswa seolah-olah diperlekeh dan suara mereka tidak didengari oleh bapak-bapak pemerintah. Buktinya, apabila mahasiswa berhajat untuk bertemu bagi membincangkan permasalahan-permasalahan kritikal melibatkan kebajikan dan hak asasi mahasiswa seperti AUKU, cas 3% PTPTN, kebobrokan demokrasi kampus dan pengkopratan serta monopoli politik para politikus yang merobek nilai-nilai akademik dalam universiti, bapak-bapak menteri seringkali gagal ditemui atas alasan-alasan yang sama sekali tidak releven.
Justeru, pertandingan satu lawan satu mahasiswa dan individu nombor satu dalam negara ini adalah suatu bentuk desakan dan isyarat yang jelas bahawa mahasiswa bukanlah boneka-boneka kaku yang boleh dibeli dengan wang, janji-janji manis dan dimandomkan dengan akta-akta yang tidak berperikemanusiaan. Mahasiswa merupakan aset, suara, jasad, ruh dan nyawa dalam menyumbang dan mengimbangi pembangunan negara Malaysia.
SUMPAH SETIA PARTI MAHASISWA NEGARA
Parti Mahasiswa Negara (PMN) berjanji akan mengemukakan manifesto yang bertemakan “Generasi Baru untuk Malaysia Baru” yang membawa suara rakyat untuk melihat kestabilan negara disamping menjaga perpaduan kaum. Kami yakin bahawa Malaysia memerlukan nafas pentadbiran dan kepimpinan yang baru.
Disediakan oleh,
Parti Mahasiswa Negara
Tuesday, February 19, 2008
FAKTA PILIHANRAYA UMUM KE-12

HARI MENGUNDI: 8 MAC 2008 (SABTU)
PENAMAAN CALON: 24 FEBRUARI 2008 (AHAD)
TEMPOH BERKEMPEN: 13 HARI
JUMLAH PEMILIH BERDAFTAR: 10,922,139
PEMILIH AWAM: 10,701,054
PEMILIH POS: 221,085
JUMLAH PARTI POLITIK BERDAFTAR: 30
JUMLAH KERUSI PARLIMEN: 222
JUMLAH KERUSI DUN: 505
Terdapat 27 parti politik di Malaysia, iaitu 15 di Semenanjung, 7 di Sabah dan 5 di Sarawak. Untuk makluman lanjut, rujuk Laman Web parti-parti politik berkenaan.
SENARAI PARTI POLITIK BERDAFTAR
DENGAN SURUHANJAYA PILIHAN RAYA
| NAMA DALAM BAHASA MALAYSIA | NAMA DALAM BAHASA INGGERIS |
| 2. Barisan Jemaah Islamiah Se Malaysia (BERJASA) | : - |
| 4. Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) | : Sarawak National Party (SNAP) |
| 5. Parti Pusaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) | : United Sarawak Native Inheritance Party (PBB) |
| 6. Parti Progresif Penduduk (PPP) | : People’s Progressive Party (PPP) |
| 7. Parti Perpaduan Rakyat Sarawak | : Sarawak United People’s Party |
| 9. Parti Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) | : Malaysian Indian Muslim Congress Party |
| 10. Parti Pekerja-Pekerja Malaysia | : Malaysian Workers Party |
| 11. Parti Rakyat Malaysia (PRM) | : Malaysian People’s Party |
| 13. Persatuan Kebangsaan Pasok Nunukragang Bersatu (PASOK) | : United Pasok Nunukragang National Organization (PASOK) |
| 14. Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) | : Sarawak Bansa Dayak Party |
| 15. Parti Bersatu Sabah (PBS) | : Sabah United Party |
| 16. Parti Kongres Penyatuan Masyarakat | : Community Coalition Congress Party |
| 17. Parti Liberal Demokratik-Sabah | : Liberal Democratic Party-Sabah |
| 18. Parti Barisan Rakyat Sabah Bersekutu (BERSEKUTU) | : Federation Sabah People Front Party (BERSEKUTU) |
| 20. Parti Demokratik Setiahati Kuasa Rakyat Bersatu Sabah (SETIA) | : United Sabah People Force Democratic Party (SETIA) |
| 22. Parti Reformasi Negeri (STAR) | : State Reform Party (STAR) |
| 24. Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) | : Malaysian People Justice Force Party (AKIM) |
| 25. Parti Demokratik Malaysia (MDP) | : Malaysian Democratic Party (MDP) |
| 26. Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (AMIPF) | : All Malaysian Indian Progressive Front (AMIPF) |
| 27. Parti Punjabi Malaysia (PPM) | : |
50 TAHUN MEMIMPIN: Pencapaian Dan Kedudukan Ekonomi Malaysia

Berikut ialah kupasan berkenaan konsep dan kedudukan ekonomi Malaysia yang dilaksanakan oleh BN selama 51 tahun memerintah Malaysia. Pembaca boleh mempertimbangkan dan membandingkannya dengan tawaran yang dibawa oleh PAS untuk PRU-12 dengan konsep negara berkebajikan.
Pendahuluan
� Malaysia merupakan antara negara membangun termaju hari ini. Banyak projek pembangunan telah dilaksanakan di negara ini dan ia telah mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak.
� Kepesatan pembangunan yang berlaku di negara ini sebenarnya adalah ekoran perancangan menyeluruh yang telah diambil oleh pihak kerajaan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) terutamanya dalam bidang ekonomi.
� Secara langsung, langkah kerajaan ini telah banyak menyumbang kepada kemajuan negara. Kestabilan ekonomi dan politik yang dikecapi, Malaysia kini telah menarik ramai pelabur asing untuk melabur di negara ini.
Ekonomi Malaysia Sebelum Merdeka
� Jika dilihat daripada perspektif sejarah Malaysia, penjajah British telah menggalakkan perkembangan masyarakat secara �plural� melalui dasar �Pecah dan Perintah�. Pihak British telah menggalakkan kedatangan tenaga buruh dari negara China dan India untuk kepentingan ekonomi penjajah dalam sektor perlombongan, perladangan dan perdagangan.
� Penambahan penduduk dan peningkatan kegiatan ekonomi telah menyebabkan pertumbuhan bandar, jalan-jalan, landasan keretapi dan pembahagian kelompok kaum mengikut sektor ekonomi. Keadaan ini telah menyebabkan wujudnya jurang antara kaum.
Ekonomi Malaysia Selepas Merdeka
� Kepincangan yang wujud hasil pelaksanaan dasar �Pecah dan Perintah� adalah punca berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Ekoran peristiwa rusuhan kaum ini telah memaksa kerajaan merangka satu dasar yang bersepadu.
Oleh itu, dasar yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dilaksanakan yang bertujuan membetulkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi antara kaum di negara ini.
� Bagaimanapun, dasar ini tidak berjaya mencapai keseluruhan matlamatnya. Justeru, kerajaan terpaksa melaksanakan langkah lain yang sewajarnya bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dan pada masa sama cuba mewujudkan keseimbangan antara kaum.
Transformasi Ekonomi Malaysia
� Pertumbuhan ekonomi yang pesat terutamanya pada akhir tahun 1980-an dan awal tahun 1990-an yang dimangkinkan dengan pertumbuhan sektor pembuatan telah menukar parameter makro ekonomi negara.
Pertumbuhan yang pesat ini menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia telah mengalami transformasi struktur iaitu daripada bentuk ekonomi yang berasaskan pertanian kepada satu bentuk ekonomi yang pantas menuju ke taraf negara perindustrian.
� Dalam pada itu, sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menguncup daripada 23 peratus pada tahun 1980 kepada 8.7 peratus pada tahun 2001, dan dijangka akan terus menurun pada kadar 7.5 peratus pada tahun 2005.
Bagaimanapun, dari segi nilai sebenar (pada harga 1978), pengeluaran sektor pertanian telah meningkat daripada RM10.2 bilion pada tahun 1980 kepada RM17.9 bilion pada tahun 2001.
Hal ini bermakna sumbangan sektor pertanian dalam penjanaan ekonomi negara masih lagi penting, tetapi kepelbagaian sektor yang menyumbang kepada KDNK negara telah mengurangkan kebergantungan tinggi kepada pertanian.
� Perubahan struktur ekonomi negara serta liberalisasi dan globalisasi perdagangan dunia dengan terbentuknya Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) telah mewujudkan beberapa isu dan cabaran baru serta matriks persekitaran perdagangan yang berlainan bagi sektor pertanian.
� Di peringkat antarabangsa, sektor pertanian negara terpaksa menghadapi pelbagai isu, antaranya ialah perdagangan yang lebih terbuka, keperluan pengguna yang mengutamakan kualiti, kemajuan bioteknologi yang mempengaruhi pengeluaran dan perubahan dalam paradigma perniagaan dengan kemunculan ICT.
� Selain itu, kerajaan juga terpaksa menghadapi pelbagai cabaran di dalam negara seperti persaingan ke atas sumber pengeluaran, cita rasa pengguna yang berubah, penerapan teknologi yang masih perlahan, persaingan bahan import yang lebih murah, isu persekitaran dan kelestarian sumber.
Penyusunan Semula Masyarakat
� Kemiskinan adalah salah satu masalah sosial yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan. Kadar kemiskinan ini sangat ketara terutamanya di kalangan kaum Bumiputera yang beragama Islam. Justeru, kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang perlu dalam menangani masalah ini misalnya dengan penyusunan semula masyarakat.
� Dalam proses penyusunan semula masyarakat, kerajaan telah menjalankan langkah-langkah berikut:
a. Menambahkan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan dan perindustrian.
b. Menambahkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat. Contohnya melalui Tabung Haji, PNB dan lain-lain.
c. Membangunkan kawasan luar bandar supaya pembangunannya seiring dengan kawasan bandar.
� Hasil daripada tindakan kerajaan ini telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 48 peratus pada tahun 1960-an kepada kira-kira 5 peratus sekarang.
Pertumbuhan Ekonomi
� Jika dibandingkan situasi sebelum merdeka dengan apa yang berlaku sekarang, telah banyak perubahan dalam bidang ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan. Antaranya ialah;
a. Kerajaan tidak lagi menumpukan kepada pengeksportan barang utama dan pengimportan barang
b. Kerajaan telah beralih daripada sektor pertanian kepada sektor perindustrian, pendidikan, teknologi petroleum dan lain-lain.
� Langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan ini telah membolehkan ekonomi negara mengalami pertumbuhan yang cukup pesat. Antara kebaikan langkah kerajaan tersebut ialah;
a. Kadar pertumbuhan amat pesat selama satu dekad berturut-turut sehinggalah datangnya kegawatan 1997-1998.
b. KDNK telah bertambah daripada RM80 bilion pada 1990 kepada kira-kira RM210 bilion pada 2000.
c. Pendapatan purata per kapita meningkat daripada RM6,099 pada 1990 kepada RM14,788 pada 2000.
Peningkatan Daya Saing
� Kestabilan ekonomi yang berlaku di negara ini telah menghasilkan peningkatan daya saing dalam negara. Antara kelebihan peningkatan daya saing tersebut ialah:
a. Melahirkan tenaga kerja mahir.
b. Mewujudkan sistem kewangan yang kukuh.
c. Mewujudkan kemudahan infrastuktur yang lebih baik.
d. Menghasilkan dasar dan peraturan yang menyokong.
e. Memperkuat rangkaian pasaran ekonomi dunia.
Pembangunan Sumber Manusia
� Dalam proses memajukan negara, kerajaan menyedari bahawa pembangunan sumber manusia adalah penting. Justeru, kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang perlu dalam pembangunan sumber manusia. Antaranya ialah:
a. Menambahkan institusi pendidikan di semua peringkat.
b. Menggalakkan penubuhan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
c. Mewujudkan lebih banyak program serta latihan berbentuk kemahiran.
d. Memperkenalkan corak pendidikan bestari.
Peningkatan Kualiti Hidup
� Kepesatan pembangunan ekonomi negara turut menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat.
� Sememangnya terbukti bahawa Malaysia telah mengalami peningkatan taraf dari segi kesihatan, pendidikan, perumahan dan infrastruktur.
Pembangunan Teknologi
� Sememangnya kemajuan bagi sesebuah negara adalah dinilai daripada kemajuan sains dan teknologinya. Dalam hal ini. Malaysia tidak terlepas daripada memajukan perkembangan sains dan teknologi.
� Kerajaan menganggap bahawa sains dan teknologi adalah asas kepada pembangunan negara.
Justeru, kerajaan telah memberi dorongan yang sewajarnya kepada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang tersebut antaranya ialah dengan memberi insentif fiskal (cukai).
� Dalam bidang ICT misalnya kerajaan telah membangunkan prasarana-prasarana berikut:
a. Mewujudkan Koridor Raya Multi Media (MSC).
b. Menyediakan latihan berbentuk Teknologi Maklumat (IT).
c. Menggalakkan program berbentuk celik IT.
d. Mewujudkan Sekolah Bestari.
Perindustrian Masa Depan
� Meningkatkan industri barang utama.
� Meningkatkan industri pembuatan ringan (tekstil, elektronik).
� Meningkatkan industri berat.
� Meningkatkan industri perkhidmatan terutama ICT.
Pentadbiran dan Pembangunan Mapan
� Mewujudkan kerajaan elektronik di Malaysia.
� Memajukan konsep Pensyarikatan Malaysia.
� Meletakkan asas yang sihat bagi mencapai pembangunan yang saksama.
� Menentukan kesejahteraan generasi akan datang tidak tergugat.
� Memberi penekanan kepada pembangunan persekitaran.
Langkah Kerajaan Mengekalkan Kestabilan Ekonomi Makro
� Kerajaan telah mengambil beberapa langkah dalam memastikan kestabilan ekonomi makro iaitu;
a. Memastikan kadar pertumbuhan yang tinggi dicapai.
b. Mewujudkan suasana kewangan yang menyokong perkembangan ekonomi di samping mengelakkan inflasi yang tinggi.
c. Menggalakkan tabungan untuk menampung pelaburan.
� Kestabilan ekonomi makro secara langsung telah membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi negara. Berikut adalah kelebihan yang diperolehi hasil daripada langkah kerajaan ini. Antaranya ialah;
a. Kerajaan mampu mengangani krisis kegawatan ekonomi yang melanda negara pada 1997 tanpa bantuan asing.
b. Kerajaan menetapkan kadar pertukaran US1.00 kepada RM3.80
c. Kerajaan menubuhkan Danamodal (untuk menyuntik modal ke dalam bank-bank) dan Danaharta (untuk memberi hutang-hutang lapuk daripada bank).
Kesimpulan
� Semenjak merdeka kerajaan telah berusaha dengan pelbagai dasar, langkah dan program bagi menjamin kestabilan ekonomi Malaysia termasuklah melaksanakan DEB, Rancangan Pembangunan Lima Tahun dan Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP).
Di sini saya paparkan tawaran PAS untuk PRU-12 untuk sama-sama kita teliti dan fikirkan.

TAWARAN PAS UNTUK PRU12
Oleh: Pusat Penyelidikan PAS
Negara sekali lagi di ambang pilihan raya umum ke-12. Pilihan raya adalah antara ciri dan amalan penting dalam sebuah demokrasi, namun demokrasi bukahlah hanya pilihan raya. Sebuah kerajaan demokrasi ialah sebuah ’Kerajaan Rakyat’. Sebuah kerajaan demokratik yang berperlembagaan dan berdaulat, mendukungi keluhuran undang-undang. Ia mengurus tadbir pemerintahan dengan mengadakan sistem pilihan raya yang berkala, sebagai kaedah utama yang memberikan mandat dan kuasa kepada kerajaan yang dipilih rakyat.
Sesungguhnya pengundi dan rakyatlah sebenarnya majikan dan tuan yang menentukan kerajaan. Maka dalam amalan demokrasi yang sihat dan matang, apabila sebuah kerajaan yang dipilih gagal memenuhi kehendak rakyat yang mahukan kesejahteraan, pembangunan, keadilan serta kualiti hidup yang baik, pengundi boleh bertindak menukar dan merubah kerajaan.
Sementara itu parti pembangkang sama ada di Parlimen mahupun di Dun, dikehendaki rakyat untuk memainkan peranan ’menyemak-imbang’ segala polisi dan perlaksanaan parti pemerintah. Unsur ’semak-imbang’ ini begitu penting dalam pentadbiran sesebuah kerajaan sehinggakan Allah s.w.t. menjadikan ia satu amalan penting bagi mengelakkan kehancuran seluruh alam ini dan institusi-institusi penting agama.
”Kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang kezaliman setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat serta gereja, biara dan masjid-masjid, yang dalamnya sentiasa disebut nama Allah sebanyak-sebanyaknya.” (maksud al-Hajj: 40)
”Kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang kezaliman setengah yang lain, maka hancurlah seluruh muka alam ini ....” (maksud al-Ayat)
Dalam amalan demokrasi yang sihat dan berfungsi, pengundi berkuasa, selaku 'tuan dan majikan’, boleh menurun atau menaikkan mana-mana parti pemerintah. Di sisi Islam pula kekuasaan yang ada di tangan orang-orang beriman itu perlu diingatkan adalah sebagai amanah yang akan dipertanggungjawabkan Allah s.w.t. Pengundi juga berkuasa memenangkan atau menolak mana-mana calon yang bertanding dalam pilihan raya umum atau kecil. Bagi memenuhi cita-cita demokrasi ini, pengundi memerlukan sebuah sistem dan proses pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.
Malangnya demokrasi di negara ini tidak dapat dianggap demokrasi sebenar. Ini bukan sahaja pendirian golongan parti pembangkang. Para sarjana sains politik menamakan jenis demokrasi seperti di Malaysia sebagai "Quasi-Democracy” or "Pseudo-Democracy” atau "Separa Demokrasi" atau "Demokrasi Palsu” (William Case 2004, Zakaria Ahmad 1989) atas sebab pelbagai amalan undang-undang zalim yang terus berkuatkuasa sementara mengadakan pilihan raya berkala dan meraikan institusi-institusi demokrasi yang tidak berfungsi sepenuhnya.
Bagi membolehkan pengundi memainkan peranan sebagai majikan dan tuan, maka capaian mereka kepada maklumat adalah penentu dan kayu ukur utama sama ada demokrasi itu tulen atau palsu. Menyuruh rakyat menjadi pengundi sementara mereka dinafikan mendapat maklumat lantas tidak mampu membuat pemilihan berdasarkan pengetahuan, adalah kecurangan dan kepincangan paling besar dalam amalan demokrasi di negara ini. Sebaliknya apabila rakyat keluar mengundi dan memilih sebuah kerajaan yang mereka kehendaki berdasarkan maklumat dan pengetahuan yang terdedah kepada mereka, maka itulah maksud sebenar "Kerajaan Rakyat” yang dipilih dan disokong rakyat berdasarkan maklumat dan pengetahuan.
Menjelang pilihan raya ke-12 ini, negara terus berada dalam suasana yang mengkhuatirkan, mencemaskan bahkan menakutkan. Negara terus dicengkam krisis yang tidak berkesudahan dan diancam kemelut yang berpanjangan. Mengapakah keadaan ini berterusan berlaku? Apakah yang dikhuatirkan? Mengapa suasana kini mencemaskan? Dan apa pula yang menakutkan rakyat?
Disebabkan sukar untuk mendapat capaian media arus perdana bagi menyampaikan dan menerangkan kepada rakyat tentang hasrat parti Islam ini, maka PAS akan menggunakan segala media perhubungan termasuk cetak elektronik serta blog-maya, di samping komunikasi tradisi secara langsung sama ada inter-personal mahupun ceramah.
Penulisan ini cuba mengungkapkan tawaran politik PAS sebelum pembentangan Manifesto PAS dibuat secara rasminya menjelang pilihan raya ke-12 akan datang. Tentunya penyelesaian dan polisi yang dicadangkan oleh parti ini akan bermula dengan pembentangan analisis serta pengenalpastian masalah secara ringkas dan punca-punca utama yang mencetuskannya. Tahap masalah dalam beberapa isu yang menggugat rakyat telah sampai ke peringkat krisis yang parah dan membarah.
Menyedari serta menginsafi kependudukan (demografi) negara ini yang unik dan bersifat majmuk atau plural, sama ada pelbagai bangsa, bahasa dan budaya, adalah mustahak untuk sebuah gerakan Islam yang komited dengan pendekatan demokrasi sebagai jalan sah untuk memperjuangkan cita-cita politiknya, maka PAS wajar meletakkan semua ini dalam kerangka dan tuntutan demokrasi, meskipun sistem dan demokrasi itu tempang.
PAS tegaskan bahawa penulisan ini akan mengambil pendekatan yang menekankan aspek prinsip penghayatan Islam (pendekatan substantif) lebih daripada menekankan istilah atau slogan atau rupa bentuk sahaja (pendekatan formatif). Ini sesuai dengan penegasan satu kaedah Usul Fiqh: Al-Ibrah bil Musamma wa Laisa bil Isim (Pengajaran itu dinilai dari intipati serta hakikatnya bukan dari nama serta rupanya).
Kebijaksanaan ini semakin lebih menekan ke atas gerakan Islam dan parti Islam yang terpaksa mendepani realiti politik serta bertarung dalam gelanggang persaingan yang bukan sahaja untuk memenangi hati budi orang Islam bahkan pengundi dan rakyat bukan Islam. Analisis serta kupasan masalah adalah berpandukan kajian serta pengamatan dan dapatan penyelidikan yang dijalankan sepanjang tahun. Letak kedudukan kepentingan setiap isu di sisi tanggapan atau persepsi pelbagai segmen rakyat dan kelompok pengundi juga telah dikenal pasti hasil dari kajian.
Penyelesaian dan tawaran dibuat dalam beberapa ‘teras penting’ dalam rangka penyelesaian menyeluruh bagi mengeluarkan negara dari kemelut dan krisis ini. Ia bersabitan antara lainnya, aspek kepimpinan dan pemerintahan, dasar perpaduan negara, reformasi institusi serta sistem demokrasi, pengurusan ekonomi dan kekayaan negara, pembenterasan jenayah serta keselamatan nyawa, kehormatan dan harta, pemerkasaan pendidikan serta penyelididkan dan pembangunan, kebajikan pekerja awam dan swasta, penjaminan perkhidmatan kesihatan, pembelaan kebajikan menyeluruh rakyat, pembelaan dan pemerkasaan wanita, pembangunan pertanian sebagai industri pemelihara keselamatan negara, dan lain-lain.
Penulisan ini secara ringkas akan mengupas permasalahan pertama dan utama, dan seterusnya mengutarakan dasar dan polisi dalam rangka membaikpulih dan mengatasi permasalahan tersebut.
Tegasnya, keseluruhan permasalahan yang mendepani negara menggugat keutuhan dan kesejahteraan rakyat serta daya saing negara ini, berpunca dari ibu segala sumber masalah, yakni kegagalan kepimpinan tertinggi politik pemerintah, yang setelah membuat dan menabur janji, bahkan menang besar atas harapan janji memerangi rasuah, lalu memungkiri dan membelakangi janji tersebut, lalu sehingga kini, terbala bukan sahaja atas diri mereka bahkan ke atas seluruh rakyat di negara ini.
Maka menyedari segala kepincangan pemerintahan yang ada kini, khususnya amalan rasuah yang semakin parah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa yang menjejaskan integriti dan kewibawaan institusi-institusi penting dalam kerajaan, maka PAS bakal menawarkan sebuah Kerajaan Bersih dan Berkebajikan serta Pemimpin Beramanah, yang antara lainnya akan:
• Menginstitusikan dan memperkasakan amalan pemisahan kuasa Legislatif, Kehakiman dan Eksekutif, supaya amalan demokrasi berfungsi dan berkesan serta tidak dicerobohi serta dipintas oleh pihak Eksekutif. Ini dapat disaksikan secara jelas dalam amalan pemerintahan yang ada apabila institusi seperti Kehakiman dan badan-badan yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen untuk menjalankan tugas-tugas penting dalam amalan demokrasi seperti SPR, Suhakam, Badan Pencegah Rasuah, Ketua Audit Negara kerap dihalang daripada menjalankan tugasan mereka.
• Menegaskan penghayatan Islam sebagai ad-Deen bagi umat Islam di negara ini. Menjamin perlaksanaan peruntukan-peruntukan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
• Memperkasa dan memperkukuh agensi-agensi ‘watchdog’ atau ’pemantau’ seperti BPR, Ketua Audit Negara, Suhakam, SPR dan lain-lain, dengan sumber dan mandat supaya tidak terbelenggu kepada mana-mana pihak dan terus bertanggungjawab kepada Parlimen.
• Melindungi kedudukan pelapor atau 'whistleblowers' dengan jaminan kerahsian demi mempertahankan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
• Meminda dan/atau menghapuskan akta-akta zalim yang menyekat hak dan kebebasan rakyat seperti ISA, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan, Akta Polis, Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti.
• Menjamin sistem pilihan raya yang bebas, adil dan bersih dengan reformasi sistem pilihan raya secara menyeluruh seperti yang dituntut Bersih.
• Meningkat amalan dan urus-tadbir kerajaan dengan berpandukan amalan terbaik (best practice) dalam jabatan awam, agensi serta syarikat yang berkaitan kerajaan supaya menjauhi rasuah dan ketirisan dalam sistem penghantaraan awam khususnya dalam pembekalan awam (public procurement) projek mega-mewah melalui tender terbuka dengan penubuhan Badan Tender Bebas di bawah kuasa Parlimen.
• Menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman di bawah Parlimen yang bertanggungjawab melantik hakim-hakim berdasarkan merit dan integriti serta menambah baik pengurusan bagi meningkatkan kewibawaan institusi Kehakiman dengan menguatkuasakan etika kehakiman yang saksama.
Untuk sektor ekonomi:
Meletakkan Petronas di bawah seliaan Parlimen dan bukan lagi di bawah Perdana Menteri. Umum perlu tahu bahawa ketelusan seperti ini dijalankan di negara Eropah seperti di
Menumpukan kekayaan hasil minyak akan diutamakan untuk pembangunan pendidikan serta pembangunan R & D termasuk sumber tenaga alternatif untuk menggantikan sumber kekayaan ini apabila minyak sudah habis suatu masa nanti.
Merapatkan jurang agihan kekayaan antara kaya-miskin dalam kaum dan antara kaum dengan menekankan aspek pendidikan dan peningkatn sember pendapatan bagi meningkatkan jumlah pendapatan dan keupayaan keluar dari garis kemiskinan serta meningkat mobiliti sosial mereka.
Menekankan program pembasmian kemiskinan mengikut "keperluan" dikalangan golongan miskin dan berpendapatan rendah tanpa mengira ras atau kaum.
Melebarkan golongan kelas menengah dalam semua kaum bagimemperkukuhkan ekonomidengan meningkatkan kuasa beli serta perbelanjaan (juga pelaburan) domestik dan kestabilan perhubungan kaum.
Pertumbuhan munasabah dalam sektor yang menjana pekerjaan samada disektor awam mahupun swasta serta mengelakkan pelaburan ratusan billion ringgit dalam projek infrastruktur, pembinaan dan mega-mewah yang banyak menggunakan tenaga asing tanpa faedah yang menjana kesan berganda bagi memangkin pertumbuhan yang lestari atau berterusan.
Untuk sektor pertanian:
Mewujudkan dasar pertanian sebagai industri yang menjamin Dasar Makanan yang memelihara "kemerdekaan dan keselamatan negara" supaya tidak terdedah dan terjejas kepada manipulasi kuasa dunia dan konglomerat besar antarabangsa
Menolak sebarang bentuk Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang mengancam pelbagai industri khususnya pertanian dan pelbagai urus-tadbir pemerintahan dalam negara
Menamatkan pemberian Permit Import(AP) bagi barangan makanan utama seperti gandum, gula dan beras supaya tidak berlaku Monopoli dan Pakatan (Cartels) yang mencekik pengguna dengan pelbagai kaedah manipulasi seperti penyorokan, pengedaran, pengangkutan kepada peruncit bagi mengawal inflasi.
Meningkatkan kualiti hidup nelayan pantai dengan menyediakan perumahan tersusun serta mewujudkan peluang-peluang baru pekerjaan di dalam kegiatan ekonomi berasaskan perikanan tajaan kerajaan atau Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) agar setiap keluarga nelayan mempunyai pendapatan bulanan melebihi RM1200 sebulan.
Menawarkan peluang menjadi peserta Felda bagi generasi kedua felda dan mana-mana rakyat yang memerlukan ladang-ladang yang diusahakan oleh Felda Plantations atau dengan membuka tanah-tanah baru.
Membenarkan peserta Felda untuk berdikari dalam pengurusan ladang milik mereka kearah menjana pulangan pendapatan maksima kepada mereka.
Untuk sektor pendidikan:
Pendidikan menyeluruh pemacu perubahan yang antara lainnya akan:
Penegasan tonggak akhlak dan moral para pelajar sebagai teras pembinaan sahsiah pelajar
Melindungi "Pendemokrasian Pendidikan" dengan kewujudan pilihan sekolah--sekolah termasuk Pendidikan Islam (SAR), serta bahasa ibunda (cina dan Tamil). Mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda masing-masing. Memberi sejumlah peruntukan kepada SAR dan sekolah swasta jenis Cina berdasarkan jumlah pelajar
Peluang kepada pelajar-pelajar dari sekolah agama rakyat untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh
Memberi peruntukan khas bagi PIBG kepasa sekolah-sekolah luar bandar bagi membantu kegiatan meningkatkan pencapaian akademik
Memberi autonomi kepada sekolah untuk mengawal dan mengurus disiplin para pelajar
Meningkatkan bantuan perbelanjaan per kapita mengikut penilaian Indeks Harga Pengguna (CPI) kepada sektor pendidikan termasuk kos-kos buku kerja
Menghapuskan semua yuran sampingan persekolahan seperti yuran PIBG dan kokurikulum
Penekanan kepada sistem pendidikan berteraskan "berfikir" - "thinking-based education" dan bukan "berteraskan-peperiksaan" (exam-based education)
Memperkasakan pendemokrasian pendidikan dengan penetapan subjek "teras" seperti sejarah, budaya, agama dan moral, bagi menjayakan misi perpaduan nasional melalui pendidikan
Menekankan tumpuan selain akademik bagi lepasan sekolah bagi meningkatkan aspek latihan berteraskan ketrampilan atau bagi melebarkan peluang pekerjaan dan guna tenaga secara penuh dan meyeluruh
Memperkasa IPT dan memacu penjelmaan institusi pendidikan berprestasi tinggi:
Menjana iklim akademik di menara gading bagi menghasilkan ciri-ciri graduan: berdaya saing dan berdikari (competitively enterprising), bermoral-bersahsiah mulia (morally-spiritual vibrant) dan berintelek tinggi (intelectually superior)
Memansuhkan beberapa Peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang mengongkong hak dan kebebasan mahasiswa dan tenaga akademik
Menjana institusi pendidikan berprestasi tinggi dengan penambahan peruntukan R&D yang setara dengan dunia maju (yakni 2-3 peratus dari belanjawan)
Menghapuskira semua pinjaman tertunggak PTPTN
Mengembalikan peluang mendapat tempat pendidikan tinggi secara pembiayaan penuh kerajaan
Mengembalikan semula pemberian biasiswa sebagaimana uang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan


